Khamis, 29 Januari 2015

PELBAGAI JENIS PENDAHULUAN KARANGAN

  • Pendahuluan Jenis Definisi
 Kesedaran sivik bermaksud rasa tanggungjawab yang lahir secara ikhlas dalam memelihara harta benda awam atau menjaga kepentingan awam demi kebaikan bersama. Nilai murni ini hanya dimiliki oleh individu yang tidak mementingkan diri sendiri, pandai menghargai harta kepunyaan awam, dan dapat bertolak ansur, serta memahami budaya jiran atau masyarakat sekeliling. Oleh itu, terdapat pelbagai cara untuk memupuk kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat.
  • Pendahuluan Jenis Perangkaan
 Perangkaan terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat berhubung dengan gejala negatif dalam kalangan remaja di negara ini amatlah menggerunkan kita. Lebih kurang 71 peratus golongan remaja yang berusia antara 13 hingga 21 tahun didapati merokok, 40 peratus menonton video lucah, 28 peratus terlibat dengan perjudian dan 14 peratus menagih dadah. Selain itu, kes-kes jenayah yang membabitkan remaja meningkat dengan pesatnya, serancaknya dengan pertumbuhan ekonomi negara. Langkah-langkah untuk membendung kebejatan sosial ini perlulah segera kita ambil bagi mematikan keharmonian negara terpelihara.
  • Pendahuluan Jenis Sejarah
 Di mana-mana negara pun, pengedaran dadah merupakan perbuatan yang dikutuk dan mereka yang disabit kesalahan akan dikenakan hukuman yang setimpal. Bezanya ialah, berat atau ringan hukuman yang dikenakan. Di negara kita  Malaysia, hukuman mati menunggu mereka yang terbabit dengan pengedaran dadah dalam kuantiti yang tertentu. Sejarah telah membuktikan keburukan ketagihan dadah. Pengedaran candu oleh pedagang-pedagang British kepada penduduk Hong Kong pada abad ke-19 telah menyaksikan kekalahan China dalam perang menentang British, sebagai akibat ketagihan akan candu, China terpaksa menyerahkan Hong Kong kepada kuasa British selama 156 tahun. Oleh yang demikian, langkah-langkah menangani pengedaran dadah perlulah dilakukan secara serius agar negara kita tidak musnah dek dadah.
  • Pendahuluan Jenis Pendapat Khusus
Kenyataan Menteri Pengangkutan berhubung kajian kementeriannya dalam melaksanakan peraturan mewajibkan pemandu yang melanggar peraturan jalan raya supaya mengikuti kelas memandu semula boleh dianggap sebagai satu strategi yang dinanti-nantikan. Strategi ini merupakan langkah berkesan yang dapat mendatangkan kesan positif kepada semua pengguna jalan raya jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan serius. Selain peraturan tersebut, terdapat pelbagai cara untuk mengelakkan kemalangan jalan raya.
  •  Pendahuluan Jenis Wawancara
Biasa kita dengar, seorang doktor bertugas di hospital, klinik ataupun di pusat penyelidikan berkaitan perubatan atau rawatan. Tetapi lain pula dengan tetamu Dewan Kosmik kali ini. Prof. Madya Dr. Anuar Suun yang merupakan seorang ahli perubatan yang turun bertugas di padang sukan dan gelanggang olahraga. Peranan besar yang dipikul beliau jarang disedari oleh orang awam. Oleh itu, ikutilah wawancara istimewa wartawan Dewan Kosmik, Nik Khartina Nik Man bersama Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknolgi MARA ini.
  • Pendahuluan Jenis Suasana
 Payung biru kesayanganku hampir ditiup angin kencang. Daun-daun di tepi jalan bercampur dengan sampah sarap berterbangan ditiup angin. Sesekali terdengar akan bunyi guruh dalam titisan air hujan melibas mukaku. Lagi 50 meter aku akan tiba di pintu pagar sekolah tetapi begitu lambat kerana terpaksa menentang deruan angin yang menyongsang. Tubuhku seolah-olah tertolak ke belakang sehingga menyukarkan aku untuk melangkah dan mara. Mujurlah berat badanku tidak membolehkan angin kencang itu menerbangkanku dengan mudah. Sebaik-baik sahaja aku menjejakkan kaki di serambi sekolah, hujan turun mencurah-curah.
  •  Pendahuluan Jenis Pendapat
Pelbagai pihak menggesa pemerintah supaya had umur remaja bagi kes juvana dikaji semula.  Gesaan ini dibuat memandangkan had umur 18 tahun dewasa ini tidak bersesuaian dengan sikap dan tahap kematangan remaja 50 tahun dahulu. Rekod polis banyak mencatatkan kes juvana yang melibatkan remaja pada usia tersebut. Selaras dengan itu, Mahkamah Juvana 1947 harus dikaji bagi menyelaraskan akta yang sedia ada berhubung dengan had umur remaja bagi kes juvana.
  • Pendahuluan Jenis Persoalan
            Tiada ibu bapa yang tidak bimbang jika anak-anak mereka yang berada di sekolah dilaporkan terlibat dengan keracunan makanan, sedangkan makanan yang dibeli anak-anak itu dijual di kantin sekolah. Persoalannya, adakah makanan di kantin sekolah sudah tidak selamat? Adakah peraturan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Pendidikan diabaikan oleh sesetengah pengusaha kantin? Apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani masalah keracunan makanan ini?
  •  Pendahuluan Jenis Analogi
            Cuba kita ambil sebatang lidi dan patah-patahkannya. Sudah tentu dengan mudah sahaja kita dapat melakukannya. Bagaimana pula jika lidi itu seberkas? Tentu tidak mudah atau sukar bagi kita mematahkannya. Analogi ini dapat dikaitkan dengan perpaduan hampir 30  juta penduduk di Malaysia yang berbilang bangsa. Semangat muhibah dan bersatu padu amat diperlukan oleh negara dalam menjamin kestabilan politik, ekonomi, dan sosial negara.  Oleh itu, langkah-langkah untuk memupuk perpaduan perlu segera dipraktikkan agar kemajuan dan kemakmuran negara kita terjamin.

2 ulasan: