Rabu, 28 Julai 2021

Aman Makmur Malaysia ( Langkah-langkah Memupuk Perpaduan dalam Kalangan Rakyat)

KARANGAN BAHAGIAN B

        Perpaduan merujuk kepada suasana dan ikatan mesra antara rakyat dalam sesebuah negara. Dunia yang semakin kompleks kini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat. Isu perpaduan kaum bukanlah sesuatu isu yang baharu di negara kita bahkan telah menjadi fokus perbincangan dalam media massa dan buah mulut dalam kalangan rakyat. Senario ini amat mengecewakan kerana pembangunan negara kita yang pesat sejak merdeka akan terjejas disebabkan pergaduhan dan pergolakan politik dalaman. Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik haruslah dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga akar umbi.

        Peranan ibu bapa dan barisan pendidik merupakan wahana dalam membina generasi masa hadapan yang mementingkan keharmonian antara kaum. Dalam institusi keluarga, ibu bapa merupakan entiti mithali kepada anak dan perlu menunjukkan teladan baik. Contohnya, ibu bapa haruslah bertegur sapa dan melayani jiran tetangga dengan mesra tanpa mengira bangsa, kaum dan anutan agama. Maka, sejak usia muda anak akan terpengaruh untuk meneladani sikap ibu bapa yang menghormati kaum lain, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Barisan pendidik di sekolah juga memainkan peranan signifikan dalam menerapkan nilai murni ke dalam sanubari anak murid. Melalui pengajaran subjek pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan, barisan pendidik dapat memberikan bimbingan dan nasihat yang berterusan untuk membentuk sahsiah positif dalam para murid. Yang kita pastikan ialah gabungan usaha antara ibu bapa dengan barisan pendidik dapat memupuk nilai perpaduan dalam generasi muda.

       Selain itu, pada masa ini juga aktiviti kemasyarakatan dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita. Melalui penganjuran aktiviti gotong-royong, masyarakat dapat memupuk semangat bekerjasama bak aur dengan tebing untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman. Aktiviti sebegini mampu menjamin keceriaan kawasan kediaman masyarakat dan juga membuka ruang serta peluang komunikasi antara jiran tetangga. Pada masa yang sama, konsep rumah terbuka haruslah diperkukuh di negara kita. Rumah terbuka merupakan kaedah pemupukan perpaduan yang efektif kerana dapat mendedahkan masyarakat kepada keunikan adat resam kaum lain. Secara tidak langsung, persefahaman antara kaum dapat diwujudkan dan hubungan erat bak isi dengan kuku dapat dijalin. Dengan perkataan lain, aktiviti kemasyarakatan merupakan saluran yang paling berkesan untuk memupuk perpaduan kaum.

         Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini. Dalam konteks mengukuhkan perpaduan kaum, media massa seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyebarkan mesej dan informasi positif tentang kepentingan bersatu padu. Sebagai analoginya, stesen penyiaran tempatan boleh menyiarkan program yang berunsur perpaduan dan mempunyai pelakon yang berbilang pelbagai bangsa. Siaran program sebegini sudah pasti dapat menerapkan nilai perpaduan dalam jiwa masyarakat secara beransur-ansur terutamanya jika unsur hiburan turut diselitkan dalam program tersebut. Sesungguhnya, perpaduan kaum akan tercapai dengan lebih mudah melalui peranan media massa.

          Dalam sistem perundangan negara kita, rakyat diberikan hak kebebasan bersuara. Namun demikian, rakyat Malaysia seharusnya menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum. Rakyat negara kita haruslah mengawal nafsu diri dan tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu sensitif dan kontroversi. Hal ini dapat mengelakkan muhibah dan perpaduan kaum daripada terjejas kerana bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, peranan rakyat sendiri tidak boleh dinafikan kepentingannya dalam usaha memupuk perpaduan kaum di negara kita.

         Kesetiaan kepada raja dan negara terangkum dalam prinsip rukun negara yang kedua. Prinsip ini amat penting diamalkan bagi melahirkan rakyat yang taat setia kepada pemerintah dan negara. Setiap warganegara haruslah menumpukan sepenuh taat setia kepada raja dan negara kerana Raja lambang perpaduan negara. Sumpah taat dan setia kepada raja dapat mengelakkan sesetengah rakyat di negara ini menjadi gunting dalam lipatan atau menangguk di air yang keruh demi kepentingan diri sendiri. Perkara buruk seperti rusuhan kaum dapat dielakkan jika rakyat mematuhi prinsip kedua ini sekali gus menjamin kestabilan negara yang berterusan.

       Konklusinya, perpaduan merupakan tunjang dan asas negara Malaysia. Semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk memainkan peranan masing-masing dalam menerbitkan semangat perpaduan dalam sanubari sendiri dan orang lain. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insya-Allah perpaduan rakyat dapat dicapai dan diggenggam erat. Dengan ini diharapkan peristiwa hitam seperti 13 Mei 1969 dapat dielakkan daripada berulang kembali. Demi masa depan negara yang cemerlang, marilah kita bersama-sama menyeru sahutan kerajaan dan berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu.

Oleh: Muhammad Faris Amzar, 5 Maju 2021, SMKBBSKL

Penulisan e-mel ( Pengalaman Mencandat Sotong)

Daripada:zulkarnain@gmail.com

Kepada: intanmiasara@gmail.com

Subjek: Pengalaman Mencandat Sotong


Cikgu Intan,

          Semoga cikgu berada dalam keadaan sihat selalu. Tujuan saya mengirim e-mel ini adalah untuk berkongsi pengalaman saya sekeluarga pada cuti penggal yang lalu iaitu aktiviti mencandat sotong. Aktiviti yang dilakukan di Pantai Chendering, Kuala Terenganu itu dirancang agar keluarga kami dapat meluangkan masa bersama-sama selain merasai pengalaman baharu.

          Ayah membeli pakej yang berharga RM 1400 iaitu pakej untuk 10 orang peserta.  Pakej tersebut sememangnya sesuai untuk kami yang mempunyai tujuh orang ahli keluarga. Barangan keperluan yang kami bawa hanyalah baju sejuk, sebungkus roti dan air mineral kerana selebihnya disediakan oleh pihak penganjur seperti minum petang, makan malam dan alat mencandat.

         Usai tiba di Jeti Pelabuhan LKIM Chendering sekitar pukul lima petang, kami berkumpul untuk mendengar beberapa taklimat daripada tekong berkaitan dengan langkah-langkah keselamatan semasa melakukan aktiviti. Kami berehat seketika di bilik penginapan dan menyemak semula kelengkapan dan bersiap sedia melakukan aktiviti tersebut.Pada jam enam petang, aktiviti mencandat sotong bermula. Saya ditugaskan untuk memimpin bacaan doa sebelum kami menaiki bot agar kami memperoleh rezeki yang banyak dan selamat semasa melakukan aktiviti ini.

          Pada awalnya, tidak banyak sotong yang kami peroleh. Jadi, kami berehat sebentar selepas kira-kira satu jam di dalam bot untuk makan malam . Kami kembali menyambung aktiviti mencandat setelah menikmati makan malam yang sangat menyelerakan.  Hasil tunjuk ajar yang diberikan oleh tekong, saya berjaya mencandat 14 ekor sotong. Ahli keluarga saya yang lain juga memperoleh tangkapan yang banyak. Setelah masuk waktu Subuh, kami segera pulang ke jeti. Kami berkemas dan bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada jam 10.00 pagi setelah menzahirkan penghargaan kepada tekong dan pembantunya. 

          Pengalaman ini sememangnya tidak akan saya lupakan. Saya berharap cikgu boleh berkongsi aktiviti yang cikgu lakukan ketika melalui cuti penggal yang lalu. Sekian, terima kasih.


Yang ikhlas,                                                      Zulkarnain