Isnin, 26 Oktober 2020

KARANGAN RANGSANGAN ( FAEDAH-FAEDAH PENUBUHAN KOPERASI SEKOLAH)




    Koperasi sekolah merupakan sebuah perniagaan yang dibangunkan oleh pihak sekolah sejak zaman dahulu. Anggota koperasi sekolah termasuk, pelajar, guru, dan seluruh warga sekolah. Pelajar dapat membeli barang keperluan sekolah seperti alat tulis dan buku daripada koperasi sekolah. Makanan ringan seperti roti dan biskut juga boleh didapati di sana. Hal ini menyebabkan ramai orang yang memikirkan bahawa prnubuhan koperasi sekolah hanya bertujuan untuk menjual barang keperluan dan makanan kepada pelajar. Namun, kebaikan penubuhan koperasi sekolah adalah tidak dapat dikira dengan jari jemari kita. 

Seperti yang diketahui oleh kebanyakan orang, koperasi sekolah memudahkan pelajar mendapatkan barangan sekolah dan perkhidmatan. Contohnya, pelbagai pen, buku nota dan fail dapat diperoleh daripada koperasi. Segala keperluan sekolah boleh didapati di sana, maka pelajar tidak perlu ke pasar raya atau kedai yang berjauhan untuk membeli peralatan sekolah. Dengan menurun beberapa anak tangga sahaja, koperasi sudah ada di depan mata. Hal ini turut menjelaskan bahawa pelajar dapat menjimatkan kos perjalanan dan kos pengangkutan untuk ke kedai peralatan sekolah. Jelaslah bahawa penubuhan koperasi telah membawa beberapa manfaat dan berfungsi bagai serampang dua mata.

Selain itu, pelajar yang menjadi ahli koperasi akan mendapat pendedahan asas terhadap perniagaan. Hal ini dapat memupuk semangat berniaga dalam kalangan pelajar, bak kata tak kenal maka tak cinta. Sesetengah pelajar tidak berminat dalam perniagaan disebabkan kurang pengetahuan tentang berniaga dan berasa berniaga itu adalah sukar. Dengan terlibat dalam perniagaan koperasi, mereka akan memahami tentang berniaga dengan lebih mendalam dan holistik. Berniaga di koperasi juga menambahkan pengalaman pelajar khususnya dalam bidang perniagaan, bak kata jauh perjalanan luas permandangan. Lebih banyak pelajar mencuba dan merasai perkara baharu, lebih banyak pengetahuan dan kemahiran diperoleh.

Akhir sekali, koperasi juga menambahkan sumber kewangan sekolah. Keuntungan yang diperoleh daripada penjualan barang niaga akan dimasukkan ke dalam tabung sekolah untuk kegunaan menaiktarafkan kemudahan dan pendidikan sekolah. Hal ini memberikan pelajar tempat belajar yang lebih baik untuk meyenangkan dan menenangkan hati pelajar semasa waktu pelajaran. Pihak sekolah juga boleh menggunakan wang tersebut untuk menjemput pihak yang lebih berpengalaman untuk memberi ceramah atau taklimat kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan seperti Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Tegasnya, keuntungan yang diperoleh daripada penjualan koperasi dapat disumbangkan kepada pihak sekolah untuk pelbagai penggunaan.

Tuntasnya, penubuhan koperasi sekolah banyak mendatangkan kebaikan kepada sama ada pelajar mahupun pihak sekolah. Oleh itu, setiap warga sekolah patut berkolaborasi supaya penubuhan koperasi dapat berjalan dengan lancar, umpama aur dengan tebing. Tamsilnya, pelajar perlu bergiat aktif menjadi ahli koperasi manakala pihak sekolah perlu merancang dengan bijak aktiviti tahunan koperasi supaya dapat memperoleh keuntungan. 


PENULIS: TAN XIN LE ( 5 MAJU 2020)

4 ulasan: