SOALAN:
Persaingan untuk mendapatkan peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat semakin sengit. Oleh itu, keadaan tersebut memerlukan mereka membuat persediaan agar dapat bersaing seterusnya memperoleh pekerjaan yang diidamkan.
Cadangan Jawapan:
1) Melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi dengan mengambil kursus-kursus yang berkaitan dengan pekerjaan yang ingin diceburi nanti
❤ Pengambilan kursus-kursus yang berkaitan dengan kerjaya yang diminati di institusi pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta akan menyumbang kepada lahirnya graduan yang mampu bersaing dan bersedia untuk bekerja setelah tamat pengajian mereka
❤ Sebagai contoh, mereka yang berminat dalam bidang kedoktoran mestilah mengambil kursus kedoktoran dan belajar bersungguh-sungguh sehingga tamat pengajian mereka sebelum bergelar doktor. Begitu juga dengan pelajar yang berminat dalam bidang perakaunan, mereka perlu mengambil kursus perakaunan sehingga ke peringkat ijazah sebagai persediaan menjadi seorang akauntan kelak.
❤ Impaknya, mereka akan memiliki pengetahuan yang tinggi dan hal ini memberi kelebihan kepada pelajar untuk mempraktikkan teori-teori yang dipelajari atau latihan yang telah dipelajari ke alam realiti sebenar kerjaya itu nanti.
❤ Oleh hal yang demikian, pelajar sewajarnya belajar bersungguh-sungguh dalam bidang yang diminati oleh mereka kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
2) Kemahiran komunikasi yang baik
❤Kemahiran berkomunikasi yang baik sangat diperlukan dalam sesebuah organisasi. Kemahiran ini sangat penting bagi memastikan kelancaran urusan kerja, sama ada komunikasi sesama rakan sekerja mahupun pihak luar terutamanya untuk meraih kepercayaan, keyakinan dan sambutan pelanggan
❤ Sebagai contoh, seseorang itu perlulah berhemah dalam berkata-kata, mampu menganalisis sesuatu keadaan dan mampu menyelesaikan sesuatu masalah dengan cekap .
❤ Kesannya, seseorang itu boleh mengelakkan konflik secara luaran ataupun dalaman yang boleh membawa kesan negatif kepada sesebuah organisasi dan seterusnya akan meningkatkan produktiviti di tempat kerja. Komunikasi yang baik dalam sesebuah organisasi akan menjamin kemajuan organisasi tersebut kerana Bersekutu Bertambah Mutu.
❤ Oleh itu, kita hendaklah berlatih untuk berkomunikasi dengan baik terhadap semua orang sebagai persediaan awal untuk memasuki bidang kerjaya nanti
3) Persediaan dari segi fizikal dan mental
❤ Bidang pekerjaan yang dipilih selalunya bergantung terhadap faktor fizikal ataupun mental.
❤ Sebagai contoh, seorang juruukur atau jurutera memerlukan ketahanan fizikal kerana pekerja ke tapak pembinaan yang panas di bawah terik matahari untuk melakukan tugas ataupun pemerhatian. Dari segi mental pula, kita perlu membuat persediaan untuk berurusan dengan rakan sekerja, majikan atau pelanggan yang mempunyai pelbagai kerenah yang memerlukan kita mempunyai tahap kesabaran yang tinggu dan tidak mudah melatah dalam menghadapi situasi yang tidak terduga agar tidak memalukan diri sendiri dan organisasi yang diwakili.
❤ Oleh hal yang demikian, kita hendaklah membuat persediaan dari segi fizikal dan mental sebelum menceburi sesuatu bidang pekerjaan.
4) Mengetahui prospek dan risiko yang diambil sekiranya kita bekerja dalam bidang tersebut.
❤Banyak pekerjaan sebenarnya mempunyai prospek yang baik untuk masa hadapan jika kita kekal cemerlang dalam prestasi kerjaya kita. Namun begitu, terdapat juga pekerjaan yang memerlukan usaha yang lebih untuk kekal konsisten dalam memperoleh pendapatan.
❤Sebagai contoh, usahawan yang perlu sentiasa berfikiran kreatif dan kritis dalam memastikan produk yang dihasilkan mendapat sambutan dan mencapai sasaran supaya mendapat keuntungan maksimum dan boleh mengembangkan syarikat ke tahap yang lebih maju. Begitu juga dengan pengkarya seni yang harus konsisten dalam menghasilkan seni kreatif demi mencari hasil yang mampu menanggung kehidupan mereka kelak.
❤ Oleh itu, kita hendaklah mendapatkan maklumat tentang prospek dan risiko kerjaya terlebih dahulu kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
5) Kemahiran Bahasa
❤ Keupayaan seseorang menguasai pelbagai bahasa memberikan ruang yang luas untuknya menjalinkan jaringan komunikasi dan seterusnya menghidu pelbagai peluang kerjaya. Majikan akan tertarik untuk menggaji kita jika berkebolehan dalam pelbagai bahasa.
❤Kini bahasa-bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Jepun mendapat tempat di hati masyarakat global. Sebagai anak muda Malaysia, kita hendaklah berani menyahut pelbagai cabaran seperti bersedia untuk mempelajari pelbagai bahasa dengan cara mengikuti pelbagai kelas bahasa asing yang banyak ditawarkan di Institusi Pengajian Tinggi.
❤ Ingatlah kegagalan menguasai bahasa-bahasa yang mendominasi dunia tanpa sempadan, nescaya kita akan terus tertinggal dan terperap dan menjadi masyarakat terpinggir walaupun di bumi sendiri bak kata peribahasa, seperti katak di bawah tempurung.
❤ Oleh itu, sebagai prasyarat utama sebelum melamar sesuatu pekerjaan pelajarilah pelbagai bahasa agar kemahiran ini menjadi nilai tambah kepada diri kita.
6) Kemahiran teknologi maklumat
❤ Hal tersebut dikatakan demikian kerana kemahiran teknologi merupakan pemudah cara atau tangan ajaib yang mampu mengubah landskap dunia daripada belantara kepada menara pencakar langit.
❤ Oleh sebab itu, kemahiran yang berkaitan dengan kepakaran dan teknologi seperti kejuruteraan mekanikal, elektronik, pengendalian mesin, dan reka bentuk animasi hendaklah dijadikan keutamaan kerana bidang-bidang tersebut amat laris bagaikan pisang goreng panas.
❤ Kemahiran dalam teknogi ini amatlah pragmatik sebagai prakarsa menangani krisis graduan menganggur yang telah mencecah hingga puluhan ribu orang kerana kegagalan menguasai kemahiran teknologi yang mengakibatkan mereka tidak relevan dan tidak mesra majikan.
❤ Oleh hal yang demikian, kewujudan pelbagai institusi kemahiran seperti politeknik, ILP dan Kolej Kemahiran Tinggi serta IPT yang berorientasikan teknologi hendaklah direbut dengan segera kerana perahu sudah di air dan pendayung sudah di tangan, ke tengah-tengah samudera menyahut cabaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan