Khamis, 26 Oktober 2023

UJIAN BERTUTUR BERKUMPULAN: TEMA KERJAYA

 SOALAN:

Persaingan untuk mendapatkan peluang pekerjaan  dalam kalangan masyarakat semakin sengit.  Oleh itu, keadaan tersebut memerlukan mereka membuat persediaan agar dapat bersaing seterusnya memperoleh pekerjaan yang diidamkan.


Cadangan Jawapan:

1)  Melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi dengan mengambil kursus-kursus yang berkaitan dengan pekerjaan yang ingin diceburi nanti

 Pengambilan kursus-kursus yang berkaitan dengan kerjaya yang diminati di institusi pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta akan menyumbang kepada  lahirnya graduan yang mampu bersaing dan bersedia untuk bekerja setelah tamat pengajian mereka

❤ Sebagai contoh, mereka yang berminat dalam bidang kedoktoran mestilah mengambil kursus kedoktoran dan belajar bersungguh-sungguh sehingga tamat pengajian mereka sebelum bergelar doktor.  Begitu juga dengan pelajar yang berminat dalam bidang perakaunan, mereka perlu mengambil kursus perakaunan sehingga ke peringkat ijazah sebagai persediaan menjadi seorang akauntan kelak.

❤ Impaknya, mereka akan memiliki pengetahuan yang tinggi dan hal ini memberi kelebihan kepada pelajar untuk mempraktikkan teori-teori yang dipelajari atau latihan yang telah dipelajari ke alam realiti sebenar kerjaya itu nanti.

❤ Oleh hal yang demikian, pelajar sewajarnya belajar bersungguh-sungguh dalam bidang yang diminati oleh mereka kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

2) Kemahiran komunikasi yang baik

Kemahiran berkomunikasi yang baik sangat diperlukan dalam sesebuah organisasi.  Kemahiran ini sangat penting bagi memastikan kelancaran urusan kerja, sama ada komunikasi sesama rakan sekerja mahupun pihak luar terutamanya untuk meraih kepercayaan, keyakinan dan sambutan pelanggan

Sebagai contoh, seseorang itu perlulah berhemah dalam berkata-kata, mampu menganalisis sesuatu keadaan dan mampu menyelesaikan sesuatu masalah dengan cekap .

❤ Kesannya, seseorang itu boleh mengelakkan konflik secara luaran ataupun dalaman yang boleh membawa kesan negatif kepada sesebuah organisasi dan seterusnya akan meningkatkan produktiviti di tempat kerja. Komunikasi yang baik dalam sesebuah organisasi akan menjamin kemajuan organisasi tersebut kerana Bersekutu Bertambah Mutu.

❤  Oleh itu, kita hendaklah berlatih untuk berkomunikasi dengan baik terhadap semua orang sebagai persediaan awal untuk memasuki bidang kerjaya nanti 

3)  Persediaan dari segi fizikal dan mental

❤ Bidang pekerjaan yang dipilih selalunya bergantung terhadap faktor fizikal ataupun mental.

❤ Sebagai contoh, seorang juruukur atau jurutera memerlukan ketahanan fizikal kerana pekerja ke tapak pembinaan yang panas di bawah terik matahari untuk melakukan tugas ataupun pemerhatian.  Dari segi mental pula, kita perlu membuat  persediaan untuk berurusan dengan rakan sekerja, majikan atau pelanggan yang mempunyai pelbagai kerenah  yang memerlukan kita mempunyai tahap kesabaran yang tinggu dan tidak mudah melatah dalam menghadapi situasi yang tidak terduga agar tidak memalukan diri sendiri dan organisasi yang diwakili.

❤ Oleh hal yang demikian,  kita hendaklah membuat persediaan dari segi fizikal dan mental sebelum menceburi sesuatu bidang pekerjaan.


4) Mengetahui prospek dan risiko yang diambil sekiranya kita bekerja dalam bidang tersebut. 

❤Banyak pekerjaan sebenarnya mempunyai prospek yang baik untuk masa hadapan jika kita kekal cemerlang dalam prestasi kerjaya kita. Namun begitu, terdapat juga pekerjaan yang memerlukan usaha yang lebih untuk kekal konsisten dalam memperoleh pendapatan. 

❤Sebagai contoh, usahawan yang perlu sentiasa berfikiran kreatif dan kritis dalam memastikan produk yang dihasilkan mendapat sambutan dan mencapai sasaran supaya mendapat keuntungan maksimum dan boleh mengembangkan syarikat ke tahap yang lebih maju. Begitu juga dengan pengkarya seni yang harus konsisten dalam menghasilkan seni kreatif demi mencari hasil yang mampu menanggung kehidupan mereka kelak. 

❤ Oleh itu, kita hendaklah mendapatkan maklumat tentang prospek dan risiko kerjaya terlebih dahulu kerana  jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

5) Kemahiran Bahasa

Keupayaan seseorang menguasai pelbagai bahasa memberikan ruang yang luas untuknya menjalinkan jaringan komunikasi dan seterusnya menghidu pelbagai peluang kerjaya.  Majikan akan tertarik untuk menggaji kita jika berkebolehan dalam pelbagai bahasa.

❤Kini bahasa-bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Jepun mendapat tempat di hati masyarakat global. Sebagai anak muda Malaysia, kita hendaklah berani menyahut pelbagai cabaran seperti bersedia untuk mempelajari pelbagai bahasa dengan cara mengikuti pelbagai kelas bahasa asing yang banyak ditawarkan  di Institusi Pengajian Tinggi.

❤ Ingatlah kegagalan menguasai bahasa-bahasa yang mendominasi dunia tanpa sempadan, nescaya kita akan terus tertinggal dan terperap dan menjadi masyarakat terpinggir walaupun di bumi sendiri bak kata peribahasa, seperti katak di bawah tempurung.

❤ Oleh itu, sebagai prasyarat utama sebelum melamar sesuatu pekerjaan pelajarilah pelbagai bahasa agar kemahiran ini menjadi nilai tambah kepada diri kita.


6) Kemahiran teknologi maklumat

❤ Hal tersebut dikatakan demikian kerana kemahiran teknologi merupakan pemudah cara atau tangan ajaib yang mampu mengubah landskap dunia daripada belantara kepada menara pencakar langit.

❤ Oleh sebab itu, kemahiran yang berkaitan dengan kepakaran dan teknologi seperti kejuruteraan mekanikal, elektronik, pengendalian mesin, dan reka bentuk animasi hendaklah dijadikan keutamaan kerana bidang-bidang tersebut amat laris bagaikan pisang goreng panas.

❤ Kemahiran dalam teknogi ini amatlah pragmatik sebagai prakarsa menangani krisis graduan menganggur yang telah mencecah hingga puluhan ribu orang kerana kegagalan menguasai kemahiran teknologi yang mengakibatkan mereka tidak relevan dan tidak mesra majikan.

❤ Oleh hal yang demikian, kewujudan pelbagai institusi kemahiran seperti politeknik, ILP dan Kolej Kemahiran Tinggi serta IPT yang berorientasikan teknologi hendaklah direbut dengan segera kerana perahu sudah di air dan pendayung sudah di tangan, ke tengah-tengah samudera menyahut cabaran. 

UJIAN BERTUTUR BERKUMPULAN TEMA ALAM SEKITAR DAN TEKNOLOGI HIJAU


Definisi

-  Teknologi hijau ialah pembangunan produk , peralatan dan sistem untuk memelihara dan memulihara alam sekitar
-  Langkah yang amat penting untuk menjamin kualiti hidup dan pengekalan sumber yang berterusan
- Pembangunan teknologi hijau perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi akan datang
-  Selaras dengan konsep pembangunan lestari.


Manfaat teknologi hijau

I: Dari aspek tenaga, teknologi hijau diharapkan dapat membantu mencari            ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga negara. 

M: Hal ini dikatakan demikian kerana, teknologi hijau merangkumi sumber tenaga seperti angin,  air, solar, hibrid dan lain-lain yang bersumberkan alam semula jadi.

BA:Teknologi hijau terbukti lebih cekap kerana teknologi ini boleh menjanakan tenaga dalam pelbagai keadaan dengan kos murah, selamat dan mesra pengguna. Hal ini dapat dibuktikan melalui pengalaman dan amalan di negara maju yang telah membangunkan industri ini sejak sekian lama. Contohnya, penggunaan tenaga hidroelektrik untuk menghasilkan tenaga elektrik.

K:Kesannya, kita tidak perlu bergantung sepenuhnya pada sumber yang tidak boleh diperbaharui tetapi mempunyai alternatif lain yang boleh digunakan yang tidak kurang hebat kegunaannya

U: Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu tak kenal, maka tak cinta

P:  Tuntasnya, teknologi hijau sememangnya dapat memastikan tenaga digunakan dengan cara yang optimum.


I:Teknologi hijau dapat membantu memulihara dan meminimumkan kesan buruk kepada alam sekitar. 

M: Hal ini dikatakan demikian kerana, pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat jika dibiarkan berterusan. 

Ba: Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minimum. Sebagai contoh, penggunaan kereta elektrik dapat mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida yang mencemarkan alam sekitar. Selain itu, penggunaan plastik biodegradasi dapat mengurangkan pencemaran dan penggunaan minyak biodisel dapat memastikan udara yang sihat dapat kita nikmati sesuai dengan fungsi alam yang sememangnya memberikan manfaat kepada kita. Seterusnya, kita juga boleh menggunakan bekas makanan yang dihasilkan daripada jagung, ubi kayu dan hampas tebu.

U: Hal in bertepatan dengan peribahasa, alam terbentang dijadikan guru

K: Jelaslah bahawa, teknologi hijau dapat meningkatkan kualiti hidup manusia.


I:  Dari aspek ekonomi, teknologi ini mampu meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua kehidupan manusia dan biodiversiti umumnya

M:  Teknologi hijau mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara dan dapat membantu mengurangkan kos operasi, meningkatkan nilai aset dan keuntungan. Teknologi ini juga dapat meningkatkan produktiviti dan kepuasan pekerja. 

BA:Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Prestasi kitar hidup ekonomi juga dapat dioptimumkan.Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk 'hijau' yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. Contohnya, industri solar photovolta telah dikenal pasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk Malaysia.

K:  Impaknya, teknologi hijau bakal memacu negara ke arah ekonomi yang lebih mapan pada masa hadapan

U: Pepatah yang boleh dikaitkan dengan usaha memajukan teknologi hijau ialah Usaha Tangga Jaya.

P: Tegasnya, teknologi hijau perlulah diperkukuh di Malaysia agar memberi hasil yang lumayan kepada negara.


I:  Dari segi komuniti, teknologi hijau dapat meningkatkan kualiti udara, terma dan bunyi persekitaran.

M:  Hal ini dikatakan demikian kerana teknologi hijau  dapat meningkatkan keselesaan dan kesihatan penghuni bandar, mengurangkan masalah infrastruktur tempatan dan meningkatkan kualiti hidup.

Ba: Contohnya, penggunaan kereta enjin hibrid seperti TESLA dapat meminimumkan bunyi enjin dan asap kenderaan. Sifatnya yang mesra alam tidak mengeluarkan bahan toksik melalui ekzos.

K:  Kesannya, manusia dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan sempurna.  

U: Sekiranya teknologi hijau dipraktikkan dengan meluas, kita dapat mencegah alam sekitar daripada terus tercemar kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

P: Sudah terang lagi bersuluh bahawa teknologi hijau sememangnya memberi manfaat yang banyak kepada manusia dan biodiversiti


STRATEGI MEMBUDAYAKAN AMALAN TEKNOLOGI HIJAU 

  1. Penggunaan tenaga yang lebih cekap
    • Mematikan suis lampu pejabat atau peralatan elektrik apabila tidak digunakan;
    • Penggunaan cahaya siang semula jadi untuk menyinari ruang dalam rumah atau pejabat bagi menggantikan cahaya lampu;
    • Jangan biarkan tingkap atau pintu luar terbuka apabila pendingin hawa sedang beroperasi. Hal ini dapat mengelakkan penggunaan tenaga elektrik berlebihan yang disalurkan kepada penghawa dingin; 
    • Memastikan tetapan komputer meja (desktop) atau komputer riba (laptop) ke sleep mode apabila tidak digunakan;
    • Menggunakan tangga untuk naik/turun ke aras yang lain;
    • Memaklumkan kepada pihak yang berkenaan dengan segera mengenai sebarang kerosakan lampu atau alat peralatan elektrik;
    • Mengamalkan budaya paperless dan memperbanyakkan penggunaan emel dan mencetak dokumen hanya apabila diperlukan sahaja;
    • Berkongsi peralatan ICT seperti mesin pencetak (printer); dan
    • Tidak menggunakan active screen saver.
  2. Menguruskan sumber air secara lebih berhemat
    • Mengawal penggunaan sumber air supaya dapat mengurangkan pembaziran; 
    • Memastikan pili air ditutup dengan rapat;
    • Sentiasa membuat pemeriksaan di tempat-tempat yang menggunakan sumber air bagi mengenalpasti sebarang kebocoran. Sebarang kebocoran hendaklah diperbaiki dengan segera; dan
    • Membangunkan sistem penuaian air hujan (SPAH) bagi mengurangkan penggunaan air yang terawat dan menggunakannya untuk aktiviti membasuh kereta dan bangunan serta menyiram pokok dan landskap.
  3. Menguruskan dan melupuskan sisa pepejal dengan lebih teratur
    • Menjaga persekitaran supaya sentiasa bersih bagi menjamin kualiti alam sekitar yang lebih baik dan meningkatkan tahap kesihatan;
    • Mengamalkan Program R adalah singkatan kepada ‘rethink’ (fikir semula), ‘repair’ (baik pulih), ‘reuse’ (guna semula), ‘recycle’ (kitar semula) dan ‘reduce’ (kurangkan).
    • Peluasan penempatan Tong Sampah Kitar Semula di premis serta penyelarasan dengan syarikat kontraktor pembersihan.
  4. Menguruskan kenderaan secara mesra alam
    • Penggunaan kenderaan pasukan secara optima dengan merancang perjalanan berkonsepkan berkongsi kenderaan (car pool) untuk destinasi yang sama;
    • Merancang penggunaan kenderaan secara teratur dengan membuat penjadualan dengan menggilirkan penggunaan;
    • Menggunakan bahan pencuci biodegradasi yang mesra alam dan lebih organik untuk mencuci enjin, tangan dan peralatan bengkel;
    • Pengurusan bengkel pengangkutan hendaklah lebih terurus bagi pelupusan minyak engin dan alat ganti terpakai dan mengamalkan konsep 5S; dan
    • Tidak membiarkan enjin kenderaan melahu (idling) dan memasang alat pendingin hawa (air cond) semasa menunggu penumpang.
  5. Mengutamakan produk dan perkhidmatan hijau
    • Memberi keutamaan kepada produk dan perkhidmatan hijau
    • Mengurangkan penggunaan produk yang mengandungi bahan kimia atau bertoksik di dalam aktiviti pembersihan atau pencucian pejabat;
    • Menggantikan lampu yang rosak dengan lampu yang jimat tenaga seperti Compact Fluorescent Lamp (CFL), lampu tiub T5, Induction Light dan Light Emitting Diode (LED); dan
    • Elakkan penggunaan polisterin sebagai pembungkus makanan dan menggalakkan pembungkus makanan yang mesra alam.












Selasa, 10 Oktober 2023

UJIAN BERTUTUR BERKUMPULAN TEMA 1: MEREALISASIKAN IMPIAN

 SOALAN

Permainan elektronik e-sukan semakin mendapat tempat setelah pelbagai usaha dan program dilakukan bagi mengiktiraf permainan teknologi ini.  E-sukan bukan sahaja memberikan manfaat kepada golongan belia tetapi juga remaja.  Ulaskan pernyataan tersebut


Cadangan Jawapan

Pendahuluan

E-sukan ialah satu bentuk permainan video yang dipertandingkan dan dimainkan dengan penuh semangat kesukanan.  E-sukan telah berkembang pesat di serata dunia dan telah menjadi sumber pendapatan yang lumayan.  Di Malaysia, e-sukan semakin popular dan negara kita telah pun melahirkan atlet e-sukan yang berdaya saing pada peringkat antarabangsa. 

Manfaat-manfaat

ISI 1  

        Antara kebaikan e-sukan kepada remaja ialah sukan atau permainan secara maya ini dapat menjadi satu wadah untuk remaja berhibur di alam maya.. Hal ini dikatakan demikian kerana e-sukan dapat menghilangkan tekanan belajar atau masalah keluarga yang dihadapi oleh golongan ini. . Mereka boleh melibatkan diri dalam e-sukan sama ada sebagai hobi atau sekadar hiburan pada masa lapang.  Tamsilnya, permainan e-sukan seperti Counter Strike dan Mobile Legends dapat mengisi waktu senggang remaja seterusnya memberi kelegaan mental kepada mereka kerana mereka berasa lebih santai. Oleh itu, ibu bapa hari ini perlu memberi ruang kepada anak-anak mengisi masa lapang dengan hiburan atau hobi  yang berubah mengikut peredaran zaman bak kata pepatah sekali air bah, sekali pantai berubah. Kesannya, tekanan yang dihadapi oleh mereka sedikit sebanyak dapat dileraikan. Tetapi, pemantauan yang baik diperlukan supaya pencapaian akademik dan kesihatan mereka tidak terjejas. Sudah terang lagi bersuluh bahawa  sukan elektronik merupakan salah satu hiburan atau hobi yang baik untuk golongan remaja pada hari ini.

ISI 2

     Sukan elektronik juga sebenarnya dapat membantu remaja untuk meningkatkan daya pemikiran secara kritis dan kreatif. Hal ini dikatakan demikian kerana permainan sukan elektronik secara ringkasnya memerlukan pemain untuk menyelesaikan tugasan-tugasan yang diberikan. Sebagai contoh, dalam permainan MOBA, selain kecekapan dan semangat kerja berpasukan, daya fikir yang tinggi sangat diperlukan untuk memperteguh pola pemikiran dan seterusnya merangka strategi yang berkesan. Impaknya, hal  ini sedikit sebanyak dapat membantu perkembangan minda mereka di luar bilik darjah tanpa bantuan guru dan juga ibu bapa. Ibarat peribahasa, belakang parang kalau diasah nescaya akan tajam juga. Begitu jugalah dengan kemahiran untuk bermain permainan e-sukan ini yang memerlukan latihan untuk berjaya sama seperti perkara yang mereka perlu dipraktikkan oleh mereka  dalam kehidupan sebenar. Jelaslah bahawa permainan e-sukan dapat membantu remaja untuk berfikir secara kritis dan kreatif.


   ISI 3

Pada masa yang sama juga, remaja yang bermain permainan e-sukan dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi. Apabila mereka menyertai permainan secara maya yang melibatkan pemain lain, mereka perlu berkomunikasi antara satu sama lain untuk mendapatkan kemenangan. Tamsilnya, permainan DOTA 2 yang menjadi kegemaran hampir segenap masyarakat di seluruh pelosok dunia.  Pertandingan di peringkat antarabangsa telah berjaya dianjurkan  dan menawarkan pemenang hadiah sehingga jutaan Dolar Amerika. Dalam permainan tersebut, pemain perlu berkomunikasi untuk membincangkan strategi terbaik untuk menumpaskan pihak lawan. Persis pepatah, bersatu teguh bercerai roboh. Perumpamaan ini juga terpakai bagi pemain e-sukan iaitu pasukan pemain perlu bersatu untuk memastikan mereka menyelesaikan setiap objektif permainan dan menumpaskan pihak lawan untuk meraih kejuaraan. Intihanya, kemahiran komunikasi dalam kalangan remaja boleh ditingkatkan melalui penglibatan dalam e-sukan.


ISI 4

Kebaikan lain yang mampu diperoleh remaja melalui sukan elektronik termasuklah membuka peluang dan bidang kerjaya yang baharu. Selepas ledakan e-sukan di peringkat dunia, Malaysia tidak terlepas daripada menghasilkan pasukan-pasukan e-sukan yang bertanding di kejohanan peringkat dunia. Sama ada daripada penaja swasta ataupun inisiatif kerajaan, remaja hari ini berpotensi untuk menjadi seorang atlet e-sukan dalam permainan elektronik pilihan masing-masing seperti kejayaan atlet negara yang menuai pingat emas  dalam Kejohanan E-Sukan Komanwel pada tahun 2022 iaitu Mohamad Nor Haikal Mohamad Noh bagi acara eFootball (Terbuka). Selain daripada menjadi atlet e-sukan, remaja juga boleh menjadi penstriman permainan video iaitu individu yang bermain permainan video dan berkongsi permainan di alam maya untuk tontonan umum seperti Jaa Suzuran, Yana Samsuddin dan Soloz. Institusi pengajian tinggi juga telah menawarkan kursus seperti jurutera permainan video yang mampu melahirkan graduan dalam bidang pembangunan sukan elektronik. Tuntasnya, permainan e-sukan bakal menjadi sebuah industri baharu yang bermanfaat untuk golongan remaja hari ini.


Peranan pelbagai pihak untuk mempopularkan e-sukan di Malaysia


    Satu badan penubuhan yang memantau sukan elektronik telah melancarkan e-sukan Malaysia atau ESM yang didaftarkan atas sokongan FELDA  serta ASUS Malaysia selaku jenama peralatan yang disyorkan pada Disember 2014 dengan berobjektifkan untuk menaiktarafkan e-sukan di Malaysia dengan visi menjadikan Malaysia sebuah hab sukan bertaraf dunia, ESM didaftarkan oleh Suruhanjaya Sukan Malaysia.Tujuan utama ESM ditubuhkan adalah untuk memastikan sukan elektronik terus bertapak di Malaysia dengan dasar membentuk standard e-sukan, melatih dan mendidik pemain, membantu meningkatkan taraf permainan, mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dan menjaga kebajikan ahli. Seterusnya, penubuhan ESM dapat memberi keyakinan untuk orang ramai menceburi sukan elektronik tanpa risau akan masa depan kerjaya mereka dalam arena tersebut.


    Selain itu, sebuah sekolah di Norway telah menawarkan kursus e-sukan kepada para pelajarnya .Hal ini membuktikan bahawa sukan elektronik merupakan sebuah bidang yang berdaya saing. Malaysia sememangnya perlu mencari jalan agar dapat memanfaatkan e-sukan demi meningkatkan mutu pendidikan negara. Oleh itu, ESM bercadang untuk menubuhkan akademi sukan elektronik bagi mencungkil bakat kepada rakyat Malaysia yang berminat terhadap sukan elektronik ini yang memfokuskan tujuan utama iaitu menjaga kebajikan pemain, memantau dan menetapkan piawaian, pendidikan sukan elektronik, mempromosikan pembangunan pemain dan pada masa yang sama mendapatkan pengenalan dan pencapaian pada peringkat antarabangsa.


Terdapat lapan Universiti di Malaysia yang menawarkan dan mempunyai kelab e-sukan, antaranya ialah Uitm Shah Alam, dan Universiti Putra Malaysia. Kesemua kelab e-sukan di institut pengajian tinggi ini mempunyai hubungan rasmi dengan persatuan Sukan Elektronik Malaysia yang dikenali sebagai ESM. Sukan elektronik atau e-sukan adalah seperti pisau, kalau disalah guna menjadi tidak baik, tetapi kalau diguna secara berhemah akan menjadi satu alatan yang sangat berguna. Seperti yang kita sedia maklum, sukan elektronik merupakan salah satu industri yang besar dengan pelbagai syarikat yang menyokongnya dan seterusnya mampu menjayakan Revolusi Industi 4.0 . 


KESIMPULAN

Kesimpulannya, e-sukan mempunyai manfaat yang terlalu banyak seperti dapat dilakukan di mana-mana sahaja, menghiburkan, melegakan tekanan mental, mudah diakses, dan mengasah kemahiran kognitif yang tinggi.  Oleh itu, semua pihak tidak boleh memandang enteng kepada usaha-usaha pembangunan sukan elektronik di Malaysia kerana sukan ini suatu hari nanti akan mejadi sumber pendapatan yang serius kepada rakyat selain mengharumkan nama negara di persada dunia.

KARANGAN B SPM: PUNCA-PUNCA MASALAH KESIHATAN MENTAL ( TRIAL TERENGGANU 2023)

            Data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati satu dalam empat remaja mengalami gejala kemurungan pada 2022 be...