Khamis, 26 Ogos 2021
Rencana: Isu Pendermaan Organ dan Tisu di Malaysia
Rabu, 4 Ogos 2021
Rencana Terapi Seni Melalui Lukisan dalam Kehidupan
TERAPI SENI MELALUI LUKISAN DALAM KEHIDUPAN
oleh: Muhammad Zulkarnain bin Shahril Rizal
Terapi seni melalui lukisan merupakan suatu terapi yang menggabungkan prinsip seni dan psikologi untuk membantu seseorang individu dalam menangani sesuatu masalah. Terapi seni tidak memerlukan seseorang itu pandai melukis kerana terapi ini tidak bertujuan untuk menghasilkan karya yang artistik. Oleh itu, beberapa langkah boleh diambil untuk menerapkan terapi seni dalam diri individu.
Salah satu langkah untuk menerapkan terapi seni melalui lukisan dalam diri individu ialah guru kaunseling perlu bekerjasama dengan guru seni. Dalam konteks ini, masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, iaitu guru kaunseling pakar dalam hal permasalahan pelajar manakala guru seni pakar dalam hal kesenian. Hal ini demikian boleh dilakukan dengan memberikan kursus berkaitan seni terapi kepada ahli Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) untuk mendapatkan pendekatan dengan pelajar yang mempunyai masalah. Melalui langkah ini, ahli PRS akan mempunyai pengetahuan dan lebih mudah untuk melaksanakan tugas. Langkah yang diambil ini dapat dilihat seperti bukit sama didaki lurah sama dituruni. Natijahnya, kerjasama antara guru kaunseling dengan guru seni amat membantu dalam menerapkan terapi seni melalui lukisan dalam diri individu.
Seterusnya, pihak kerajaan mesti memfokuskan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghidap masalah mental seperti autisme dan sindrom 'down'. Hal ini demikian supaya ibu bapa lebih peka dalam menguruskan emosi anak-anak mereka. Dalam aspek ini, pihak kerajaan boleh mengadakan kempen secara besar-besaran melalui platform media massa seperti berita, akhbar dan media sosial. Dengan hal ini, ibu bapa sememangnya dapat menguruskan anak-anak mereka dengan lebih mudah kerana memahami emosi anak-anak mereka. Tegasnya, inisiatif kerajaan dalam memfokuskan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghidap masalah mental dapat menerapkan terapi seni dalam diri individu.
Terdapat juga beberapa kepentingan yang boleh diperolehi daripada terapi seni melalui lukisan ini. Salah satu daripadanya ialah potensi diri individu dapat ditingkatkan. Hal ini demikian boleh dilakukan melalui ekspresi seni yang dihasilkan seperti lukisan berkonsepkan potret diri, lukisan spontan ataupun lukisan keluarga. Hasilnya, individu akan berasa lebih yakin pada diri dan bermotivasi. Jelaslah bahawa terapi seni melalui lukisan ini membantu dalam meningkatkan potensi diri individu.
Seterusnya, terapi seni melalui lukisan dapat memperkasakan kemahiran motor halus anak-anak yang masih kecil seawal usia tiga tahun. Hal ini demikian kerana terapi seni banyak mempengaruhi pemikiran seseorang terutamanya kanak-kanak yang masih membangun. Aspek ini biasanya melibatkan koordinasi otot-otot kecil dan penglihatan. Impaknya, anak-anak dapat melaksanakan tugas-tugas penting secara sendirian seperti memasukkan butang dalam baju, memegang pinggang mangkuk dan menggunakan tandas. Manfaat yang diperoleh ini sesuai dengan peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Tuntasnya, kemahiran motor halus anak-anak kecil dapat diperkasakan dengan terapi seni melalui lukisan.
Konklusinya, terapi seni melalui lukisan sememangnya mempunyai banyak manfaatnya. Semua pihak seharusnya mengambil inisiatif dalam menyebarkan kaedah ini agar dapat memberikan faedah kepada manusia serta membantu dalam mengurangkan isu berkenaan masalah mental dalam kalangan masyarakat.
KARANGAN A: LANGKAH PENCEGAHAN COVID-19
Covid-19 telah ditemukan pada Disember 2019 di Wuhan, China. Virus ini telah menyerang hampir ke seluruh pelosok dunia. Trend peningkatan kes virus ini dilaporkan sudah mencecah jutaan orang serta melibatkan jumlah kematian yang tinggi.
Orang awam digalakkan untuk mengenakan pelitup muka yang berkualiti ketika berada di tempat terbuka yang sesak dan sibuk. Sebagai contoh, Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan rakyat agarmemilih pelitup muka tiga lapis yang diperbuat daripada fabrik kalis air. Tindakan ini dapat menghalang cecair seperti batuk atau bersin tersebar kepada individu lain.
Selain itu, kerajaan juga telah menetapkan obligasi untuk kita mengamalkan penjarakan fizikal sejauh satu meter ketika berada di tempat awam. Hal ini rentetan daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia selain telah meluluskan beberapa jenis vaksin seperti Pfizer, Sinovac dan Astra Zeneca. Pemvaksinan merupakan satu-satunya cara yang dipercayai untuk memutuskan rantaian Covid-19 buat masa ini.
Seterusnya, kerajaan juga telah melaksanakan beberapa kempen seperti ‘Elakkan 3S’ iaitu elakkan berkunjung ke tempat yang sesak, elakkan tempat yang sempit dan tertutup serta elakkan bersembang secara dekat. Oleh sebab virus ini senang merebak walaupun melalui udara, pematuhan rakyat kepada norma baharu yang ditetapkan sangatlah dititikberatkan barisan hadapan.
Kesimpulannya, semua pihak seharusnya bekerjasama mementingkan prosedur operasi standard yang ketat supaya dapat mengelakkan daripada virus ini merebak dengan mudah.
Muhammad Faris Amzar,2021
Rabu, 28 Julai 2021
Aman Makmur Malaysia ( Langkah-langkah Memupuk Perpaduan dalam Kalangan Rakyat)
KARANGAN BAHAGIAN B
Perpaduan merujuk kepada suasana dan ikatan mesra antara rakyat dalam sesebuah negara. Dunia yang semakin kompleks kini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat. Isu perpaduan kaum bukanlah sesuatu isu yang baharu di negara kita bahkan telah menjadi fokus perbincangan dalam media massa dan buah mulut dalam kalangan rakyat. Senario ini amat mengecewakan kerana pembangunan negara kita yang pesat sejak merdeka akan terjejas disebabkan pergaduhan dan pergolakan politik dalaman. Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik haruslah dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga akar umbi.
Peranan ibu bapa dan barisan pendidik merupakan wahana dalam membina generasi masa hadapan yang mementingkan keharmonian antara kaum. Dalam institusi keluarga, ibu bapa merupakan entiti mithali kepada anak dan perlu menunjukkan teladan baik. Contohnya, ibu bapa haruslah bertegur sapa dan melayani jiran tetangga dengan mesra tanpa mengira bangsa, kaum dan anutan agama. Maka, sejak usia muda anak akan terpengaruh untuk meneladani sikap ibu bapa yang menghormati kaum lain, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Barisan pendidik di sekolah juga memainkan peranan signifikan dalam menerapkan nilai murni ke dalam sanubari anak murid. Melalui pengajaran subjek pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan, barisan pendidik dapat memberikan bimbingan dan nasihat yang berterusan untuk membentuk sahsiah positif dalam para murid. Yang kita pastikan ialah gabungan usaha antara ibu bapa dengan barisan pendidik dapat memupuk nilai perpaduan dalam generasi muda.
Selain itu, pada masa ini juga aktiviti kemasyarakatan dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita. Melalui penganjuran aktiviti gotong-royong, masyarakat dapat memupuk semangat bekerjasama bak aur dengan tebing untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman. Aktiviti sebegini mampu menjamin keceriaan kawasan kediaman masyarakat dan juga membuka ruang serta peluang komunikasi antara jiran tetangga. Pada masa yang sama, konsep rumah terbuka haruslah diperkukuh di negara kita. Rumah terbuka merupakan kaedah pemupukan perpaduan yang efektif kerana dapat mendedahkan masyarakat kepada keunikan adat resam kaum lain. Secara tidak langsung, persefahaman antara kaum dapat diwujudkan dan hubungan erat bak isi dengan kuku dapat dijalin. Dengan perkataan lain, aktiviti kemasyarakatan merupakan saluran yang paling berkesan untuk memupuk perpaduan kaum.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini. Dalam konteks mengukuhkan perpaduan kaum, media massa seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyebarkan mesej dan informasi positif tentang kepentingan bersatu padu. Sebagai analoginya, stesen penyiaran tempatan boleh menyiarkan program yang berunsur perpaduan dan mempunyai pelakon yang berbilang pelbagai bangsa. Siaran program sebegini sudah pasti dapat menerapkan nilai perpaduan dalam jiwa masyarakat secara beransur-ansur terutamanya jika unsur hiburan turut diselitkan dalam program tersebut. Sesungguhnya, perpaduan kaum akan tercapai dengan lebih mudah melalui peranan media massa.
Dalam sistem perundangan negara kita, rakyat diberikan hak kebebasan bersuara. Namun demikian, rakyat Malaysia seharusnya menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum. Rakyat negara kita haruslah mengawal nafsu diri dan tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu sensitif dan kontroversi. Hal ini dapat mengelakkan muhibah dan perpaduan kaum daripada terjejas kerana bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, peranan rakyat sendiri tidak boleh dinafikan kepentingannya dalam usaha memupuk perpaduan kaum di negara kita.
Kesetiaan kepada raja dan negara terangkum dalam prinsip rukun negara yang kedua. Prinsip ini amat penting diamalkan bagi melahirkan rakyat yang taat setia kepada pemerintah dan negara. Setiap warganegara haruslah menumpukan sepenuh taat setia kepada raja dan negara kerana Raja lambang perpaduan negara. Sumpah taat dan setia kepada raja dapat mengelakkan sesetengah rakyat di negara ini menjadi gunting dalam lipatan atau menangguk di air yang keruh demi kepentingan diri sendiri. Perkara buruk seperti rusuhan kaum dapat dielakkan jika rakyat mematuhi prinsip kedua ini sekali gus menjamin kestabilan negara yang berterusan.
Konklusinya, perpaduan merupakan tunjang dan asas negara Malaysia. Semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk memainkan peranan masing-masing dalam menerbitkan semangat perpaduan dalam sanubari sendiri dan orang lain. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insya-Allah perpaduan rakyat dapat dicapai dan diggenggam erat. Dengan ini diharapkan peristiwa hitam seperti 13 Mei 1969 dapat dielakkan daripada berulang kembali. Demi masa depan negara yang cemerlang, marilah kita bersama-sama menyeru sahutan kerajaan dan berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu.
Oleh: Muhammad Faris Amzar, 5 Maju 2021, SMKBBSKL
Penulisan e-mel ( Pengalaman Mencandat Sotong)
Daripada:zulkarnain@gmail.com
Kepada: intanmiasara@gmail.com
Subjek: Pengalaman Mencandat Sotong
Cikgu Intan,
Semoga cikgu berada dalam keadaan sihat selalu. Tujuan saya mengirim e-mel ini adalah untuk berkongsi pengalaman saya sekeluarga pada cuti penggal yang lalu iaitu aktiviti mencandat sotong. Aktiviti yang dilakukan di Pantai Chendering, Kuala Terenganu itu dirancang agar keluarga kami dapat meluangkan masa bersama-sama selain merasai pengalaman baharu.
Ayah membeli pakej yang berharga RM 1400 iaitu pakej untuk 10 orang peserta. Pakej tersebut sememangnya sesuai untuk kami yang mempunyai tujuh orang ahli keluarga. Barangan keperluan yang kami bawa hanyalah baju sejuk, sebungkus roti dan air mineral kerana selebihnya disediakan oleh pihak penganjur seperti minum petang, makan malam dan alat mencandat.
Usai tiba di Jeti Pelabuhan LKIM Chendering sekitar pukul lima petang, kami berkumpul untuk mendengar beberapa taklimat daripada tekong berkaitan dengan langkah-langkah keselamatan semasa melakukan aktiviti. Kami berehat seketika di bilik penginapan dan menyemak semula kelengkapan dan bersiap sedia melakukan aktiviti tersebut.Pada jam enam petang, aktiviti mencandat sotong bermula. Saya ditugaskan untuk memimpin bacaan doa sebelum kami menaiki bot agar kami memperoleh rezeki yang banyak dan selamat semasa melakukan aktiviti ini.
Pada awalnya, tidak banyak sotong yang kami peroleh. Jadi, kami berehat sebentar selepas kira-kira satu jam di dalam bot untuk makan malam . Kami kembali menyambung aktiviti mencandat setelah menikmati makan malam yang sangat menyelerakan. Hasil tunjuk ajar yang diberikan oleh tekong, saya berjaya mencandat 14 ekor sotong. Ahli keluarga saya yang lain juga memperoleh tangkapan yang banyak. Setelah masuk waktu Subuh, kami segera pulang ke jeti. Kami berkemas dan bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada jam 10.00 pagi setelah menzahirkan penghargaan kepada tekong dan pembantunya.
Pengalaman ini sememangnya tidak akan saya lupakan. Saya berharap cikgu boleh berkongsi aktiviti yang cikgu lakukan ketika melalui cuti penggal yang lalu. Sekian, terima kasih.
Yang ikhlas, Zulkarnain
KARANGAN B SPM: PUNCA-PUNCA MASALAH KESIHATAN MENTAL ( TRIAL TERENGGANU 2023)
Data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati satu dalam empat remaja mengalami gejala kemurungan pada 2022 be...
-
GEJALA BULI DALAM KALANGAN PELAJAR: DI MANA SILAPNYA? PENGERUSI : Siti Rasyidah binti Che Masruddin ...
-
TEMA, PERSOALAN, NILAI, PENGAJARAN, LATAR MASYARAKAT DAN PERWATAKAN HURAIAN & PERISTIWA PERSOALAN NILAI ...
-
Keluarga ialah satu kumpulan manusia yang dihubungkan melalui pertalian darah, perkahwinan atau penjagaan di mana para anggotanya tinggal di...