Khamis, 26 Ogos 2021

Rencana: Isu Pendermaan Organ dan Tisu di Malaysia


ISU PENDERMAAN ORGAN DAN TISU DI MALAYSIA
       Oleh: Muhamad Faris Amzar Bin Mohd Fadzli

      “Sakit, perit, berdosa, haram dan takut jenazah terseksa.” Kebanyakan orang di negara ini ragu-ragu untuk menjadi penderma organ dan tisu kerana salah faham mengenai pendermaan organ dan tisu. Sebenarnya, tidak ada apa-apa bentuk halangan untuk melakukannya dari segi kepercayaan  dalam mana-mana agama. Bahkan, Islam sendiri turut menggalakkan penganutnya untuk menderma organ dan tisu selepas kematian mereka sekali gus menepis segala pertikaian dan perselisihan faham berhubung isu ini. Salah satu salah fahaman yang paling umum mengenai pendermaan organ dan tisu ialah tindakan ini bertentangan dengan prinsip agama dan akan menyeksa jenazah. Memetik kata Ketua Pengurus Klinikal Pusat Sumber Transplan Nasional, Datin Dr Lela Yasmin Mansor menyatakan bahawa pendermaan organ tidak menjejaskan rupa atau bentuk tubuh jenazah di samping pengebumian juga boleh dijalankan seperti biasa. 

        Satu strategi perlu diidentifikasi bagi menyanggah persepsi negatif utama yang perlu dilenyapkan iaitu perasaan takut. Penyelidikan menunjukkan bahawa ketakutan dan ketidakyakinan adalah sebab utama rakyat Malaysia khususnya orang Melayu tidak berkenan untuk menyumbang menurut Dr. Lela. Terdapat banyak alasan untuk permasalahan ini. Salah satunya mungkin proses ini menakutkan mereka kerana boleh melibatkan kematian atau sesuatu yang berada di luar jangkaan mereka. Signifikannya, kaedah terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menyebarluaskan maklumat mengenai pendermaan organ melalui Internet  atau bentuk media massa yang lain rentetan transplantasi organ difatwakan harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1970. Beberapa singkapan menyingkapkan bahawa umat Islam dibenarkan berikrar dan menderma organ dan tisu mereka dalam keadaan tertentu di negara-negara seperti Mesir, Arab Saudi, Iran, Pakistan dan Singapura. Ringkasnya, pendermaan organ dan tisu ini amat mustahak kerana  dapat memenuhi tuntutan pemeliharaan nyawa manusia selain tiada apa-apa aspek perdagangan atau penjualan organ dan tisu serta dilakukan sebagai pilihan terakhir untuk memelihara nyawa pesakit yang memerlukan organ atau tisu tersebut.

     Mengambil satu contoh kontradiksi, agama  seperti Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh juga membenarkan pendermaan organ dan tisu selepas meninggal dunia malah menganggapnya satu tindakan yang mulia. Dalam konteks agama Islam, suatu tindakan dinilai menggunakan kaedah fiqh yakni bergantung pada niat dan tujuan asal pelaksanaannya. Tujuan pemindahan organ dan tisu adalah untuk memelihara nyawa pesakit dan juga meminimumkan jumlah bahaya yang akan berlaku. Pendekatan ini meletakkan supaya keutamaan diberikan kepada pesakit bagi menghindar sebarang kecelakaan. Hal ini kerana kegagalan terbesar dalam konteks pemindahan organ dan tisu ini adalah dengan membiarkan pesakit yang memerlukan organ atau tisu itu dalam keadaan getir. Kematian dan pendermaan organ dan tisu amat sukar untuk dibincangkan apatah lagi bagi mereka yang baru sahaja kehilangan orang tersayang. Hal ini merupakan satu perkara yang amat rumit bagi kakitangan perubatan yang sentiasa berusaha untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Tambahnya lagi, pendermaan organ dan tisu penderma yang sangat dikasihi ahli keluarganya setelah penderma tersebut meninggal dunia bukanlah suatu hal yang mudah dan pasti akan menimbulkan kerisauan dalam kalangan ahli keluarga penderma. Bagi mengelakkan perkara ini daripada terjadi, penderma mestilah memberitahu ahli keluarga tentang pilihan mereka untuk menderma organ atau tisu selepas kematian demi memperoleh persetujuan daripada ahli keluarga penderma.   Selain itu, setiap orang layak menderma organ dan tisu di Malaysia kecuali individu yang mempunyai penyakit berjangkit seperti HIV AIDS, Hepatitis B dan C serta Sifilis. Buat mereka yang berumur di bawah 18 tahun persetujuan bertulis daripada ibu bapa mereka diperlukan. Pendek kata, organ atau tisu apabila disumbangkan boleh memberi manfaat kepada mereka yang masih hidup. Sebaliknya, jika organ itu tidak dimanfaatkan, maka akan hancur juga apabila dikebumikan.
     
 Sementara itu, penderma perlu menjalani satu proses saringan untuk memastikan organ atau tisu yang ingin didermakan selamat dan tidak memudaratkan penerima serta boleh berfungsi dengan baik setelah ditransplantasi. Antara proses saringan yang perlu dilakukan terhadap penderma adalah seperti sejarah kesihatan, pemeriksaan fizikal, ujian darah, pengimejan dan lain-lain bergantung kepada jenis organ dan tisu yang ingin didermakan. Ujian saringan ini biasanya dilakukan untuk memastikan tiada penyakit yang berbahaya seperti penyakit berjangkit dan kanser serta bertujuan untuk memastikan status kefungsian organ dan tisu tersebut. Bertitik tolak dengan kenyataan di atas, segala proses pembedahan pemindahan organ dan tisu dijalankan di dewan bedah hospital oleh pakar bedah yang terlatih dan mereka juga akan sentiasa menghormati jenazah penderma tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan semasa prosedur tersebut. Pendermaan organ serta tisu seseorang penderma itu tidak akan menjejaskan rupa dan bentuk tubuh badannya kerana selepas organ dan tisu diperoleh, luka pembedahan itu akan dijahit dengan sempurna serta jenazah penderma tidak akan mengalami apa-apa kecacatan fizikal.
 
    Sebagai penutup bicara, sewajarnya alternatif lain perlu dikaji seperti penggunaan organ-organ tiruan atau pengambilan daripada organ haiwan bagi menggantikan pendermaan organ dan tisu manusia kerana perkara ini adalah jauh lebih  baik daripada mengambil hak seseorang manusia. Dari perspektif berbeza pula,  konsep pendermaan organ dan tisu perlu diperluas bagi memastikan maslahat masyarakat umat masa kini terjamin keselesaan hidup mereka dengan sebab pendermaan seperti ini. Semoga dengan pernyataan seperti ini dapat meningkatkan semangat rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk menderma organ mahupun tisu dalam usaha mentahqiqkan maslahat dan kesejahteraan masyarakat sesuai dengan prinsip ta'awun bi al-bir wa al-taqwa yang merupakan sebahagian daripada perintah al-Quran untuk melakukan amal soleh dan takwa. Tubuh badan kita bukan hak mutlak kita ataupun keluarga kita. Begitu juga dengan organ yang ada pada badan kita, semuanya adalah pinjaman daripada Allah. Akhirulkalam, saya berdoa kepada Allah SWT agar masyarakat Malaysia sentiasa hidup dalam keadaan sihat, damai,saling menyayangi , dianugerahkan rahmat Allah  serta saling membantu antara satu sama lain.

Rabu, 4 Ogos 2021

Rencana Terapi Seni Melalui Lukisan dalam Kehidupan

 TERAPI SENI MELALUI LUKISAN DALAM KEHIDUPAN

             oleh: Muhammad Zulkarnain bin Shahril Rizal

     Terapi seni melalui lukisan merupakan suatu terapi yang menggabungkan prinsip seni dan psikologi untuk membantu seseorang individu dalam menangani sesuatu masalah. Terapi seni tidak memerlukan seseorang itu pandai melukis kerana terapi ini tidak bertujuan untuk menghasilkan karya yang artistik. Oleh itu, beberapa langkah boleh diambil untuk menerapkan terapi seni dalam diri individu.

     Salah satu langkah untuk menerapkan terapi seni melalui lukisan dalam diri individu ialah guru kaunseling perlu bekerjasama dengan guru seni. Dalam konteks ini, masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, iaitu guru kaunseling pakar dalam hal permasalahan pelajar manakala guru seni pakar dalam hal kesenian. Hal ini demikian boleh dilakukan dengan memberikan kursus berkaitan seni terapi kepada ahli Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) untuk mendapatkan pendekatan dengan pelajar yang mempunyai masalah. Melalui langkah ini, ahli PRS akan mempunyai pengetahuan dan lebih mudah untuk melaksanakan tugas. Langkah yang diambil ini dapat dilihat seperti bukit sama didaki lurah sama dituruni. Natijahnya, kerjasama antara guru kaunseling dengan guru seni amat membantu dalam menerapkan terapi seni melalui lukisan dalam diri individu.

     Seterusnya, pihak kerajaan mesti memfokuskan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghidap masalah mental seperti autisme dan sindrom 'down'. Hal ini demikian supaya ibu bapa lebih peka dalam menguruskan emosi anak-anak mereka. Dalam aspek ini, pihak kerajaan boleh mengadakan kempen secara besar-besaran melalui platform media massa seperti berita, akhbar dan media sosial. Dengan hal ini, ibu bapa sememangnya dapat menguruskan anak-anak mereka dengan lebih mudah kerana memahami emosi anak-anak mereka. Tegasnya, inisiatif kerajaan dalam memfokuskan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghidap masalah mental dapat menerapkan terapi seni dalam diri individu.

    Terdapat juga beberapa kepentingan yang boleh diperolehi daripada terapi seni melalui lukisan ini. Salah satu daripadanya ialah potensi diri individu dapat ditingkatkan. Hal ini demikian boleh dilakukan melalui ekspresi seni yang dihasilkan seperti lukisan berkonsepkan potret diri, lukisan spontan ataupun lukisan keluarga. Hasilnya, individu akan berasa lebih yakin pada diri dan bermotivasi. Jelaslah bahawa terapi seni melalui lukisan ini membantu dalam meningkatkan potensi diri individu.

      Seterusnya, terapi seni melalui lukisan dapat memperkasakan kemahiran motor halus anak-anak yang masih kecil seawal usia tiga tahun. Hal ini demikian kerana terapi seni banyak mempengaruhi pemikiran seseorang terutamanya kanak-kanak yang masih membangun. Aspek ini biasanya melibatkan koordinasi otot-otot kecil dan penglihatan. Impaknya, anak-anak dapat melaksanakan tugas-tugas penting secara sendirian seperti memasukkan butang dalam baju, memegang pinggang mangkuk dan menggunakan tandas. Manfaat yang diperoleh ini sesuai dengan peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Tuntasnya, kemahiran motor halus anak-anak kecil dapat diperkasakan dengan terapi seni melalui lukisan.


     Konklusinya, terapi seni melalui lukisan sememangnya mempunyai banyak manfaatnya. Semua pihak seharusnya mengambil inisiatif dalam menyebarkan kaedah ini agar dapat memberikan faedah kepada manusia serta membantu dalam mengurangkan  isu berkenaan masalah mental dalam kalangan masyarakat.

KARANGAN A: LANGKAH PENCEGAHAN COVID-19



        Covid-19 telah ditemukan pada Disember 2019 di Wuhan, China. Virus ini telah menyerang hampir ke seluruh pelosok dunia. Trend peningkatan kes virus ini dilaporkan sudah mencecah jutaan orang serta melibatkan jumlah kematian yang tinggi.

      Orang awam digalakkan untuk mengenakan pelitup muka yang berkualiti ketika berada di tempat terbuka yang sesak dan sibuk. Sebagai contoh, Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan rakyat agarmemilih pelitup muka tiga lapis yang diperbuat daripada fabrik kalis air. Tindakan ini dapat menghalang cecair seperti batuk atau bersin tersebar kepada individu lain.

       Selain itu, kerajaan juga telah menetapkan obligasi untuk kita mengamalkan penjarakan fizikal sejauh satu meter ketika berada di tempat awam. Hal ini rentetan daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia selain telah meluluskan  beberapa jenis vaksin seperti Pfizer, Sinovac dan Astra Zeneca. Pemvaksinan merupakan satu-satunya cara yang dipercayai untuk memutuskan rantaian Covid-19 buat masa ini.

      Seterusnya, kerajaan juga telah melaksanakan beberapa kempen seperti ‘Elakkan 3S’ iaitu elakkan berkunjung ke tempat yang sesak, elakkan tempat yang sempit dan tertutup serta elakkan bersembang secara dekat. Oleh sebab virus ini senang merebak walaupun melalui udara, pematuhan rakyat kepada norma baharu yang ditetapkan sangatlah dititikberatkan barisan hadapan.

       Kesimpulannya, semua pihak seharusnya bekerjasama mementingkan prosedur operasi standard yang ketat supaya dapat mengelakkan daripada virus ini merebak dengan mudah.


Muhammad Faris Amzar,2021

KARANGAN B SPM: PUNCA-PUNCA MASALAH KESIHATAN MENTAL ( TRIAL TERENGGANU 2023)

            Data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati satu dalam empat remaja mengalami gejala kemurungan pada 2022 be...