Rabu, 6 September 2017

NOTA SAJAK SEJADAH RINDU


Tema
Ketuhanan serta ketaatan kepada agama.
Penyajak insaf akan dosa-dosanya yang lalu. Lantas, penyajak memohon keampunan dengan bertaubat bersungguh-sungguh sebelum penyajak meninggal dunia. Hal ini demikian kerana penyajak berasa insaf dan sedar bahawa dunia ini hanya bersifat sementara.

RANGKAP
SAJAK
MAKSUD
PERSOALAN
NILAI
PENGAJARAN



Rangkap 1

Terkedu aku
di sejadah rindu
mengungkap kalimah syahdu
bait bicara tersentuh kalbu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang terdahulu.

Penyajak seperti kehilangan kata-kata ketika berada dalam keadaan beribadat / bermunajat / bermuhasabah diri / mengadu kepada Tuhan sambil mengucapkan perkataan yang memuji kebesaran Ilahi. Kesedaran tentang kesilapan / kesalahan yang lalu muncul satu demi satu dalam hati yang dahulunya tertutup.

Persoalan keinsafan atas segala dosa lalu yang menghantui hidup.

Keinsafan :
Penyajak menginsafi dosa-dosanya yang lalu.

Kita hendaklah insaf setelah melakukan kesalahan/ dosa.



Rangkap 2

Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan.

Dengan menggunakan segala pancaindera yang dikurniakan Tuhan, penyajak merayu agar Tuhan menunjukkan dia jalan ke arah kebenaran biarpun akur tentang segala kekurangan dirinya yang ada sebagai manusia biasa. Apa yang diharapkan agar segala taubatnya diterima sebelum beliau meninggal dunia.

Persoalan pengharapan terhadap pengampunan daripada Pencipta sebelum meninggal dunia.

Kegigihan :
Penyajak bersungguh-sungguh dan gigih untuk mendapatkan keampunan sebelum meninggal dunia.

Kita hendaklah bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keampunan.



Rangkap 3

Air mata menjadi saksi
keikhlasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
di keheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.

Penyajak menangis dengan sesungguh hati dan dia menyerah diri kepada Tuhan. Dalam suasana hening, penyajak teresak-esak menyatakan keinsafan diri.


Persoalan keikhlasan dalam memohon keampunan daripada Pencipta.

Keikhlasan :
Penyajak bertaubat dengan penuh keikhlasan sehingga menitiskan air mata.

Kita hendaklah ikhlas dalam setiap perbuatan kita.



Rangkap 4

Hati ini luluh
jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
di sejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari pencipta dalam gemuruh.


Penyajak  berasa sangat sedih dan jiwanya terkesan oleh perasaan insaf yang makin galak menguasai dirinya. Dia memuji-muji keagungan Tuhan di tikar sembahyang yang sudah lama ditinggalkan. Dalam keadaan gementar, dia memohon keampunan daripada tuhan agar dosa-dosanya diampunkan

Persoalan kesungguhan dalam memohon keampunan daripada Pencipta.

Ketaatan :
Penyajak taat kepada pencipta dan hanya berharap kepada pengampunan daripada Pencipta.

Kita hendaklah taat kepada pencipta kita.




Rangkap 5

Ungkapan doa pada Yang Esa
izinkan aku menjadi manusia
yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara.

Penyajak memohon kepada Tuhan yang satu agar mengabulkan permintaannya untuk menjadi hamba yang patuh sepanjang hayat, serta supaya dia tidak alpa tentang sifat kehidupan yang fana / tidak kekal.

Persoalan tentang dunia ini yang hanya bersifat sementara.

Kesedaran :
Penyajak mempunyai kesedaran bahawa dunia ini bersifat sementara sahaja.

Kita hendaklah sedar bahawa dunia ini bersifat sementara.





Nada :

Bernada melankolik.

Gaya Bahasa :

1.      Bahasa Arab :
i.                    kalimah – rangkap 1, baris 3
ii.                  Ilahi – rangkap 3, baris 4.
iii.                taubat – rangkap 3, baris 6.

2.      Inversi :
i.                    terkedu aku – rangkap 1, baris 4. Sepatutnya : Aku terkedu.
ii.                  moga terbuka ruang keampunan – rangkap 2, baris 4. Sepatutnya : Ruang keampunan moga terbuka.

3.      Metafora :
i.                    sejadah rindu – rangkap 1, baris 2.
ii.                  merekah keinsafan – rangkap 1, baris 4.
iii.                nafas kehidupan – rangkap 2, baris 2.

4.      Sinkof :
i.                    dosaku – rangkap 1, baris 6.
ii.                  kupohon – rangkap 2, baris 2.
iii.                kautetapkan – rangkap 2, baris 6.

5.      Resposi :
i.                    Air mata menjadi saksi
keikhlasan menjadi bukti








Tiada ulasan:

Catat Ulasan