Isu kenaikan harga barang telah mendapat reaksi yang
berbagai-bagai daripada penduduk tempatan. Media massa juga sering memaparkan
berita ini. Bagi golongan berpendapatan tinggi, mereka mungkin tiada masalah
tetapi bagi golongan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, mereka
akan mengalami masalah untuk membeli barang keperluan. Sehubungan dengan itu,
isu kenaikan harga barang ini telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan
penduduk tempatan mahupun yang kaya, sederhana dan miskin. Hal ini menyebabkan
kehidupan mereka terjejas dan mereka tidak dapat membeli barangan yang mereka
perlukan. Hal ini tidak boleh dipandang ringan. Rakyat mestilah mempraktikkan
langkah-langkah untuk menangani masalah kenaikan harga barang. Dengan cara ini
sahaja mereka dapat menjalani kehidupan yang serba cukup. Persoalannya, apakah
langkah-langkah yang dapat diambil oleh setiap ahli keluarga untul menangani
masalah kenaikan harga barangan?
Salah
satu langkah yang dapat diambil oleh setiap hari keluarga untuk menangani
masalah kenaikan harga barangan ialah ibu bapa hendaklah mengamalkan sikap
menabung. Amalan ini memerlukan mereka menyimpan sebanyak 20 peratus daripada pendapatan
bulanan mereka. Mereka perlu mendisiplinkan diri dapat menggunakan tabungan pada
waktu kecemasan bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Dengan kata
lain, mereka tidak perlu berhutang apabila mengalami krisis kewangan. Sesebuah
keluarga juga tidak perlu melakukan catuan makanan apabila tidak mempunyai wang
yang cukup kerana mereka masih mempunyai wang tabungan. Jelaslah bahawa,
mengamalkan sikap menabung merupakan salah satu langkah untuk menangani masalah
kenaikan barangan.
Seterusnya,
langkah yang dapat diambil oleh setiap ahli keluarga untuk menangani masalah
kenaikan masalah kenaikan harga barangan ialah ibu bapa mestilah berhemat dalam
berbelanja. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah merancang perbelanjaan
untuk membeli barang keperluan. Contohnya, ibu atau bapa hendaklah pergi ke
beberapa buah kedai yang berlainan untuk melihat-lihat harga barang sebelum
membelinya. Mereka hendaklah membeli barang di kedai yang menjual barangan pada
harga yang lebih berpatutan dan murah. Amalan ini dapat menjimatkan wang mereka
daripada membeli barangan pada harga yang mahal sedangkan terdapat kedai yang
menjual barangan tersebut pada harga yang lebih murah. Terbuktilah bahawa,
berhemat dalam berbelanja juga merupakan salah satu langkah untuk menangani
masalah kenaikan harga barangan.
Di
samping itu, langkah yang dapat diambil oleh setiap ahli keluarga untuk
menangani masalah kenaikan harga barangan ialah anak-anak hendaklah mengamalkan
sifat berjimat-cermat dalam berbelanja. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan
mengurangkan perbelanjaan. Hal ini demikian kerana, jika suatu ketika dahulu
kita berbelanja sebanyak 90 peratus daripada wang gaji, kita mestilah
mengurangkan perbelanjaan tersebut kepada 50 atau 60 peratus sahaja. Dalam hal
ini, anak-anak memainkan peranan penting kerana mereka selalu membeli
makanan-makanan ringan seperti keropok dan coklat dalam jumlah yang banyak
tanoa mengambil kira tarikh tamat tempoh makanan tersebut. Dalam erti kata
lain, terdapat juga anak-anak yang membeli makanan tersebut tetapi mereka
langsung tidak mahu menjamahnya .
Hal ini akan menyebabkan duit
yang dibelanjakan terbazir begitu sahaja. Jelaslah bahawa, amalan berjimat-cermat merupkan salah satu langkah untuk menangani masalah kenaikan
harga barangan.
Akhir
sekali, langkah yang dapat diambil oleh setiap ahli keluarga untuk menangani
masalah kenaikan harga barangan ialah anak-anak hendaklah membeli barang
membeli keperluan. Konsep ini memerlukan setiap ahli keluarga terutamanya
anak-anak untuk membeli barangan yang benar-benar diperlukan sahaja dalam
kehidupan seharian. Mereka tidak perlu mengamalkan amalan bermewah-mewah atau
menunjuk-nunjuk. Apabila amalan ini dilaksanakan, kewangan sesebuah keluarga
pasti menjadi stabil. Cara berbelanja dengan mengikut hawa nafsu akan membawa
padah. Sebaliknya, kita diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri
ibarat mengukur baju di badan sendiri. Terbuktilah bahawa, membeli mengikut
keperluan juga merupakan salah satu langkah yang dapat dapat diambil untuk
menangani masalah kenaikan barangan.
Kesimpulannya,
terdapat banyak langkah yang dapat diambil oleh setiap ahli keluarga untuk
menangani masalah kenaikan harga barangan. Setiap ahli keluarga masing-masing
memainkan peranan penting bagi menangani masalah ini. Oleh itu, kita perlulah
mencari jalan untuk menyelesaikan masalah kenaikan barang. Sebagai pengguna
yang bijak, berhematlah ketika berbelanja, beli mana-mana yang perlu sahaja.
Jimat- cermat amalan mulia sedangkan membazir itu merupakan amalan syaitan.
PENULIS: NUR SYAZWANI BINTI JOHARI (5 MAJU 2020)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan