Penulisan 2 : Usaha Mencapai Kecemerlangan dalam Peperiksaan
Latihan 2
(Dimensi Diri)
Setiap murid mempunyai cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam
hidup termasuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan.
Huraikan langkah-langkah yang perlu
anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Pendahuluan 1
Permaisuri, Raja,
Gajah, Kuda, Kesateria, dan bidak merupakan nama yang tidak asing dalam
permainan catur. Pecatur perlu merancang strategi agar kemenangan dapat
diperoleh. Menuntut ilmu juga memerlukan perancangan yang teliti ibarat seorang
pencatur. Murid-murid sebagai insan
yang masih berdenyut, tidak boleh sekadar berdiam diri dan hanya memasang
impian untuk mendakap kejayaan. Begitu juga dengan saya, hidup ini mesti dihias
dengan harapan, perancangan dan cita-cita barulah sempurna. Tahun demi tahun,
rekod kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia telah dapat dicipta dan
dipecahkan. Suatu waktu dahulu, ada calon yang berjaya memperoleh 16A1, yakni
suatu pencapaian yang belum pernah dicapai. Akan tetapi beberapa tahun kemudian
rekod ini telah dapat dipecahkan oleh Saudari Nur Amalina yang berjaya
memperoleh 17A1. Pada SPM 2008 pula, Saudara Azli Azlan dapat mencipta rekod dengan
memperoleh kesemua 21A1 bagi subjek yang diambil oleh beliau. Sebagai pelajar
yang berwawasan, saya perlu mempunyai percaturan untuk mencapai kecemerlangan
dalam dunia akademik saya. Persiapan-persiapan awal amatlah mustahak sebagai
persediaan untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Pendahuluan 2
Saban hari
angin perubahan mengetuk-ngetuk pintu kehidupan kita. Segala-galanya terus
mengalami perubahan dengan pantas. Yang alpa, yang masih lena dibuai mimpi
pasti akan ketinggalan. Setiap murid perlu memperlengkap diri mencari bekal
bagi menghadapi perubahan dengan memastikan diri mencapai tahap akademik
setinggi yang boleh. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai
keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Namun, kecemerlangan
ini hanya akan dapat dicapai sekiranya pelajar-pelajar berusaha
bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah
sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam
yang tinggi untuk mencapainya. Murid-murid tidak sepatutnya menganggap perkara
ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan
menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Agar pelajar tidak menyesal pada masa
hadapan disebabkan gagal memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan,
mereka mempersiapkan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna. Oleh itu, sebagai seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia, saya
harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya, apakah
modus operandi dan perancangan dan persediaan awal yang sepatutnya saya lakukan
untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?
Langkah pertama
yang saya ambil ialah sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar
di kelas. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar,
sudah tentu sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam
minda saya. Hal ini persis pendapat seorang
pakar psikologi yang pernah mengatakan bahawa “lima puluh peratus kejayaan
pelajar-pelajar adalah disebabkan oleh mereka memberikan sepenuh perhatian
ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan”. Ditambah lagi
dengan suasana bilik darjah bilik darjah yang ceria perlu supaya saya tidak
akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan dapat mengingati apa-apa
yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya sebut atau yang saya
ulangi. Saya juga menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh
guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan.
Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau
tajuk yang saya kurang faham kerana berdasarkan satu kajian yang telah
dijalankan dan telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan pelajar dalam
peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan
soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh
mereka. Tegasnya memberi tumpuan ketika guru mengajar dan menyiapkan kerja
rumah yang diberikan oleh guru merupakan satu langkah dan persediaan yang
sedang saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Selain itu,
saya menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan menyediakan jadual waktu
belajar dan saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya saya ingin mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu
kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa
secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk
mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk
menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual waktu belajar yang
telah saya tetapkan apabila peperiksaan
sudah tiba, hal ini diibaratkan nasi sudah menjadi bubur. Kita haruslah
sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya
biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal.
Manakala pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka
terlalu leka membuang masa dan tidak
berpegang kepada pepatah “masa itu emas” dan “masa lalu tidak akan kembali”,
maka mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan
dan ini haruslah dielakkan. Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan memberi
saya masa yang cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti.
Seterusnya,
saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru di sekolah,
barulah saya bertanya kepada guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya
juga haruslah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di sekolah
bak kata pepatah “malas berkayuh perahu hanyut”, “segan bertanya sesat jalan.”
Malah, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di
pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada guru di tuisyen. Tambahan
pula, jika terdapat sesuatu topik itu diajar dua kali, maka saya akan mudah
ingat dan saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu
saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala
program yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan
Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya
menyertai program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan
jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya,
penyertaan saya dalam program sekolah dan mengikuti kelas tuisyen merupakan
salah satu langkah bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Di
samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai
keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa
kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah
dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan
antara kaca dengan permata dan sentiasa memikirkan akan masa depan saya serta
matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan
pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan
mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan
saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh
guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan
meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan.
Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam pembelajaran akan dapat
menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai semangat
untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan
diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau
apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada
rakan-rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan
sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu
akan dapat membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan
memberi dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh
saya melibatkan diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan
tekanan jiwa dan stres. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan
gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya,
saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan
tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya.
Akhir sekali,
saya akan mematuhi segala nasihat ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa
berdoa kepada Tuhan. Kata orang-orang tua, “Tuhan hanya akan menolong dan
memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa.” Kenyataan ini pasti benar
kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan sentiasa
patuh pada nasihat dan asuhan ibu kerana saya sedar bahawa syurga terletak di
telapak kaki ibu. Misalnya, ibu saya selalu menasihatkan saya untuk belajar
bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan berusaha secara gigih untuk memperoleh
kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu walaupun
betapa tabah atau bijak mana saya sekalipun, saya tidak mungkin dapat memperoleh
kejayaan yang cemerlang yang saya ingini tanpa doa, restu dan dorongan daripada
kedua-dua ibu bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan
supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya
mampu merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat
kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga
akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberiannya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah dan segala perbincangan yang saya rancangkan. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan terutamanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, hidup kita sudah tentu teraba-raba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan tanpa berputus asa ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan