Khamis, 26 Ogos 2021

Rencana: Isu Pendermaan Organ dan Tisu di Malaysia


ISU PENDERMAAN ORGAN DAN TISU DI MALAYSIA
       Oleh: Muhamad Faris Amzar Bin Mohd Fadzli

      “Sakit, perit, berdosa, haram dan takut jenazah terseksa.” Kebanyakan orang di negara ini ragu-ragu untuk menjadi penderma organ dan tisu kerana salah faham mengenai pendermaan organ dan tisu. Sebenarnya, tidak ada apa-apa bentuk halangan untuk melakukannya dari segi kepercayaan  dalam mana-mana agama. Bahkan, Islam sendiri turut menggalakkan penganutnya untuk menderma organ dan tisu selepas kematian mereka sekali gus menepis segala pertikaian dan perselisihan faham berhubung isu ini. Salah satu salah fahaman yang paling umum mengenai pendermaan organ dan tisu ialah tindakan ini bertentangan dengan prinsip agama dan akan menyeksa jenazah. Memetik kata Ketua Pengurus Klinikal Pusat Sumber Transplan Nasional, Datin Dr Lela Yasmin Mansor menyatakan bahawa pendermaan organ tidak menjejaskan rupa atau bentuk tubuh jenazah di samping pengebumian juga boleh dijalankan seperti biasa. 

        Satu strategi perlu diidentifikasi bagi menyanggah persepsi negatif utama yang perlu dilenyapkan iaitu perasaan takut. Penyelidikan menunjukkan bahawa ketakutan dan ketidakyakinan adalah sebab utama rakyat Malaysia khususnya orang Melayu tidak berkenan untuk menyumbang menurut Dr. Lela. Terdapat banyak alasan untuk permasalahan ini. Salah satunya mungkin proses ini menakutkan mereka kerana boleh melibatkan kematian atau sesuatu yang berada di luar jangkaan mereka. Signifikannya, kaedah terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menyebarluaskan maklumat mengenai pendermaan organ melalui Internet  atau bentuk media massa yang lain rentetan transplantasi organ difatwakan harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1970. Beberapa singkapan menyingkapkan bahawa umat Islam dibenarkan berikrar dan menderma organ dan tisu mereka dalam keadaan tertentu di negara-negara seperti Mesir, Arab Saudi, Iran, Pakistan dan Singapura. Ringkasnya, pendermaan organ dan tisu ini amat mustahak kerana  dapat memenuhi tuntutan pemeliharaan nyawa manusia selain tiada apa-apa aspek perdagangan atau penjualan organ dan tisu serta dilakukan sebagai pilihan terakhir untuk memelihara nyawa pesakit yang memerlukan organ atau tisu tersebut.

     Mengambil satu contoh kontradiksi, agama  seperti Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh juga membenarkan pendermaan organ dan tisu selepas meninggal dunia malah menganggapnya satu tindakan yang mulia. Dalam konteks agama Islam, suatu tindakan dinilai menggunakan kaedah fiqh yakni bergantung pada niat dan tujuan asal pelaksanaannya. Tujuan pemindahan organ dan tisu adalah untuk memelihara nyawa pesakit dan juga meminimumkan jumlah bahaya yang akan berlaku. Pendekatan ini meletakkan supaya keutamaan diberikan kepada pesakit bagi menghindar sebarang kecelakaan. Hal ini kerana kegagalan terbesar dalam konteks pemindahan organ dan tisu ini adalah dengan membiarkan pesakit yang memerlukan organ atau tisu itu dalam keadaan getir. Kematian dan pendermaan organ dan tisu amat sukar untuk dibincangkan apatah lagi bagi mereka yang baru sahaja kehilangan orang tersayang. Hal ini merupakan satu perkara yang amat rumit bagi kakitangan perubatan yang sentiasa berusaha untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Tambahnya lagi, pendermaan organ dan tisu penderma yang sangat dikasihi ahli keluarganya setelah penderma tersebut meninggal dunia bukanlah suatu hal yang mudah dan pasti akan menimbulkan kerisauan dalam kalangan ahli keluarga penderma. Bagi mengelakkan perkara ini daripada terjadi, penderma mestilah memberitahu ahli keluarga tentang pilihan mereka untuk menderma organ atau tisu selepas kematian demi memperoleh persetujuan daripada ahli keluarga penderma.   Selain itu, setiap orang layak menderma organ dan tisu di Malaysia kecuali individu yang mempunyai penyakit berjangkit seperti HIV AIDS, Hepatitis B dan C serta Sifilis. Buat mereka yang berumur di bawah 18 tahun persetujuan bertulis daripada ibu bapa mereka diperlukan. Pendek kata, organ atau tisu apabila disumbangkan boleh memberi manfaat kepada mereka yang masih hidup. Sebaliknya, jika organ itu tidak dimanfaatkan, maka akan hancur juga apabila dikebumikan.
     
 Sementara itu, penderma perlu menjalani satu proses saringan untuk memastikan organ atau tisu yang ingin didermakan selamat dan tidak memudaratkan penerima serta boleh berfungsi dengan baik setelah ditransplantasi. Antara proses saringan yang perlu dilakukan terhadap penderma adalah seperti sejarah kesihatan, pemeriksaan fizikal, ujian darah, pengimejan dan lain-lain bergantung kepada jenis organ dan tisu yang ingin didermakan. Ujian saringan ini biasanya dilakukan untuk memastikan tiada penyakit yang berbahaya seperti penyakit berjangkit dan kanser serta bertujuan untuk memastikan status kefungsian organ dan tisu tersebut. Bertitik tolak dengan kenyataan di atas, segala proses pembedahan pemindahan organ dan tisu dijalankan di dewan bedah hospital oleh pakar bedah yang terlatih dan mereka juga akan sentiasa menghormati jenazah penderma tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan semasa prosedur tersebut. Pendermaan organ serta tisu seseorang penderma itu tidak akan menjejaskan rupa dan bentuk tubuh badannya kerana selepas organ dan tisu diperoleh, luka pembedahan itu akan dijahit dengan sempurna serta jenazah penderma tidak akan mengalami apa-apa kecacatan fizikal.
 
    Sebagai penutup bicara, sewajarnya alternatif lain perlu dikaji seperti penggunaan organ-organ tiruan atau pengambilan daripada organ haiwan bagi menggantikan pendermaan organ dan tisu manusia kerana perkara ini adalah jauh lebih  baik daripada mengambil hak seseorang manusia. Dari perspektif berbeza pula,  konsep pendermaan organ dan tisu perlu diperluas bagi memastikan maslahat masyarakat umat masa kini terjamin keselesaan hidup mereka dengan sebab pendermaan seperti ini. Semoga dengan pernyataan seperti ini dapat meningkatkan semangat rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk menderma organ mahupun tisu dalam usaha mentahqiqkan maslahat dan kesejahteraan masyarakat sesuai dengan prinsip ta'awun bi al-bir wa al-taqwa yang merupakan sebahagian daripada perintah al-Quran untuk melakukan amal soleh dan takwa. Tubuh badan kita bukan hak mutlak kita ataupun keluarga kita. Begitu juga dengan organ yang ada pada badan kita, semuanya adalah pinjaman daripada Allah. Akhirulkalam, saya berdoa kepada Allah SWT agar masyarakat Malaysia sentiasa hidup dalam keadaan sihat, damai,saling menyayangi , dianugerahkan rahmat Allah  serta saling membantu antara satu sama lain.

Rabu, 4 Ogos 2021

Rencana Terapi Seni Melalui Lukisan dalam Kehidupan

 TERAPI SENI MELALUI LUKISAN DALAM KEHIDUPAN

             oleh: Muhammad Zulkarnain bin Shahril Rizal

     Terapi seni melalui lukisan merupakan suatu terapi yang menggabungkan prinsip seni dan psikologi untuk membantu seseorang individu dalam menangani sesuatu masalah. Terapi seni tidak memerlukan seseorang itu pandai melukis kerana terapi ini tidak bertujuan untuk menghasilkan karya yang artistik. Oleh itu, beberapa langkah boleh diambil untuk menerapkan terapi seni dalam diri individu.

     Salah satu langkah untuk menerapkan terapi seni melalui lukisan dalam diri individu ialah guru kaunseling perlu bekerjasama dengan guru seni. Dalam konteks ini, masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, iaitu guru kaunseling pakar dalam hal permasalahan pelajar manakala guru seni pakar dalam hal kesenian. Hal ini demikian boleh dilakukan dengan memberikan kursus berkaitan seni terapi kepada ahli Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) untuk mendapatkan pendekatan dengan pelajar yang mempunyai masalah. Melalui langkah ini, ahli PRS akan mempunyai pengetahuan dan lebih mudah untuk melaksanakan tugas. Langkah yang diambil ini dapat dilihat seperti bukit sama didaki lurah sama dituruni. Natijahnya, kerjasama antara guru kaunseling dengan guru seni amat membantu dalam menerapkan terapi seni melalui lukisan dalam diri individu.

     Seterusnya, pihak kerajaan mesti memfokuskan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghidap masalah mental seperti autisme dan sindrom 'down'. Hal ini demikian supaya ibu bapa lebih peka dalam menguruskan emosi anak-anak mereka. Dalam aspek ini, pihak kerajaan boleh mengadakan kempen secara besar-besaran melalui platform media massa seperti berita, akhbar dan media sosial. Dengan hal ini, ibu bapa sememangnya dapat menguruskan anak-anak mereka dengan lebih mudah kerana memahami emosi anak-anak mereka. Tegasnya, inisiatif kerajaan dalam memfokuskan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghidap masalah mental dapat menerapkan terapi seni dalam diri individu.

    Terdapat juga beberapa kepentingan yang boleh diperolehi daripada terapi seni melalui lukisan ini. Salah satu daripadanya ialah potensi diri individu dapat ditingkatkan. Hal ini demikian boleh dilakukan melalui ekspresi seni yang dihasilkan seperti lukisan berkonsepkan potret diri, lukisan spontan ataupun lukisan keluarga. Hasilnya, individu akan berasa lebih yakin pada diri dan bermotivasi. Jelaslah bahawa terapi seni melalui lukisan ini membantu dalam meningkatkan potensi diri individu.

      Seterusnya, terapi seni melalui lukisan dapat memperkasakan kemahiran motor halus anak-anak yang masih kecil seawal usia tiga tahun. Hal ini demikian kerana terapi seni banyak mempengaruhi pemikiran seseorang terutamanya kanak-kanak yang masih membangun. Aspek ini biasanya melibatkan koordinasi otot-otot kecil dan penglihatan. Impaknya, anak-anak dapat melaksanakan tugas-tugas penting secara sendirian seperti memasukkan butang dalam baju, memegang pinggang mangkuk dan menggunakan tandas. Manfaat yang diperoleh ini sesuai dengan peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Tuntasnya, kemahiran motor halus anak-anak kecil dapat diperkasakan dengan terapi seni melalui lukisan.


     Konklusinya, terapi seni melalui lukisan sememangnya mempunyai banyak manfaatnya. Semua pihak seharusnya mengambil inisiatif dalam menyebarkan kaedah ini agar dapat memberikan faedah kepada manusia serta membantu dalam mengurangkan  isu berkenaan masalah mental dalam kalangan masyarakat.

KARANGAN A: LANGKAH PENCEGAHAN COVID-19



        Covid-19 telah ditemukan pada Disember 2019 di Wuhan, China. Virus ini telah menyerang hampir ke seluruh pelosok dunia. Trend peningkatan kes virus ini dilaporkan sudah mencecah jutaan orang serta melibatkan jumlah kematian yang tinggi.

      Orang awam digalakkan untuk mengenakan pelitup muka yang berkualiti ketika berada di tempat terbuka yang sesak dan sibuk. Sebagai contoh, Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan rakyat agarmemilih pelitup muka tiga lapis yang diperbuat daripada fabrik kalis air. Tindakan ini dapat menghalang cecair seperti batuk atau bersin tersebar kepada individu lain.

       Selain itu, kerajaan juga telah menetapkan obligasi untuk kita mengamalkan penjarakan fizikal sejauh satu meter ketika berada di tempat awam. Hal ini rentetan daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia selain telah meluluskan  beberapa jenis vaksin seperti Pfizer, Sinovac dan Astra Zeneca. Pemvaksinan merupakan satu-satunya cara yang dipercayai untuk memutuskan rantaian Covid-19 buat masa ini.

      Seterusnya, kerajaan juga telah melaksanakan beberapa kempen seperti ‘Elakkan 3S’ iaitu elakkan berkunjung ke tempat yang sesak, elakkan tempat yang sempit dan tertutup serta elakkan bersembang secara dekat. Oleh sebab virus ini senang merebak walaupun melalui udara, pematuhan rakyat kepada norma baharu yang ditetapkan sangatlah dititikberatkan barisan hadapan.

       Kesimpulannya, semua pihak seharusnya bekerjasama mementingkan prosedur operasi standard yang ketat supaya dapat mengelakkan daripada virus ini merebak dengan mudah.


Muhammad Faris Amzar,2021

Rabu, 28 Julai 2021

Aman Makmur Malaysia ( Langkah-langkah Memupuk Perpaduan dalam Kalangan Rakyat)

KARANGAN BAHAGIAN B

        Perpaduan merujuk kepada suasana dan ikatan mesra antara rakyat dalam sesebuah negara. Dunia yang semakin kompleks kini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat. Isu perpaduan kaum bukanlah sesuatu isu yang baharu di negara kita bahkan telah menjadi fokus perbincangan dalam media massa dan buah mulut dalam kalangan rakyat. Senario ini amat mengecewakan kerana pembangunan negara kita yang pesat sejak merdeka akan terjejas disebabkan pergaduhan dan pergolakan politik dalaman. Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik haruslah dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga akar umbi.

        Peranan ibu bapa dan barisan pendidik merupakan wahana dalam membina generasi masa hadapan yang mementingkan keharmonian antara kaum. Dalam institusi keluarga, ibu bapa merupakan entiti mithali kepada anak dan perlu menunjukkan teladan baik. Contohnya, ibu bapa haruslah bertegur sapa dan melayani jiran tetangga dengan mesra tanpa mengira bangsa, kaum dan anutan agama. Maka, sejak usia muda anak akan terpengaruh untuk meneladani sikap ibu bapa yang menghormati kaum lain, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Barisan pendidik di sekolah juga memainkan peranan signifikan dalam menerapkan nilai murni ke dalam sanubari anak murid. Melalui pengajaran subjek pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan, barisan pendidik dapat memberikan bimbingan dan nasihat yang berterusan untuk membentuk sahsiah positif dalam para murid. Yang kita pastikan ialah gabungan usaha antara ibu bapa dengan barisan pendidik dapat memupuk nilai perpaduan dalam generasi muda.

       Selain itu, pada masa ini juga aktiviti kemasyarakatan dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita. Melalui penganjuran aktiviti gotong-royong, masyarakat dapat memupuk semangat bekerjasama bak aur dengan tebing untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman. Aktiviti sebegini mampu menjamin keceriaan kawasan kediaman masyarakat dan juga membuka ruang serta peluang komunikasi antara jiran tetangga. Pada masa yang sama, konsep rumah terbuka haruslah diperkukuh di negara kita. Rumah terbuka merupakan kaedah pemupukan perpaduan yang efektif kerana dapat mendedahkan masyarakat kepada keunikan adat resam kaum lain. Secara tidak langsung, persefahaman antara kaum dapat diwujudkan dan hubungan erat bak isi dengan kuku dapat dijalin. Dengan perkataan lain, aktiviti kemasyarakatan merupakan saluran yang paling berkesan untuk memupuk perpaduan kaum.

         Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini. Dalam konteks mengukuhkan perpaduan kaum, media massa seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyebarkan mesej dan informasi positif tentang kepentingan bersatu padu. Sebagai analoginya, stesen penyiaran tempatan boleh menyiarkan program yang berunsur perpaduan dan mempunyai pelakon yang berbilang pelbagai bangsa. Siaran program sebegini sudah pasti dapat menerapkan nilai perpaduan dalam jiwa masyarakat secara beransur-ansur terutamanya jika unsur hiburan turut diselitkan dalam program tersebut. Sesungguhnya, perpaduan kaum akan tercapai dengan lebih mudah melalui peranan media massa.

          Dalam sistem perundangan negara kita, rakyat diberikan hak kebebasan bersuara. Namun demikian, rakyat Malaysia seharusnya menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum. Rakyat negara kita haruslah mengawal nafsu diri dan tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu sensitif dan kontroversi. Hal ini dapat mengelakkan muhibah dan perpaduan kaum daripada terjejas kerana bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, peranan rakyat sendiri tidak boleh dinafikan kepentingannya dalam usaha memupuk perpaduan kaum di negara kita.

         Kesetiaan kepada raja dan negara terangkum dalam prinsip rukun negara yang kedua. Prinsip ini amat penting diamalkan bagi melahirkan rakyat yang taat setia kepada pemerintah dan negara. Setiap warganegara haruslah menumpukan sepenuh taat setia kepada raja dan negara kerana Raja lambang perpaduan negara. Sumpah taat dan setia kepada raja dapat mengelakkan sesetengah rakyat di negara ini menjadi gunting dalam lipatan atau menangguk di air yang keruh demi kepentingan diri sendiri. Perkara buruk seperti rusuhan kaum dapat dielakkan jika rakyat mematuhi prinsip kedua ini sekali gus menjamin kestabilan negara yang berterusan.

       Konklusinya, perpaduan merupakan tunjang dan asas negara Malaysia. Semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk memainkan peranan masing-masing dalam menerbitkan semangat perpaduan dalam sanubari sendiri dan orang lain. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insya-Allah perpaduan rakyat dapat dicapai dan diggenggam erat. Dengan ini diharapkan peristiwa hitam seperti 13 Mei 1969 dapat dielakkan daripada berulang kembali. Demi masa depan negara yang cemerlang, marilah kita bersama-sama menyeru sahutan kerajaan dan berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu.

Oleh: Muhammad Faris Amzar, 5 Maju 2021, SMKBBSKL

Penulisan e-mel ( Pengalaman Mencandat Sotong)

Daripada:zulkarnain@gmail.com

Kepada: intanmiasara@gmail.com

Subjek: Pengalaman Mencandat Sotong


Cikgu Intan,

          Semoga cikgu berada dalam keadaan sihat selalu. Tujuan saya mengirim e-mel ini adalah untuk berkongsi pengalaman saya sekeluarga pada cuti penggal yang lalu iaitu aktiviti mencandat sotong. Aktiviti yang dilakukan di Pantai Chendering, Kuala Terenganu itu dirancang agar keluarga kami dapat meluangkan masa bersama-sama selain merasai pengalaman baharu.

          Ayah membeli pakej yang berharga RM 1400 iaitu pakej untuk 10 orang peserta.  Pakej tersebut sememangnya sesuai untuk kami yang mempunyai tujuh orang ahli keluarga. Barangan keperluan yang kami bawa hanyalah baju sejuk, sebungkus roti dan air mineral kerana selebihnya disediakan oleh pihak penganjur seperti minum petang, makan malam dan alat mencandat.

         Usai tiba di Jeti Pelabuhan LKIM Chendering sekitar pukul lima petang, kami berkumpul untuk mendengar beberapa taklimat daripada tekong berkaitan dengan langkah-langkah keselamatan semasa melakukan aktiviti. Kami berehat seketika di bilik penginapan dan menyemak semula kelengkapan dan bersiap sedia melakukan aktiviti tersebut.Pada jam enam petang, aktiviti mencandat sotong bermula. Saya ditugaskan untuk memimpin bacaan doa sebelum kami menaiki bot agar kami memperoleh rezeki yang banyak dan selamat semasa melakukan aktiviti ini.

          Pada awalnya, tidak banyak sotong yang kami peroleh. Jadi, kami berehat sebentar selepas kira-kira satu jam di dalam bot untuk makan malam . Kami kembali menyambung aktiviti mencandat setelah menikmati makan malam yang sangat menyelerakan.  Hasil tunjuk ajar yang diberikan oleh tekong, saya berjaya mencandat 14 ekor sotong. Ahli keluarga saya yang lain juga memperoleh tangkapan yang banyak. Setelah masuk waktu Subuh, kami segera pulang ke jeti. Kami berkemas dan bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada jam 10.00 pagi setelah menzahirkan penghargaan kepada tekong dan pembantunya. 

          Pengalaman ini sememangnya tidak akan saya lupakan. Saya berharap cikgu boleh berkongsi aktiviti yang cikgu lakukan ketika melalui cuti penggal yang lalu. Sekian, terima kasih.


Yang ikhlas,                                                      Zulkarnain

Khamis, 3 Disember 2020

Karangan Peranan Ibu Bapa Dalam Melahirkan keluarga Bahagia


Keluarga ialah satu kumpulan manusia yang dihubungkan melalui pertalian darah, perkahwinan atau penjagaan di mana para anggotanya tinggal di suatu tempat di bawah suatu atap dalam keadaan saling bergantungan. Keluarga merupakan suatu institusi yang amat penting daripada sesebuah masyarakat. Daripada keluarga, wujudnya sifat kasih-sayang di antara manusia. Rumah tangga yang bahagia dapat melahirkan insan yang akan berjaya di dunia serta akhirat. Seseorang yang dibesarkan dalam  keluarga yang bahagia akan sentiasa berasa dirinya dihargai. Tidak lupa juga, dirinya akan sentiasa diberikan sokongan moral dalam apa-apa jua perkara yang dilakukannya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa merupakan tonggak kepada keluarga yang bahagia. Sekiranya mereka tidak menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Tuhan, pasti sahaja rumah tangga akan berpecah-belah seterusnya keluarga bahagia tidak dapat diwujudkan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam melahirkan keluarga bahagia?

Antara peranan ibu bapa dalam melahirkan keluarga bahagia ialah ibu bapa perlulah menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana, ibu bapa akan menjadi model ikutan kepada anak-anak. Hal ini bermaksud segala tingkah laku ibu bapa akan dicontohi oleh anak-anak. Oleh yang demikian ibu bapa perlulah sentiasa menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa tidak bergaduh di hadapan anak-anak, bercakap dengan lemah-lembut dengan anak-anak dan saling menghormati antara satu sama lain. Kesannya, mereka akan mengikuti perkara baik yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka kerana ke mana tumpahnya kuah kalua tidak ke nasi. Namun begitu, sekiranya ibu bapa menunjukkan sikap negatif kepada anak-anak seperti sentiasa bertengkar, maki hamun serta penderaan anak-anak pasti akan merasa kesannya juga. Mereka akan cuba untuk pulang lewat ke rumah atau melepak Bersama rakan sehingga lewat malam. Pada dasarnya, ibu bapa seharusnya menunjukkan sikap yang baik kepada anak-anak supaya kehidupan anak-anak menjadi lebih bahagia.

Selain itu, ibu bapa perlulah mencurahkan kasih-sayang kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana, anak-anak merupakan kurnian Tuhan yang tidak ternilai. Naluri mereka mudah untuk memberontak tetapi anak-anak mula membentuk keyakinan kepada persekitaran mereka. Dalam konteks ini ibu bapa perlulah mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sebagai contoh, ibu bapa tidak terlalu mengejar kemewahan dengan bekerja sehingga lewat maam sehingga tiada masa untuk diluangkan bersama dengan anak-anak. Seballiknya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak makan angin di destinasi-destinasi yang menarik di dalam mahupun luar negara. Hal ini menyebabkan anak-anak merasakan diri mereka dihargai dan disayangi . Tambahan pula, perkembangan emosional dan fizikal mereka tidak akan terbantut. Anak-anak akan patuh kepada nasihat yang diberikan oleh ibu bapa mereka. Mereka tidak akan mudah memberontak. Tegasnya di sini, sebelum nasi menjadi bubur ibu bpa perlulah memberikan kasih-sayang kepada anak-anak dengan secukupnya supaya mereka tidak akan melakukan perkara yang akan merugikan diri mereka sendiri.

Seterusnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama dan moral yang sempurna kepada anak-anak. Hal ini disebabkan oleh agama merupakan tunjang atau asas keperibadian anak-anak. Misalnya, ibu bapa memastikan anak-anak mereka memperoleh didikan yang sewajarnya. Dalam hal ini didikan agama dan pemupukan nilai ketimuran haruslah bermula dari peringkat akar umbi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa bertanggungjawab untuk melatih anak-anak dengan budaya hidup beragama Islam serta menghantar anak-anak mengikuti kelas-kelas pengajian agama. Usaha ini menyebabkan terbentuknya kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak. Anak-anak juga akan sentiasa sopan dan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesame adik-beradik. Kurang pergaduhan yang akan berlaku akibat daripada sifat ketidakpuasan hati mahupun salah faham. Jelaslah bahawa, didikan agama dan moral dapat mewujudkan keluarga yang harmoni serta sentiasa bekerjasama.

Akhir sekali, ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak mereka. Hal ini membawa konotasi bahawa anak-anak yang kurang kebajikan biasanya cenderung untuk menjadi anak-anak yang nakal dan kurang berdisiplin. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu menyediakan keprerluan asas anak-anak bagi menjamin keselesaan kepada mereka. Contohnya, tempat tinggal yang kondusif, pakaian yang bersesuaian serta makanan dan minuman yang berkhasiat perlulah disediakan oleh ibu bapa. Di samping itu, ibu bapa juga perluah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak belajar. Pada masa yang sama, ibu bapa mengetahui perkembangan pelajaran anak-anak di sekolah dan meluangkan masa untuk berkomunikasi dengan anak-anak. Hal ini dapat merangsang perkembangan diri yang seimbang kepda anak-anak. Sejajar dengan itu, anak-anak akan lebih suka meluangkan masa bersama dengan keluarga dan duduk di rumah. Secara ringkasnya, ibu bapa perluah memberikan keperluan asas kepada anak-anak supaya anak-anak berasa selesa.

Kesimpulannya, keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil lagi. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak ansur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Sesungguhnya keluarga bahagia merupakan asas pembentukan masyarakat yang penyayang dan masyarakat yang maju. Pembentukan masyarakat yang penyayang akan dapat direalisasikan apabila setiap anggota keluarga memainkan peranan mereka masing-masing untuk membentuk keluarga bahagia.


-------NUR SYAZWANI JOHARI, 5 MAJU 2020------------

KARANGAN RANGSANGAN (CIRI-CIRI MASYARAKAT PENYAYANG)

      

    Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang. Kebanyakan masyarakat dewasa ini kurang menunjukkan sikap saling menyayangi antara satu sama lain berbanding dengan  masyarakat zaman silam. Mereka tidak sedar bahawa nilai tersebut penting diamalkan oleh setiap insan untuk membentuk satu masyarakat harmoni. Oleh sebab kesibukan beverja dan kemajuan dunia yang mementingkan kecanggihan teknologi sahaja, nilai tersebut makin diabaikan oleh masyarakat. Persoalannya, apakah ciri-ciri masyarakat penyayang ?

Tidak dapat dinafikan masyarakat penyayang adalah sekumpulan manusia yang menunjukkan kasih sayang sesama mereka. Hal ini kerana mereka tidak mementingkan diri sendiri sahaja bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tetapi prihatin terhadap masyarakat sekeliling juga. Mereka selalu prihatin dengan situasi masyarakat sekeliling dan sudi menghulurkan bantuan kepada mereka yang mengalami kesusahan. Contohnya, pertolongan diberi kepada mangsa banjir dan mangsa kebakaran. Tegasnya, salah satu ciri masyarakat penyayang adalah dengan saling menyayangi antara satu sama lain dan  mempunyai sikap mengambil berat terhadap makhluk  yang lain.

Selain itu, sikap sayang akan alam sekitar juga merupakan sifat masyarakat penyayang. Hal  ini dikatakan sedemikian kerana alam sekitar juga merupakan satu ciptaan Tuhan yang perlu dihargai dan dipelihara seperti manusia. Sudah terang lagi bersuluh, masyarakat penyayang merupakan golongan yang sentiasa melestarikan kebersihan alam sekitar. Sebagai contoh, gotong-royong kerap dilakukan, sampah-sarap tidak dibuang merata-rata dan hutan tidak ditebang secara sesuka hati . Amalan-amalan tersebut menunjukkan ciri masyarakat penyayang kerana kegiatan itu dapat mengelakkan pencemaran alam sekitar. Jelaslah bahawa masyarakat penyayang bukan sahaja prihatin terhadap insan tetapi juga terhadap segala ciptaan Tuhan seperti alam sekitar.

Akhir sekali, ciri-ciri masyarakat penyayang adalah menyayangi dan menghargai haiwan. Segelintir masyarakat tidak memandang haiwan sebagai organisma hidup dan sering mengbaikan atau mendera binatang-binatang tersebut. Namun masyarakat penyayang tidak membuat demikian tetapi akan menjaga haiwan dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Misalnya, mereka akan membawa binatang peliharaan untuk mendapat rawatan yang sepatutnya dan akan memberi makanan kepada haiwan liar yang kelaparan. Intihanya, sayang akan haiwan juga merupakan satu ciri mustahak yang dipupuk dalam kalangan masyarakat penyayang.

Kesimpulannya, masyarakat penyayang bukan sekadar menyayangi sesama manusia sahaja tetapi sikap kasih sayang juga ditunjukkan kepada alam sekitar dan haiwan. Dengan adanya sikap kasih sayang ini, keadaan harmoni dan perpaduan dapat diwujudkan antara masyarakat. Oleh hal yang demikian, semua pihak harus bekerjasama bagai aur dengan tebing menggembleng kudrat untuk membentuk masyarakat yang penyayang. Hal ini bukan sahaja untuk kebaikan kestabilan negara tetapi juga dapat memberi manfaat kepada diri sendiri.



TAN XIN LE ( 5 MAJU 2020)

KARANGAN B SPM: PUNCA-PUNCA MASALAH KESIHATAN MENTAL ( TRIAL TERENGGANU 2023)

            Data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati satu dalam empat remaja mengalami gejala kemurungan pada 2022 be...