TERAPI SENI MELALUI LUKISAN DALAM KEHIDUPAN
oleh: Muhammad Zulkarnain bin Shahril Rizal
Terapi seni melalui lukisan merupakan suatu terapi yang menggabungkan prinsip seni dan psikologi untuk membantu seseorang individu dalam menangani sesuatu masalah. Terapi seni tidak memerlukan seseorang itu pandai melukis kerana terapi ini tidak bertujuan untuk menghasilkan karya yang artistik. Oleh itu, beberapa langkah boleh diambil untuk menerapkan terapi seni dalam diri individu.
Salah satu langkah untuk menerapkan terapi seni melalui lukisan dalam diri individu ialah guru kaunseling perlu bekerjasama dengan guru seni. Dalam konteks ini, masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, iaitu guru kaunseling pakar dalam hal permasalahan pelajar manakala guru seni pakar dalam hal kesenian. Hal ini demikian boleh dilakukan dengan memberikan kursus berkaitan seni terapi kepada ahli Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) untuk mendapatkan pendekatan dengan pelajar yang mempunyai masalah. Melalui langkah ini, ahli PRS akan mempunyai pengetahuan dan lebih mudah untuk melaksanakan tugas. Langkah yang diambil ini dapat dilihat seperti bukit sama didaki lurah sama dituruni. Natijahnya, kerjasama antara guru kaunseling dengan guru seni amat membantu dalam menerapkan terapi seni melalui lukisan dalam diri individu.
Seterusnya, pihak kerajaan mesti memfokuskan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghidap masalah mental seperti autisme dan sindrom 'down'. Hal ini demikian supaya ibu bapa lebih peka dalam menguruskan emosi anak-anak mereka. Dalam aspek ini, pihak kerajaan boleh mengadakan kempen secara besar-besaran melalui platform media massa seperti berita, akhbar dan media sosial. Dengan hal ini, ibu bapa sememangnya dapat menguruskan anak-anak mereka dengan lebih mudah kerana memahami emosi anak-anak mereka. Tegasnya, inisiatif kerajaan dalam memfokuskan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghidap masalah mental dapat menerapkan terapi seni dalam diri individu.
Terdapat juga beberapa kepentingan yang boleh diperolehi daripada terapi seni melalui lukisan ini. Salah satu daripadanya ialah potensi diri individu dapat ditingkatkan. Hal ini demikian boleh dilakukan melalui ekspresi seni yang dihasilkan seperti lukisan berkonsepkan potret diri, lukisan spontan ataupun lukisan keluarga. Hasilnya, individu akan berasa lebih yakin pada diri dan bermotivasi. Jelaslah bahawa terapi seni melalui lukisan ini membantu dalam meningkatkan potensi diri individu.
Seterusnya, terapi seni melalui lukisan dapat memperkasakan kemahiran motor halus anak-anak yang masih kecil seawal usia tiga tahun. Hal ini demikian kerana terapi seni banyak mempengaruhi pemikiran seseorang terutamanya kanak-kanak yang masih membangun. Aspek ini biasanya melibatkan koordinasi otot-otot kecil dan penglihatan. Impaknya, anak-anak dapat melaksanakan tugas-tugas penting secara sendirian seperti memasukkan butang dalam baju, memegang pinggang mangkuk dan menggunakan tandas. Manfaat yang diperoleh ini sesuai dengan peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Tuntasnya, kemahiran motor halus anak-anak kecil dapat diperkasakan dengan terapi seni melalui lukisan.
Konklusinya, terapi seni melalui lukisan sememangnya mempunyai banyak manfaatnya. Semua pihak seharusnya mengambil inisiatif dalam menyebarkan kaedah ini agar dapat memberikan faedah kepada manusia serta membantu dalam mengurangkan isu berkenaan masalah mental dalam kalangan masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan