Selasa, 26 September 2017

TEKS FORUM- GEJALA BULI DALAM KALANGAN PELAJAR

GEJALA BULI DALAM KALANGAN PELAJAR:  DI MANA SILAPNYA?

PENGERUSI                                  :  Siti Rasyidah binti Che Masruddin
AHLI   PANEL PERTAMA              :  Muhammad Adham Aizam bin Nor Apandi
AHLI   PANEL  KEDUA                  :  Farah Qistina binti Azman
AHLI   PANEL KETIGA                  :  Muhammad Firaskhan bin Mohamed Siddiq


PEMBICARA
SKRIP
PENGERUSI
Forum remaja penjana minda kelas  pertama
AHLI PANEL  1
Forum remaja pencetus minda kritis remaja.
AHLI PANEL 2
Forum remaja pencetus  minda kreatif dan kritis.
 AHLI PANEL 3
Forum remaja penjana  generasi berinformasi.
SEMUA
Forum remaja pemangkin kecemerlangan budaya  ilmu.
Pengerusi
Bismillahirahmannirrahim
Alhamdulillahirabbil alamin
Wassolatuwassalamu ala asrafil ambiya iwal mursalin
Wa ala alihi wasohbihi ajmain
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera, salam satu Malaysia, salam forum remaja

Ahli panel dan sidang hadirin yang dirahmati Allah

    Segala puji-pujian ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia  dan izin-Nya dapat kita bersama-sama bersua dalam pertandingan forum remaja negeri  pada pagi nirmala  yang bening lagi ceria ini.

Hadirin yang dihormati
    
    Sebelum saya memperkenalkan ahli-ahli panel kita yang segak-segak lagi tampan bergaya pada hari ini, izinkan saya  untuk mengupas terlebih dahulu  tajuk  forum remaja kita pada hari ini. 
Tajuk forum kita berkisar tema sosial iaitu Gejala Buli : Di Mana Silapnya?

          Remaja pada hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan merupakan aset modal insan negara bak kata pepatah, ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’"Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah ungkapan  retorik yang pernah dilontarkan oleh bekas Presiden Parti Indonesia, Soekarno yang menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan.

           Malangnya, dalam proses menongkah arus globalisasi yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini, keruntuhan akhlak remaja semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Salah satu masalah sosial yang kian merebak dalam kalangan remaja ialah gejala buli.

         Berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan, terdapat lebih daripada 14,000 kes buli di sekolah-sekolah di seluruh negara antara tahun 2012 dan tahun 2015 dan sebahagian besar melibatkan penderaan fizikal. Kes buli yang mendapat liputan seluruh negara melibatkan seorang mahasiswa universiti Pertahanan Malaysia, Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia dipercayai akibat didera seolah-olah menjadi bom jangka yang menyedarkan kita dari lena bahawa budaya budi dalam kalangan pelajar merupakan isu yang tidak boleh dipandang enteng sama sekali.

         Baiklah sidang hadirin, sebelum kita menelusuri  lebih mendalam topik perbincangan molek kiranya kita berkenalan  dengan  ketiga-tiga ahli panel  kita pada hari ini.

      Di sebelah kanan saya, saudara Muhammad Adham Aizam bin Nor Apandi yang merupakan ahli panel yang pertama, selamat datang saudara, apa khabar  ?
Ahli panel 1
Terima kasih saudara pengerusi. Alhamdulillah, saya baik-baik sahaja .
Pengerusi
Seterusnya, saya perkenalkan ahli panel kedua, iaitu saudari Nor Farah Qistina binti Azman

selamat datang saudari
Saudari apa khabar ?
Ahli panel 2
Alhamdulillah, khabar baik saudari  pengerusi.
Pengerusi
Berada di sebelah ahli panel kedua, tak lain tak bukan tentulah ahli panel kita yang ketiga iaitu saudara Muhammad Firaskhan bin Mohamed Siddiq. Walaupun nampak pemalu, namun petah bicaranya. Apa  khabar saudara?
Ahli Panel 3
Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan yang baik.  Salam forum buat semua.
Pengerusi
Usai salam perkenalan dengan semua ahli panel,kembali kita kepada topik forum kita iaitu Gejala Buli dalam Kalangan Pelajar: Di Mana Silapnya?

Sidang hadirin yang dihormati
    
Sidang hadirin,  sebelum kita melangkah dengan lebih jauh lagi, eloklah kiranya kita menelusuri apakah sebenarnya  yang dimaksudkan dengan buli dan apakah punca yang menyebabkan gejala ini semakin berleluasa dalam kalangan pelajar? Bagi menjawab persoalan ini, izinkan  saya  mengajukan soalan pertama  kepada ahli panel pertama. Saudara Aizam, mohon saudara merungkaikan persoalan ini kepada semua.
Ahli panel 1







































Awal Bismillah pembuka bicara,
Terima kasih saudari pengerusi

Assalamualaikun dan salam sejahtera kepada siding hadirin yang dihormati,

         Menurut Nosazdi Abdullah, buli boleh ditakrifkan sebagai tingkah laku agresif seseorang pelajar atau sekumpulan pelajar dengan menganggu mangsa sama ada secara fizikal datau psikologi dalam satu jangka masa yang panjang.

      Kamus Dewan edisi ketiga pula mentakrifkan  buli sebagai  perbuatan mendera atau mempermainkan seseorang dengan tujuan untuk menyesuaikan suasana baru. Selain itu, buli  juga bertujuan untuk mempermainkan orang yang lemah dengan cara mengertak atau menakutkan mereka.

Punca dominan yang mencetuskan fenomena ini ialah remaja tidak mempunyai didikan agama yang teguh. Kebanyakan remaja pada hari mempunyai stigma bahawa ajaran agama sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan untuk dipraktikkan pada alaf  ini. Keadaan menjadi lebih parah apabila ibu bapa pada hari ini tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak mereka. Hal ini terjadi kerana ibu bapa pada alaf ini sering mempunyai tanggapan bahawa ajaran agama tidak penting berbanding dengan pendidikan akademik yang dianggap sebagai tiket kejayaan anak-anak pada masa hadapan. Sikap ini menunjukkan bahawa terdapat ibu bapa yang semakin alpa akan tanggungjawab hakiki mereka dalam membesar, mengasuh dan mendidik anak-anak mereka yang diumpamakan sehelai kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkan tingkah laku anak–anak sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa hadapannya.  Berlandaskan sikap remaja dan ibu bapa yang sebegini, maka tidak hairanlah anak-anak tidak mementingkan amalan solat yang difardukan kepada setiap muslim walaupun solat itu tiang agama yang dapat mencegah kemungkaran.
Bukan itu sahaja, kebanyakan remaja pada hari ini lebih bertuhankan hiburan dan keseronokan duniawi semata-mata seperti melibatkan diri dalam ‘Black Metal’. Jika situasi ini berterusan sudah pasti keharmonian masyarakat dan negara kita akan terjejas.

Seorang tokoh cendekiawan pernah berkata, “Petanda runtuhnya sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut mencintai hiburan.” Keimanan remaja yang senipis kulit bawang menyebabkan kehidupan mereka terumbang-ambing ibarat kapal tanpa nakhoda. Tegasnya, didikan agama yang tidak mantap mampu mendorong kepada penularan gejala buli di negara ini.         
Pengerusi
Sidang hadirin,     demikian tadi penjelasan tentang takrif tentang gejala buli yang pada pandangan saya merupakan penjelasan terperinci   dan menarik daripada saudara ahli panel pertama.   Seterusnya, saya mohon  penjelasan daripada ahli panel kedua,saudari Farah Qistina tentang punca-punca lain yang boleh menyebabkan remaja terdorong untuk melakukan gejala ini?
Ahli panel 2
Assalamualaikum dan salam  sejahtera
Terima kasih Saudari pengerusi .

Sidang hadirin yang dihormati.
        
   Kegoyahan institusi kekeluargaan juga menjadi pemangkin kepada gejala buli yang melanda di nusa tercinta kita ini.  Intitusi keluarga porak-peranda disebabkan oleh tiada lagi persefahaman antara pasangan suami isteri.  Oleh itu, kes penderaan, pertengkaran dan perceraian semakin meningkat bagai bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyirunya lagi.   Menurut kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kadar perceraian pasangan suami isteri Islam di Malaysia berlaku sekali dalam tempoh masa 15 minit.  Keluarga yang porak-peranda akan lalai untuk memberikan kasih sayang mereka kepada anak-anak remaja yang sentiasa memerlukan belaian dan perhatian daripada ibu bapa mereka.  Keadaan ini membimbangkan kerana akan menjejaskan perkembangan remaja dan pembentukan personaliti remaja. Maka tidak hairanlah apabila remaja sanggup terlibat dalam gejala samseng ini untuk menarik perhatian dan mendapatkan sekelumit kasih sayang daripada ibu bapa mereka yang semakin alpa dalam memikul tanggungjawab hakiki mereka. 

Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan bahawa 50 peratus remaja yang terlibat dalam gejala negatif terdiri daripada remaja yang mempunyai konflik keluarga. Oleh hal yang demikian, izharlah bahawa kegoyahan institusi kekeluargaan turut mencetuskan fenomena buli remaja yang ingin melepaskan kemarahan mereka kepada individu yang lain bak kata peribahasa Melayu, ‘orang lain makan nangka, orang lain terkena getahnya’.

      Jika kita kaji dari dimensi yang lain, pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara faktor gejala buli semakin menular dan kian serius bagai duri dalam daging di negara kita pada hari ini.  Hal ini dikatakan demikian kerana remaja pada hari ini lebih mempercayai rakan sebaya daripada ibu bapa dan guru-guru mereka. Tindakan remaja yang sanggup menuruti kata-kata kawannya tanpa memikirkan risiko dapat diumpamakan seperti kerbau dicucuk hidung. Bukan itu sahaja, kebanyakan remaja tidak ingin dipulaukan atau disisihkan oleh ahli kumpulan sekiranya enggan menuruti perlakuan dan kata-kata mereka. Menurut Thrasher yang merupakan pelopor awal tentang kajian buli mengutarakan mewujudkan geng atau persatuan. Remaja yang masih berbau pucuk jerengau ini sanggup mengkhianati kepercayaan ibu bapa dan guru mereka daripada mengkhianati kumpulan mereka.  Sebagai contohnya, 8 orang pelajar tingkatan 5 dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) telah mengugut guru asrama dengan menggunakan parang. Kumpulan pelajar ini sanggup bertindak demi melepaskan kemarahan dan berseronok-seronok tanpa memikirkan impaknya kepada diri sendiri dan orang lain.  Ekoran sikap remaja yang tersalah memilih rakan menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir negatif seperti membuli . Hal ini dapat dikaitkan dengan petikan sebahagian daripada hadis nabi yang bermaksud, “Jika anda berkawan dengan tukang besi maka percikan api akan terkena pada tubuhmu.”  Pendek kata, pengaruh dan tekanan daripada rakan sebaya turut mejadi penyebab kepada kemelut buli semakin sukar ditangani.
Pengerusi
Terima kasih atas penjelasan  yang panjang lebar tentang punca-punca lain yang boleh mendorong gejala buli dalam kalangan pelajar

Sahabat-sahabat ahli panel dan sidang hadirin yang  dihormati.
Apakah kesan perlakuan buli terhadap mangsa dan apakah tindakan yang sepatutnya diambil oleh mangsa?
Silakan saudara Firas.
Ahli panel 3
Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum dan salam  sejahtera
Terima kasih Saudari pengerusi.

Antara kesannya ialah mangsa buli akan mengalami kemurungan atau cemas. Selain itu, mereka terpaksa menempuh penderitaan berikut antaranya, peningkatan perasaan sedih dan keseorangan, perubahan masalah tidur dan makan, hilang minat dalam aktiviti yang sering diceburi. Isu ini akan berpanjangan sehingga dewasa, masalah kesihatan  dari segi emosi dan psikiatri, keciciran dalam pelajaran kerana kanak-kanak takut ke sekolah untuk mengelakkan daripada dibuli.
Selain itu, kesan buli membawa kepada bahaya atau pendedahan untuk membunuh diri kerana merasakan diri mereka tiada harapan, tiada kuasa serta tercalar maruah diri akibat perbuatan dera.
Saudari pengerusi dan sidang hadirin,

Mangsa buli di sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) biasanya menyembunyikan apa yang berlaku daripada pengetahuan ibu bapa, guru dan pihak sekolah kerana takut dipukul oleh pembuli. Pelajar-pelajar lain juga mendiamkan diri. Kenapa boleh wujud keadaan sebegini?
Hal ini ada kaitan dengan persepsi masyarakat memandang remeh mengenai perkara ini. Tanggapan masyarakat ialah buli sebahagian daripada budaya masyarakat tempatan malahan seluruh dunia. Kebanyakan masyarakat tidak sedar isu buli memberi kesan jangka panjang dari segi perkembangan psikologi dan emosi.
Kanak-kanak sama ada pembuli mahupun mangsa buli cenderung melakukan perbuatan buli seperti isu buli berlaku di IPT mahupun bagi orang dewasa dan kita sering mendengar bahawa isu penderaan kanak-kanak berlaku. Kes-kes penderaan yang menjangkau 5,000 kes setahun merupakan kesan psikologi dan emosi pendera yang dibuli semasa remaja.
​Jika ahli masyarakat tidak peka terhadap isu buli maka tidak adalah perbincangan mahupun komunikasi antara satu sama lain. Sekiranya perhubungan sedemikian tidak berlaku secara sendiri, kes buli akan tersembunyi tanpa pengetahuan sehingga melibatkan kecederaan atau kematian, barulah masyarakat sedar isu ini perlu ditangani.
Apabila wujud inisiatif ahli masyarakat memainkan peranan masing-masing, maka barulah kanak-kanak mempunyai keyakinan diri untuk melaporkan kes buli kepada pihak berkuasa atas kesedaran mereka isu buli akan ditangani.
Sekian. Terima kasih. Kembali semula kepada saudara Pengerusi Majlis
Pengerusi
Terima kasih saudara Firas.

        Ya sidang hadirin yang  dihormati dan dirahmati  Allah.  Kita masih lagi berada dalam majlis Forum  remaja tahun 2015 di  SMK Sinar bintang  yang ceria dan indah  ini. Pada ketika  dan saat ini, kita masih lagi mengupas tajuk Gejala Buli dalam Kalangan Pelajar: Di Mana Silapnya?

    Selamat datang kepada   saudara dan saudari yang baru saja mengambil tempat di dewan ini.  Kita teruskan bual  bicara kita pada  hari yang berbahagia ini.  Saya  percaya, gejala ini jika dapat ditangani dengan baik sudah pasti  gejala ini tidak akan membarah dalam kalangan pelajar.  
     
     Soalan saya kepada ahli panel pertama, apakah langkah yang boleh diambil dalam usaha untuk menangani gejala  ini?

Ahli panel 1
Terima kasih saudari pengerusi

Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat banyak langkah yang efektif boleh dijalankan bagi membendung gejala ini.Antaranya ialah ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu
bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintik’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’. Ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama. 

Kembali semula kepada saudari Pengerusi.
Ahli panel 2
Saudari pengerusi, izinkan saya menyuarakan buah fikiran tambahan  berdasarkan ulasan saudara ahli panel yang pertama tadi.
Pengerusi
Silakan saudari. Kita masih lagi membicarakan tentang langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah buli dalam kalangan pelajar.
Ahli  Panel 2
Terima kasih saudara pengerusi.

Para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah. Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh- sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi. Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain. Disiplin dan peraturan sekolah juga perlu diketatkan dan ditekankan kepada para pelajar supaya para pelajar mengikuti etika peraturan sekolah dan tidak membuat kesalahan seperti penglibatan dalam gejala sosial seperti membuli.

Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus memainkan peranan dalam membendung gejala ini. Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah  melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya.Melalui pendidikan ini,  para pelajar dapat kesedaran dan menpelajari kebaikan serta menjauhi gejala kurang baik.Kerajaan juga perlu bergabung dengan pagensi- agensi tertentu untuk mengadakan kempen kesedaran dan ceramah kesedaran tentang gejala membuli.Melalui cara ini,remaja dapat mempelajari kesan sampingan yang diperolehi daripada melakukan gejala membuli dan berupaya untuk tidak melakukan perbuatan ini terhadap orang lain.Contohya, kempen ANTI BULI yang dijalankan di pekan Marang telah mendapat sambutan yang mengalakkan dan lebih kurang 70% kes membuli dapat dikurangkan sekitar kawasan tersebut setelah kempen tersebut dijalankan.
Pengerusi
Terima kasih ahli panel yang kedua.  Ahli panel ke-3 pastinya mepunyai buah fikiran yang tidak kurang hebatnya. Silakan saudara
Ahli panel  3
Terima  kasih saudara pengerusi majlis

Ahli panel dan sidang  hadirin yang dihormati,
Pihak kerajaan juga harus memainkan peranan dalam membendung gejala ini. Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya.Melalui pendidikan ini,para pelajar dapat kesedaran dan menpelajari kebaikan serta menjauhi gejala kurang baik.  Kerajaan juga perlu bergabung dengan pagensi- agensi tertentu untuk mengadakan kempen kesedaran dan ceramah kesedaran tentang gejala membuli.  Melalui cara ini, remaja dapat mempelajari kesan sampingan yang diperoleh daripada melakukan gejala membuli dan berupaya untuk tidak melakukan perbuatan ini terhadap orang lain.Contohya, Kempen Antibuli  yang dijalankan di pekan Marang telah mendapat sambutan mengalakkan dan lebih kurang 70% kes membuli dapat dikurangkan sekitar kawasan tersebut setelah kempen tersebut dijalankan.
Sekian. Terima Kasih.   
 Pengerusi
Terima kasih saudara Firas,
      
     Demikian  perbincangan daripada semua ahli panel kita tentang gejala buli dalam kalangan pelajar di negara kita.  Menuding jari menyalahkan satu-satu pihak memanglah mudah tetapi menyelesaikan gejala ini bukanlah semudah kita berbicara.  Oleh itu, banyak langkah yang dapat diimplementasikan agar pelajar dapat belajar dalam suasana yang kondusif dan harmoni. Kita tidak seharusnya mengharapkan usaha pihak berautoriti sahaja tetapi  perlu berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Dengan berkat daya usaha yang gigih,Insya- Allah kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia agar duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

Sidang hadirin yang dihormati.

Kalau berjalan dah sampai ke batas
kalau berkayuh dan sampai ke pulau
Kalau mendaki dah sampai ke puncak
Kita telah sampai kepada penghujung bicara

Entah sireh salah sarung
Entah kata salah tutur
Entah maksud salah sampai

Terimalah    salam, salam bersantun,
Salam yang minta maaf, salam yang minta ampun

Saya mewakili semua ahli panel mengucapkan  setinggi-tinggi terima kasih  kepada semua hadirin yang sudi hadir menyaksikan pertandingan forum remaja ini.

Lantaran keterbatasan waktu, saya mohon mengakhiri bicara ini. Mohon mengundur diri.

Sekian, wabillahitaufik wal hidayah, wassalam mualaikum warah matullah , salam sejahtera, salam  1 Malaysia.
Ø  Skrip ini telah digunakan semasa Forum Remaja tahun 2017 Peringkat Negeri di SMK Sinar Bintang pada 15 Ogos 2017.

Ø  Skrip disusun semula oleh Cikgu Intan binti Abd Ghani.

8 ulasan: