Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang. Kebanyakan masyarakat dewasa ini kurang menunjukkan sikap saling menyayangi antara satu sama lain berbanding dengan masyarakat zaman silam. Mereka tidak sedar bahawa nilai tersebut penting diamalkan oleh setiap insan untuk membentuk satu masyarakat harmoni. Oleh sebab kesibukan beverja dan kemajuan dunia yang mementingkan kecanggihan teknologi sahaja, nilai tersebut makin diabaikan oleh masyarakat. Persoalannya, apakah ciri-ciri masyarakat penyayang ?
Tidak dapat dinafikan masyarakat penyayang adalah sekumpulan manusia yang menunjukkan kasih sayang sesama mereka. Hal ini kerana mereka tidak mementingkan diri sendiri sahaja bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tetapi prihatin terhadap masyarakat sekeliling juga. Mereka selalu prihatin dengan situasi masyarakat sekeliling dan sudi menghulurkan bantuan kepada mereka yang mengalami kesusahan. Contohnya, pertolongan diberi kepada mangsa banjir dan mangsa kebakaran. Tegasnya, salah satu ciri masyarakat penyayang adalah dengan saling menyayangi antara satu sama lain dan mempunyai sikap mengambil berat terhadap makhluk yang lain.
Selain itu, sikap sayang akan alam sekitar juga merupakan sifat masyarakat penyayang. Hal ini dikatakan sedemikian kerana alam sekitar juga merupakan satu ciptaan Tuhan yang perlu dihargai dan dipelihara seperti manusia. Sudah terang lagi bersuluh, masyarakat penyayang merupakan golongan yang sentiasa melestarikan kebersihan alam sekitar. Sebagai contoh, gotong-royong kerap dilakukan, sampah-sarap tidak dibuang merata-rata dan hutan tidak ditebang secara sesuka hati . Amalan-amalan tersebut menunjukkan ciri masyarakat penyayang kerana kegiatan itu dapat mengelakkan pencemaran alam sekitar. Jelaslah bahawa masyarakat penyayang bukan sahaja prihatin terhadap insan tetapi juga terhadap segala ciptaan Tuhan seperti alam sekitar.
Akhir sekali, ciri-ciri masyarakat penyayang adalah menyayangi dan menghargai haiwan. Segelintir masyarakat tidak memandang haiwan sebagai organisma hidup dan sering mengbaikan atau mendera binatang-binatang tersebut. Namun masyarakat penyayang tidak membuat demikian tetapi akan menjaga haiwan dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Misalnya, mereka akan membawa binatang peliharaan untuk mendapat rawatan yang sepatutnya dan akan memberi makanan kepada haiwan liar yang kelaparan. Intihanya, sayang akan haiwan juga merupakan satu ciri mustahak yang dipupuk dalam kalangan masyarakat penyayang.
Kesimpulannya, masyarakat penyayang bukan sekadar menyayangi sesama manusia sahaja tetapi sikap kasih sayang juga ditunjukkan kepada alam sekitar dan haiwan. Dengan adanya sikap kasih sayang ini, keadaan harmoni dan perpaduan dapat diwujudkan antara masyarakat. Oleh hal yang demikian, semua pihak harus bekerjasama bagai aur dengan tebing menggembleng kudrat untuk membentuk masyarakat yang penyayang. Hal ini bukan sahaja untuk kebaikan kestabilan negara tetapi juga dapat memberi manfaat kepada diri sendiri.
TAN XIN LE ( 5 MAJU 2020)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan