Rabu, 28 Julai 2021

Penulisan e-mel ( Pengalaman Mencandat Sotong)

Daripada:zulkarnain@gmail.com

Kepada: intanmiasara@gmail.com

Subjek: Pengalaman Mencandat Sotong


Cikgu Intan,

          Semoga cikgu berada dalam keadaan sihat selalu. Tujuan saya mengirim e-mel ini adalah untuk berkongsi pengalaman saya sekeluarga pada cuti penggal yang lalu iaitu aktiviti mencandat sotong. Aktiviti yang dilakukan di Pantai Chendering, Kuala Terenganu itu dirancang agar keluarga kami dapat meluangkan masa bersama-sama selain merasai pengalaman baharu.

          Ayah membeli pakej yang berharga RM 1400 iaitu pakej untuk 10 orang peserta.  Pakej tersebut sememangnya sesuai untuk kami yang mempunyai tujuh orang ahli keluarga. Barangan keperluan yang kami bawa hanyalah baju sejuk, sebungkus roti dan air mineral kerana selebihnya disediakan oleh pihak penganjur seperti minum petang, makan malam dan alat mencandat.

         Usai tiba di Jeti Pelabuhan LKIM Chendering sekitar pukul lima petang, kami berkumpul untuk mendengar beberapa taklimat daripada tekong berkaitan dengan langkah-langkah keselamatan semasa melakukan aktiviti. Kami berehat seketika di bilik penginapan dan menyemak semula kelengkapan dan bersiap sedia melakukan aktiviti tersebut.Pada jam enam petang, aktiviti mencandat sotong bermula. Saya ditugaskan untuk memimpin bacaan doa sebelum kami menaiki bot agar kami memperoleh rezeki yang banyak dan selamat semasa melakukan aktiviti ini.

          Pada awalnya, tidak banyak sotong yang kami peroleh. Jadi, kami berehat sebentar selepas kira-kira satu jam di dalam bot untuk makan malam . Kami kembali menyambung aktiviti mencandat setelah menikmati makan malam yang sangat menyelerakan.  Hasil tunjuk ajar yang diberikan oleh tekong, saya berjaya mencandat 14 ekor sotong. Ahli keluarga saya yang lain juga memperoleh tangkapan yang banyak. Setelah masuk waktu Subuh, kami segera pulang ke jeti. Kami berkemas dan bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada jam 10.00 pagi setelah menzahirkan penghargaan kepada tekong dan pembantunya. 

          Pengalaman ini sememangnya tidak akan saya lupakan. Saya berharap cikgu boleh berkongsi aktiviti yang cikgu lakukan ketika melalui cuti penggal yang lalu. Sekian, terima kasih.


Yang ikhlas,                                                      Zulkarnain

Tiada ulasan:

Catat Ulasan