- Pendahuluan Jenis Definisi
Kesedaran sivik bermaksud rasa tanggungjawab
yang lahir secara ikhlas dalam memelihara harta benda awam atau menjaga
kepentingan awam demi kebaikan bersama. Nilai murni ini hanya dimiliki oleh
individu yang tidak mementingkan diri sendiri, pandai menghargai harta
kepunyaan awam, dan dapat bertolak ansur, serta memahami budaya jiran atau
masyarakat sekeliling. Oleh itu, terdapat pelbagai cara untuk memupuk kesedaran
sivik dalam kalangan masyarakat.
- Pendahuluan Jenis Perangkaan
Perangkaan terbaru yang dikeluarkan oleh
Jabatan Kebajikan Masyarakat berhubung dengan gejala negatif dalam kalangan
remaja di negara ini amatlah menggerunkan kita. Lebih kurang 71 peratus
golongan remaja yang berusia antara 13 hingga 21 tahun didapati merokok, 40
peratus menonton video lucah, 28 peratus terlibat dengan perjudian dan 14
peratus menagih dadah. Selain itu, kes-kes jenayah yang membabitkan remaja
meningkat dengan pesatnya, serancaknya dengan pertumbuhan ekonomi negara.
Langkah-langkah untuk membendung kebejatan sosial ini perlulah segera kita
ambil bagi mematikan keharmonian negara terpelihara.
- Pendahuluan Jenis Sejarah
Di mana-mana negara pun, pengedaran dadah
merupakan perbuatan yang dikutuk dan mereka yang disabit kesalahan akan
dikenakan hukuman yang setimpal. Bezanya ialah, berat atau ringan hukuman yang
dikenakan. Di negara kita Malaysia,
hukuman mati menunggu mereka yang terbabit dengan pengedaran dadah dalam
kuantiti yang tertentu. Sejarah telah membuktikan keburukan ketagihan dadah.
Pengedaran candu oleh pedagang-pedagang British kepada penduduk Hong Kong pada
abad ke-19 telah menyaksikan kekalahan China dalam perang menentang British,
sebagai akibat ketagihan akan candu, China terpaksa menyerahkan Hong Kong
kepada kuasa British selama 156 tahun. Oleh yang demikian, langkah-langkah
menangani pengedaran dadah perlulah dilakukan secara serius agar negara kita
tidak musnah dek dadah.
- Pendahuluan Jenis Pendapat Khusus
Kenyataan
Menteri Pengangkutan berhubung kajian kementeriannya dalam melaksanakan
peraturan mewajibkan pemandu yang melanggar peraturan jalan raya supaya
mengikuti kelas memandu semula boleh dianggap sebagai satu strategi yang
dinanti-nantikan. Strategi ini merupakan langkah berkesan yang dapat
mendatangkan kesan positif kepada semua pengguna jalan raya jika dilaksanakan
dengan bersungguh-sungguh dan serius. Selain peraturan tersebut, terdapat
pelbagai cara untuk mengelakkan kemalangan jalan raya.
- Pendahuluan Jenis Wawancara
Biasa kita
dengar, seorang doktor bertugas di hospital, klinik ataupun di pusat
penyelidikan berkaitan perubatan atau rawatan. Tetapi lain pula dengan tetamu
Dewan Kosmik kali ini. Prof. Madya Dr. Anuar Suun yang merupakan seorang ahli
perubatan yang turun bertugas di padang sukan dan gelanggang olahraga. Peranan
besar yang dipikul beliau jarang disedari oleh orang awam. Oleh itu, ikutilah
wawancara istimewa wartawan Dewan Kosmik, Nik Khartina Nik Man bersama Dekan
Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknolgi MARA ini.
- Pendahuluan Jenis Suasana
Payung biru kesayanganku hampir ditiup angin
kencang. Daun-daun di tepi jalan bercampur dengan sampah sarap berterbangan
ditiup angin. Sesekali terdengar akan bunyi guruh dalam titisan air hujan
melibas mukaku. Lagi 50 meter aku akan tiba di pintu pagar sekolah tetapi
begitu lambat kerana terpaksa menentang deruan angin yang menyongsang. Tubuhku
seolah-olah tertolak ke belakang sehingga menyukarkan aku untuk melangkah dan
mara. Mujurlah berat badanku tidak membolehkan angin kencang itu menerbangkanku
dengan mudah. Sebaik-baik sahaja aku menjejakkan kaki di serambi sekolah, hujan
turun mencurah-curah.
- Pendahuluan Jenis Pendapat
Pelbagai
pihak menggesa pemerintah supaya had umur remaja bagi kes juvana dikaji semula. Gesaan ini dibuat memandangkan had umur 18
tahun dewasa ini tidak bersesuaian dengan sikap dan tahap kematangan remaja 50
tahun dahulu. Rekod polis banyak mencatatkan kes juvana yang melibatkan remaja
pada usia tersebut. Selaras dengan itu, Mahkamah Juvana 1947 harus dikaji bagi
menyelaraskan akta yang sedia ada berhubung dengan had umur remaja bagi kes
juvana.
- Pendahuluan Jenis Persoalan
Tiada ibu bapa yang tidak bimbang
jika anak-anak mereka yang berada di sekolah dilaporkan terlibat dengan keracunan
makanan, sedangkan makanan yang dibeli anak-anak itu dijual di kantin sekolah.
Persoalannya, adakah makanan di kantin sekolah sudah tidak selamat? Adakah
peraturan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Pendidikan diabaikan oleh
sesetengah pengusaha kantin? Apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi
menangani masalah keracunan makanan ini?
- Pendahuluan Jenis Analogi
Cuba kita ambil sebatang lidi dan
patah-patahkannya. Sudah tentu dengan mudah sahaja kita dapat melakukannya.
Bagaimana pula jika lidi itu seberkas? Tentu tidak mudah atau sukar bagi kita
mematahkannya. Analogi ini dapat dikaitkan dengan perpaduan hampir 30 juta penduduk di Malaysia yang berbilang
bangsa. Semangat muhibah dan bersatu padu amat diperlukan oleh negara dalam
menjamin kestabilan politik, ekonomi, dan sosial negara. Oleh itu, langkah-langkah untuk memupuk
perpaduan perlu segera dipraktikkan agar kemajuan dan kemakmuran negara kita
terjamin.
Kak....nk Tanya ni pendahuluan tentang semua tajuk Ade x ?
BalasPadamUntungnya blog ini
BalasPadam