Pasar tani yang diperkenalkan adalah tercetus dari idea perlunya diwujudkan ruang pasaran tersendiri bagi petani atau pengeluar memasarkan hasil keluaran mereka sendiri terus kepada pengguna. Pasar Tani sebagai ‘Medan Pertemuan Pengeluar Pengguna' telah menjadi institusi Pemasaran yang utama di negara ini. Konsep Pasar Tani yang bercirikan mudah alih dan bersuasana karnival dengan identiti tersendiri telah dilancarkan pada 31 Januari 1985 di Johor Bharu. Pasar-pasar Tani yang telah diwujudkan adalah terdiri daripada Pasar Tani Mega, Pasar Tani Desaraya, Pasar Tani Borong, Pasar Tani Kekal dan juga Pasar Tani Bunga.
Kepentingan pasar tani antaranya
ialah petani dapat memasarkan hasil pertanian yang segar kepada masyarakat. Hal ini dikatakan demikan kerana, barangan yang dijual di pasar tani seperti buah-buahan, sayur -sayuran
dan hasil ternakan lebih segar dan bermutu tinggi kerana dibawa terus dari
ladang. Kakitangan FAMA akan memantau
mutu barangan yang dijual oleh peniaga di Pasar Tani. Tuntasnya, hasil pertanian yang
segar dari ladang dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Selain itu, harga
produk di pasar tani adalah berpatutan. Selain pemantauan kualiti produk, Pihak FAMA juga akan melakukan pemantauan ke setiap pasar tani di seluruh negara dari semasa ke semasa bagi memastikan harga barangan yang ditawarkan kekal dan
lebih murah berbanding harga pasaran setempat.
Harganya murah kerana peniaga memperoleh barangan jualan secara terus dari ladang. Oleh hal yang demikian, pengguna dapat menyahut seruan kerajaan yang amat menggalakkan perbelanjaan berhemat dalam kalangan masyarakat.
Mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang pertanian atau
perniagaan berpeluang memulakan langkah untuk memasarkan hasil titik peluh
mereka dengan menggunakan modal yang rendah. Barang-barang yang boleh dijual biasanya sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, daging dan kuih-muih. Setiap peniaga dihadkan jenis barang yang dijual untuk mengelakkan sesuatu barang itu dijual oleh peniaga yang sama. Jelaslah bahawa pasar tani mampu menyediakan peluang kepada orang ramai untuk menceburi bidang perniagaan dan menyahut slogan yang diuar-uarkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, pertanian itu adalah perniagaan.
Kesimpulannya, kewujudan pasar tani memberi
manfaat yang besar kepada peniaga dan pengguna. Oleh itu, pihak kerajaan
perlulah memperbanyak tapak perniagaan pasar tani di seluruh negara agarsektor
pertanian negara semakin meningkat maju dan slogan "Pertanian adalah Perniagaan' dapat direalisasikan