CEMERLANG BAHASA MELAYU SPM

BIASAKAN YANG BETUL, BETULKAN YANG BIASA

Rabu, 24 Januari 2024

KARANGAN B SPM: PUNCA-PUNCA MASALAH KESIHATAN MENTAL ( TRIAL TERENGGANU 2023)

         Data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati satu dalam empat remaja mengalami gejala kemurungan pada 2022 berbanding satu dalam lima remaja pada 2019.  Hal ini jelas menunjukkan bahawa semakin hari, semakin ramai remaja yang menghadapi masalah kesihatan mental.  Stigma dan diskriminasi antara cabaran utama  menjadi penghalang kepada akses terhadap rawatan dan penjagaan kesihatan mental yang baik, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. Dalam satu kenyataan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut setiap 10 Oktober, beliau berkata persepsi negatif tersebut perlu dihentikan dan individu yang mempunyai masalah kesihatan mental perlu digalakkan untuk mendapatkan rawatan sama seperti penyakit fizikal lain.  Oleh hal yang demikian, eloklah kita mengkaji permasalahan ini dari akar umbi agar penyelesaian yang terbaik dapat diambil untuk menangani cabaran ini.


        Tekanan akademik merupakan antara punca peningkatan isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar.  Hal ini dikatakan demikian kerana,  ramai dalam kalangan pelajar menghadapi persaingan sengit dari segi akademik, termasuk jangkaan tinggi daripada orang sekeliling mereka. Seterusnya, hal ini akan membawa kepada tekanan untuk meningkatkan prestasi dalam pelajaran yang akan memberikan beban yang berlebihan kepada mereka.  Sebagai contoh,budaya berlumba-lumba mengejar kecemerlangan akademik anak-anak dalam kalangan ibu bapa akhirnya akan memberi beban dan tekanan kepada anak-anak.  Anak-anak akan berasa risau bagai tidur di atas miang sekiranya tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa yang terlalu mengharapkan anak-anak mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan khususnya peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).  Lebih teruk lagi, pencapaian anak-anak mereka sentiasa dibandingkan dengan dengan anak-anak rakan-rakan dan saudara-mara terdekat. Perkara ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada stres, kebimbangan dan kemurungan yang seterusnya akan mempengaruhi kesihatan mental.


        Seterusnya, punca kedua yang menjadi penyebab tekanan mental ialah pengunaan media sosial yang keterlaluan. Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Utara Malaysia dan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), hampir 60 peratus belia antara 18 hingga 25 tahun yang dikaji menghabiskan masa melebihi lima jam sehari untuk melayari Internet terutamanya bahan berunsur hiburan.  Ketagihan itu menyebabkan mereka mengalami gangguan psikologi hingga boleh menjejaskan kawalan impuls diri apabila seseorang itu terlalu akrab dengan Internet. Dalam perkembangan teknologi yang semakin pesat, media sosial seperti Whatsapp, Facebook dan Twitter merupakan pelantar terbaik untuk saling berhubung.  Namun begitu, komen negatif, kenyataan menghina atau memperlekehkan individu di laman media sosial, perbandingan gaya hidup boleh menyebabkan mangsa menghadapi pergolakan emosi seterusnya berisiko mengalami masalah kesihatan mental. Senario ini akan menyebabkan individu terbabit akan tersisih daripada interaksi sosial secara bersemuka, tabiat pemakanan yang tidak sihat, gangguan tidur, kurang aktiviti fizikal dan menjejaskan tumpuan pelajaran atau kerja.Oleh hal yang demikian ,kajian ini telah membuktikan bahawa media sosial boleh melemahkan dan menggangu gugat remaja yang sedang melalui proses membina keyakinan diri.  

        Selain itu,  masalah keluarga juga menjadi penyebab masalah kesihatan mental.  Pasangan suami isteri yang sering bergaduh kerana sudah hilang persefahaman dan rasa hormat sering berhadapan dengan tekanan. Suami atau isteri yang curang menyebabkan rumahtangga menjadi porak-peranda hingga berakhir dengan perceraian semakin meningkat di negara kita. Kehadiran orang ketiga telah menimbulkan konflik yang berpanjangan apabila mereka saling menyalahkan dan menuntut hak  di mahkamah.  Masalah keluarga ini bukan sahaja menyebabkan ibu atau bapa menghadapi tekanan mental dan akhirnya anak-anak turut terseret kerana  ibu bapa yang bermasalah akan kurang memberi perhatian kepada anak-anak. Buktinya, Dr Zaliha, Menteri Kesihatan Malaysia berkata, antara faktor menyebabkan ramai kanak-kanak terjebak dengan isu kesihatan mental adalah disebabkan kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa atau penjaga. Sudah terang lagi bersuluh bahawa masalah keluarga adalah antara penyebab berlakunya masalah tekanan mental dalam kalangan remaja di negara kita.

    Kesimpulannya, semua pihak perlulah cakna akan isu ini dan mengambil tindakan proaktif untuk mengatasinya. Kesejahteraan emosi perlu dititikberatkan dengan pengamalan gaya hidup yang sihat di samping bijak menguruskan setiap masalah yang dihadapi oleh setiap individu itu sendiri.. Jangan biarkan kemurungan menguasai diri dan melenyapkan kebahagiaan dalam menikmati kehidupan.  Kita perlu sentiasa bersyukur dan menghargai orang yang terdekat iaitu keluarga sendiri demi menjadikan hidup lebih bahagia dan sejahtera di dunia dan di akhirat. Keprihatinan terhadap masalah yang menimpa ahli keluarga dan  sokongan moral dan sosial dapat mewujudkan mental sihat seterusnya melahirkan keluarga sakinah mawaddah warahmah. Sayangi diri dan keluarga anda!





- Januari 24, 2024 Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Khamis, 26 Oktober 2023

UJIAN BERTUTUR BERKUMPULAN: TEMA KERJAYA

 SOALAN:

Persaingan untuk mendapatkan peluang pekerjaan  dalam kalangan masyarakat semakin sengit.  Oleh itu, keadaan tersebut memerlukan mereka membuat persediaan agar dapat bersaing seterusnya memperoleh pekerjaan yang diidamkan.


Cadangan Jawapan:

1)  Melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi dengan mengambil kursus-kursus yang berkaitan dengan pekerjaan yang ingin diceburi nanti

❤ Pengambilan kursus-kursus yang berkaitan dengan kerjaya yang diminati di institusi pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta akan menyumbang kepada  lahirnya graduan yang mampu bersaing dan bersedia untuk bekerja setelah tamat pengajian mereka

❤ Sebagai contoh, mereka yang berminat dalam bidang kedoktoran mestilah mengambil kursus kedoktoran dan belajar bersungguh-sungguh sehingga tamat pengajian mereka sebelum bergelar doktor.  Begitu juga dengan pelajar yang berminat dalam bidang perakaunan, mereka perlu mengambil kursus perakaunan sehingga ke peringkat ijazah sebagai persediaan menjadi seorang akauntan kelak.

❤ Impaknya, mereka akan memiliki pengetahuan yang tinggi dan hal ini memberi kelebihan kepada pelajar untuk mempraktikkan teori-teori yang dipelajari atau latihan yang telah dipelajari ke alam realiti sebenar kerjaya itu nanti.

❤ Oleh hal yang demikian, pelajar sewajarnya belajar bersungguh-sungguh dalam bidang yang diminati oleh mereka kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

2) Kemahiran komunikasi yang baik

❤Kemahiran berkomunikasi yang baik sangat diperlukan dalam sesebuah organisasi.  Kemahiran ini sangat penting bagi memastikan kelancaran urusan kerja, sama ada komunikasi sesama rakan sekerja mahupun pihak luar terutamanya untuk meraih kepercayaan, keyakinan dan sambutan pelanggan

❤ Sebagai contoh, seseorang itu perlulah berhemah dalam berkata-kata, mampu menganalisis sesuatu keadaan dan mampu menyelesaikan sesuatu masalah dengan cekap .

❤ Kesannya, seseorang itu boleh mengelakkan konflik secara luaran ataupun dalaman yang boleh membawa kesan negatif kepada sesebuah organisasi dan seterusnya akan meningkatkan produktiviti di tempat kerja. Komunikasi yang baik dalam sesebuah organisasi akan menjamin kemajuan organisasi tersebut kerana Bersekutu Bertambah Mutu.

❤  Oleh itu, kita hendaklah berlatih untuk berkomunikasi dengan baik terhadap semua orang sebagai persediaan awal untuk memasuki bidang kerjaya nanti 

3)  Persediaan dari segi fizikal dan mental

❤ Bidang pekerjaan yang dipilih selalunya bergantung terhadap faktor fizikal ataupun mental.

❤ Sebagai contoh, seorang juruukur atau jurutera memerlukan ketahanan fizikal kerana pekerja ke tapak pembinaan yang panas di bawah terik matahari untuk melakukan tugas ataupun pemerhatian.  Dari segi mental pula, kita perlu membuat  persediaan untuk berurusan dengan rakan sekerja, majikan atau pelanggan yang mempunyai pelbagai kerenah  yang memerlukan kita mempunyai tahap kesabaran yang tinggu dan tidak mudah melatah dalam menghadapi situasi yang tidak terduga agar tidak memalukan diri sendiri dan organisasi yang diwakili.

❤ Oleh hal yang demikian,  kita hendaklah membuat persediaan dari segi fizikal dan mental sebelum menceburi sesuatu bidang pekerjaan.


4) Mengetahui prospek dan risiko yang diambil sekiranya kita bekerja dalam bidang tersebut. 

❤Banyak pekerjaan sebenarnya mempunyai prospek yang baik untuk masa hadapan jika kita kekal cemerlang dalam prestasi kerjaya kita. Namun begitu, terdapat juga pekerjaan yang memerlukan usaha yang lebih untuk kekal konsisten dalam memperoleh pendapatan. 

❤Sebagai contoh, usahawan yang perlu sentiasa berfikiran kreatif dan kritis dalam memastikan produk yang dihasilkan mendapat sambutan dan mencapai sasaran supaya mendapat keuntungan maksimum dan boleh mengembangkan syarikat ke tahap yang lebih maju. Begitu juga dengan pengkarya seni yang harus konsisten dalam menghasilkan seni kreatif demi mencari hasil yang mampu menanggung kehidupan mereka kelak. 

❤ Oleh itu, kita hendaklah mendapatkan maklumat tentang prospek dan risiko kerjaya terlebih dahulu kerana  jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

5) Kemahiran Bahasa

❤ Keupayaan seseorang menguasai pelbagai bahasa memberikan ruang yang luas untuknya menjalinkan jaringan komunikasi dan seterusnya menghidu pelbagai peluang kerjaya.  Majikan akan tertarik untuk menggaji kita jika berkebolehan dalam pelbagai bahasa.

❤Kini bahasa-bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Jepun mendapat tempat di hati masyarakat global. Sebagai anak muda Malaysia, kita hendaklah berani menyahut pelbagai cabaran seperti bersedia untuk mempelajari pelbagai bahasa dengan cara mengikuti pelbagai kelas bahasa asing yang banyak ditawarkan  di Institusi Pengajian Tinggi.

❤ Ingatlah kegagalan menguasai bahasa-bahasa yang mendominasi dunia tanpa sempadan, nescaya kita akan terus tertinggal dan terperap dan menjadi masyarakat terpinggir walaupun di bumi sendiri bak kata peribahasa, seperti katak di bawah tempurung.

❤ Oleh itu, sebagai prasyarat utama sebelum melamar sesuatu pekerjaan pelajarilah pelbagai bahasa agar kemahiran ini menjadi nilai tambah kepada diri kita.


6) Kemahiran teknologi maklumat

❤ Hal tersebut dikatakan demikian kerana kemahiran teknologi merupakan pemudah cara atau tangan ajaib yang mampu mengubah landskap dunia daripada belantara kepada menara pencakar langit.

❤ Oleh sebab itu, kemahiran yang berkaitan dengan kepakaran dan teknologi seperti kejuruteraan mekanikal, elektronik, pengendalian mesin, dan reka bentuk animasi hendaklah dijadikan keutamaan kerana bidang-bidang tersebut amat laris bagaikan pisang goreng panas.

❤ Kemahiran dalam teknogi ini amatlah pragmatik sebagai prakarsa menangani krisis graduan menganggur yang telah mencecah hingga puluhan ribu orang kerana kegagalan menguasai kemahiran teknologi yang mengakibatkan mereka tidak relevan dan tidak mesra majikan.

❤ Oleh hal yang demikian, kewujudan pelbagai institusi kemahiran seperti politeknik, ILP dan Kolej Kemahiran Tinggi serta IPT yang berorientasikan teknologi hendaklah direbut dengan segera kerana perahu sudah di air dan pendayung sudah di tangan, ke tengah-tengah samudera menyahut cabaran. 

- Oktober 26, 2023 Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

UJIAN BERTUTUR BERKUMPULAN TEMA ALAM SEKITAR DAN TEKNOLOGI HIJAU


Definisi

-  Teknologi hijau ialah pembangunan produk , peralatan dan sistem untuk memelihara dan memulihara alam sekitar
-  Langkah yang amat penting untuk menjamin kualiti hidup dan pengekalan sumber yang berterusan
- Pembangunan teknologi hijau perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi akan datang
-  Selaras dengan konsep pembangunan lestari.


Manfaat teknologi hijau

I: Dari aspek tenaga, teknologi hijau diharapkan dapat membantu mencari            ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga negara. 

M: Hal ini dikatakan demikian kerana, teknologi hijau merangkumi sumber tenaga seperti angin,  air, solar, hibrid dan lain-lain yang bersumberkan alam semula jadi.

BA:Teknologi hijau terbukti lebih cekap kerana teknologi ini boleh menjanakan tenaga dalam pelbagai keadaan dengan kos murah, selamat dan mesra pengguna. Hal ini dapat dibuktikan melalui pengalaman dan amalan di negara maju yang telah membangunkan industri ini sejak sekian lama. Contohnya, penggunaan tenaga hidroelektrik untuk menghasilkan tenaga elektrik.

K:Kesannya, kita tidak perlu bergantung sepenuhnya pada sumber yang tidak boleh diperbaharui tetapi mempunyai alternatif lain yang boleh digunakan yang tidak kurang hebat kegunaannya

U: Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu tak kenal, maka tak cinta

P:  Tuntasnya, teknologi hijau sememangnya dapat memastikan tenaga digunakan dengan cara yang optimum.


I:Teknologi hijau dapat membantu memulihara dan meminimumkan kesan buruk kepada alam sekitar. 

M: Hal ini dikatakan demikian kerana, pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat jika dibiarkan berterusan. 

Ba: Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minimum. Sebagai contoh, penggunaan kereta elektrik dapat mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida yang mencemarkan alam sekitar. Selain itu, penggunaan plastik biodegradasi dapat mengurangkan pencemaran dan penggunaan minyak biodisel dapat memastikan udara yang sihat dapat kita nikmati sesuai dengan fungsi alam yang sememangnya memberikan manfaat kepada kita. Seterusnya, kita juga boleh menggunakan bekas makanan yang dihasilkan daripada jagung, ubi kayu dan hampas tebu.

U: Hal in bertepatan dengan peribahasa, alam terbentang dijadikan guru

K: Jelaslah bahawa, teknologi hijau dapat meningkatkan kualiti hidup manusia.


I:  Dari aspek ekonomi, teknologi ini mampu meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua kehidupan manusia dan biodiversiti umumnya

M:  Teknologi hijau mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara dan dapat membantu mengurangkan kos operasi, meningkatkan nilai aset dan keuntungan. Teknologi ini juga dapat meningkatkan produktiviti dan kepuasan pekerja. 

BA:Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Prestasi kitar hidup ekonomi juga dapat dioptimumkan.Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk 'hijau' yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. Contohnya, industri solar photovolta telah dikenal pasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk Malaysia.

K:  Impaknya, teknologi hijau bakal memacu negara ke arah ekonomi yang lebih mapan pada masa hadapan

U: Pepatah yang boleh dikaitkan dengan usaha memajukan teknologi hijau ialah Usaha Tangga Jaya.

P: Tegasnya, teknologi hijau perlulah diperkukuh di Malaysia agar memberi hasil yang lumayan kepada negara.


I:  Dari segi komuniti, teknologi hijau dapat meningkatkan kualiti udara, terma dan bunyi persekitaran.

M:  Hal ini dikatakan demikian kerana teknologi hijau  dapat meningkatkan keselesaan dan kesihatan penghuni bandar, mengurangkan masalah infrastruktur tempatan dan meningkatkan kualiti hidup.

Ba: Contohnya, penggunaan kereta enjin hibrid seperti TESLA dapat meminimumkan bunyi enjin dan asap kenderaan. Sifatnya yang mesra alam tidak mengeluarkan bahan toksik melalui ekzos.

K:  Kesannya, manusia dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan sempurna.  

U: Sekiranya teknologi hijau dipraktikkan dengan meluas, kita dapat mencegah alam sekitar daripada terus tercemar kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

P: Sudah terang lagi bersuluh bahawa teknologi hijau sememangnya memberi manfaat yang banyak kepada manusia dan biodiversiti


STRATEGI MEMBUDAYAKAN AMALAN TEKNOLOGI HIJAU 

  1. Penggunaan tenaga yang lebih cekap
    • Mematikan suis lampu pejabat atau peralatan elektrik apabila tidak digunakan;
    • Penggunaan cahaya siang semula jadi untuk menyinari ruang dalam rumah atau pejabat bagi menggantikan cahaya lampu;
    • Jangan biarkan tingkap atau pintu luar terbuka apabila pendingin hawa sedang beroperasi. Hal ini dapat mengelakkan penggunaan tenaga elektrik berlebihan yang disalurkan kepada penghawa dingin; 
    • Memastikan tetapan komputer meja (desktop) atau komputer riba (laptop) ke sleep mode apabila tidak digunakan;
    • Menggunakan tangga untuk naik/turun ke aras yang lain;
    • Memaklumkan kepada pihak yang berkenaan dengan segera mengenai sebarang kerosakan lampu atau alat peralatan elektrik;
    • Mengamalkan budaya paperless dan memperbanyakkan penggunaan emel dan mencetak dokumen hanya apabila diperlukan sahaja;
    • Berkongsi peralatan ICT seperti mesin pencetak (printer); dan
    • Tidak menggunakan active screen saver.
  2. Menguruskan sumber air secara lebih berhemat
    • Mengawal penggunaan sumber air supaya dapat mengurangkan pembaziran; 
    • Memastikan pili air ditutup dengan rapat;
    • Sentiasa membuat pemeriksaan di tempat-tempat yang menggunakan sumber air bagi mengenalpasti sebarang kebocoran. Sebarang kebocoran hendaklah diperbaiki dengan segera; dan
    • Membangunkan sistem penuaian air hujan (SPAH) bagi mengurangkan penggunaan air yang terawat dan menggunakannya untuk aktiviti membasuh kereta dan bangunan serta menyiram pokok dan landskap.
  3. Menguruskan dan melupuskan sisa pepejal dengan lebih teratur
    • Menjaga persekitaran supaya sentiasa bersih bagi menjamin kualiti alam sekitar yang lebih baik dan meningkatkan tahap kesihatan;
    • Mengamalkan Program R adalah singkatan kepada ‘rethink’ (fikir semula), ‘repair’ (baik pulih), ‘reuse’ (guna semula), ‘recycle’ (kitar semula) dan ‘reduce’ (kurangkan).
    • Peluasan penempatan Tong Sampah Kitar Semula di premis serta penyelarasan dengan syarikat kontraktor pembersihan.
  4. Menguruskan kenderaan secara mesra alam
    • Penggunaan kenderaan pasukan secara optima dengan merancang perjalanan berkonsepkan berkongsi kenderaan (car pool) untuk destinasi yang sama;
    • Merancang penggunaan kenderaan secara teratur dengan membuat penjadualan dengan menggilirkan penggunaan;
    • Menggunakan bahan pencuci biodegradasi yang mesra alam dan lebih organik untuk mencuci enjin, tangan dan peralatan bengkel;
    • Pengurusan bengkel pengangkutan hendaklah lebih terurus bagi pelupusan minyak engin dan alat ganti terpakai dan mengamalkan konsep 5S; dan
    • Tidak membiarkan enjin kenderaan melahu (idling) dan memasang alat pendingin hawa (air cond) semasa menunggu penumpang.
  5. Mengutamakan produk dan perkhidmatan hijau
    • Memberi keutamaan kepada produk dan perkhidmatan hijau
    • Mengurangkan penggunaan produk yang mengandungi bahan kimia atau bertoksik di dalam aktiviti pembersihan atau pencucian pejabat;
    • Menggantikan lampu yang rosak dengan lampu yang jimat tenaga seperti Compact Fluorescent Lamp (CFL), lampu tiub T5, Induction Light dan Light Emitting Diode (LED); dan
    • Elakkan penggunaan polisterin sebagai pembungkus makanan dan menggalakkan pembungkus makanan yang mesra alam.












- Oktober 26, 2023 Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Selasa, 10 Oktober 2023

UJIAN BERTUTUR BERKUMPULAN TEMA 1: MEREALISASIKAN IMPIAN

 SOALAN

Permainan elektronik e-sukan semakin mendapat tempat setelah pelbagai usaha dan program dilakukan bagi mengiktiraf permainan teknologi ini.  E-sukan bukan sahaja memberikan manfaat kepada golongan belia tetapi juga remaja.  Ulaskan pernyataan tersebut


Cadangan Jawapan

Pendahuluan

E-sukan ialah satu bentuk permainan video yang dipertandingkan dan dimainkan dengan penuh semangat kesukanan.  E-sukan telah berkembang pesat di serata dunia dan telah menjadi sumber pendapatan yang lumayan.  Di Malaysia, e-sukan semakin popular dan negara kita telah pun melahirkan atlet e-sukan yang berdaya saing pada peringkat antarabangsa. 

Manfaat-manfaat

ISI 1  

        Antara kebaikan e-sukan kepada remaja ialah sukan atau permainan secara maya ini dapat menjadi satu wadah untuk remaja berhibur di alam maya.. Hal ini dikatakan demikian kerana e-sukan dapat menghilangkan tekanan belajar atau masalah keluarga yang dihadapi oleh golongan ini. . Mereka boleh melibatkan diri dalam e-sukan sama ada sebagai hobi atau sekadar hiburan pada masa lapang.  Tamsilnya, permainan e-sukan seperti Counter Strike dan Mobile Legends dapat mengisi waktu senggang remaja seterusnya memberi kelegaan mental kepada mereka kerana mereka berasa lebih santai. Oleh itu, ibu bapa hari ini perlu memberi ruang kepada anak-anak mengisi masa lapang dengan hiburan atau hobi  yang berubah mengikut peredaran zaman bak kata pepatah sekali air bah, sekali pantai berubah. Kesannya, tekanan yang dihadapi oleh mereka sedikit sebanyak dapat dileraikan. Tetapi, pemantauan yang baik diperlukan supaya pencapaian akademik dan kesihatan mereka tidak terjejas. Sudah terang lagi bersuluh bahawa  sukan elektronik merupakan salah satu hiburan atau hobi yang baik untuk golongan remaja pada hari ini.

ISI 2

     Sukan elektronik juga sebenarnya dapat membantu remaja untuk meningkatkan daya pemikiran secara kritis dan kreatif. Hal ini dikatakan demikian kerana permainan sukan elektronik secara ringkasnya memerlukan pemain untuk menyelesaikan tugasan-tugasan yang diberikan. Sebagai contoh, dalam permainan MOBA, selain kecekapan dan semangat kerja berpasukan, daya fikir yang tinggi sangat diperlukan untuk memperteguh pola pemikiran dan seterusnya merangka strategi yang berkesan. Impaknya, hal  ini sedikit sebanyak dapat membantu perkembangan minda mereka di luar bilik darjah tanpa bantuan guru dan juga ibu bapa. Ibarat peribahasa, belakang parang kalau diasah nescaya akan tajam juga. Begitu jugalah dengan kemahiran untuk bermain permainan e-sukan ini yang memerlukan latihan untuk berjaya sama seperti perkara yang mereka perlu dipraktikkan oleh mereka  dalam kehidupan sebenar. Jelaslah bahawa permainan e-sukan dapat membantu remaja untuk berfikir secara kritis dan kreatif.


   ISI 3

Pada masa yang sama juga, remaja yang bermain permainan e-sukan dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi. Apabila mereka menyertai permainan secara maya yang melibatkan pemain lain, mereka perlu berkomunikasi antara satu sama lain untuk mendapatkan kemenangan. Tamsilnya, permainan DOTA 2 yang menjadi kegemaran hampir segenap masyarakat di seluruh pelosok dunia.  Pertandingan di peringkat antarabangsa telah berjaya dianjurkan  dan menawarkan pemenang hadiah sehingga jutaan Dolar Amerika. Dalam permainan tersebut, pemain perlu berkomunikasi untuk membincangkan strategi terbaik untuk menumpaskan pihak lawan. Persis pepatah, bersatu teguh bercerai roboh. Perumpamaan ini juga terpakai bagi pemain e-sukan iaitu pasukan pemain perlu bersatu untuk memastikan mereka menyelesaikan setiap objektif permainan dan menumpaskan pihak lawan untuk meraih kejuaraan. Intihanya, kemahiran komunikasi dalam kalangan remaja boleh ditingkatkan melalui penglibatan dalam e-sukan.


ISI 4

Kebaikan lain yang mampu diperoleh remaja melalui sukan elektronik termasuklah membuka peluang dan bidang kerjaya yang baharu. Selepas ledakan e-sukan di peringkat dunia, Malaysia tidak terlepas daripada menghasilkan pasukan-pasukan e-sukan yang bertanding di kejohanan peringkat dunia. Sama ada daripada penaja swasta ataupun inisiatif kerajaan, remaja hari ini berpotensi untuk menjadi seorang atlet e-sukan dalam permainan elektronik pilihan masing-masing seperti kejayaan atlet negara yang menuai pingat emas  dalam Kejohanan E-Sukan Komanwel pada tahun 2022 iaitu Mohamad Nor Haikal Mohamad Noh bagi acara eFootball (Terbuka). Selain daripada menjadi atlet e-sukan, remaja juga boleh menjadi penstriman permainan video iaitu individu yang bermain permainan video dan berkongsi permainan di alam maya untuk tontonan umum seperti Jaa Suzuran, Yana Samsuddin dan Soloz. Institusi pengajian tinggi juga telah menawarkan kursus seperti jurutera permainan video yang mampu melahirkan graduan dalam bidang pembangunan sukan elektronik. Tuntasnya, permainan e-sukan bakal menjadi sebuah industri baharu yang bermanfaat untuk golongan remaja hari ini.


Peranan pelbagai pihak untuk mempopularkan e-sukan di Malaysia


    Satu badan penubuhan yang memantau sukan elektronik telah melancarkan e-sukan Malaysia atau ESM yang didaftarkan atas sokongan FELDA  serta ASUS Malaysia selaku jenama peralatan yang disyorkan pada Disember 2014 dengan berobjektifkan untuk menaiktarafkan e-sukan di Malaysia dengan visi menjadikan Malaysia sebuah hab sukan bertaraf dunia, ESM didaftarkan oleh Suruhanjaya Sukan Malaysia.Tujuan utama ESM ditubuhkan adalah untuk memastikan sukan elektronik terus bertapak di Malaysia dengan dasar membentuk standard e-sukan, melatih dan mendidik pemain, membantu meningkatkan taraf permainan, mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dan menjaga kebajikan ahli. Seterusnya, penubuhan ESM dapat memberi keyakinan untuk orang ramai menceburi sukan elektronik tanpa risau akan masa depan kerjaya mereka dalam arena tersebut.


    Selain itu, sebuah sekolah di Norway telah menawarkan kursus e-sukan kepada para pelajarnya .Hal ini membuktikan bahawa sukan elektronik merupakan sebuah bidang yang berdaya saing. Malaysia sememangnya perlu mencari jalan agar dapat memanfaatkan e-sukan demi meningkatkan mutu pendidikan negara. Oleh itu, ESM bercadang untuk menubuhkan akademi sukan elektronik bagi mencungkil bakat kepada rakyat Malaysia yang berminat terhadap sukan elektronik ini yang memfokuskan tujuan utama iaitu menjaga kebajikan pemain, memantau dan menetapkan piawaian, pendidikan sukan elektronik, mempromosikan pembangunan pemain dan pada masa yang sama mendapatkan pengenalan dan pencapaian pada peringkat antarabangsa.


Terdapat lapan Universiti di Malaysia yang menawarkan dan mempunyai kelab e-sukan, antaranya ialah Uitm Shah Alam, dan Universiti Putra Malaysia. Kesemua kelab e-sukan di institut pengajian tinggi ini mempunyai hubungan rasmi dengan persatuan Sukan Elektronik Malaysia yang dikenali sebagai ESM. Sukan elektronik atau e-sukan adalah seperti pisau, kalau disalah guna menjadi tidak baik, tetapi kalau diguna secara berhemah akan menjadi satu alatan yang sangat berguna. Seperti yang kita sedia maklum, sukan elektronik merupakan salah satu industri yang besar dengan pelbagai syarikat yang menyokongnya dan seterusnya mampu menjayakan Revolusi Industi 4.0 . 


KESIMPULAN

Kesimpulannya, e-sukan mempunyai manfaat yang terlalu banyak seperti dapat dilakukan di mana-mana sahaja, menghiburkan, melegakan tekanan mental, mudah diakses, dan mengasah kemahiran kognitif yang tinggi.  Oleh itu, semua pihak tidak boleh memandang enteng kepada usaha-usaha pembangunan sukan elektronik di Malaysia kerana sukan ini suatu hari nanti akan mejadi sumber pendapatan yang serius kepada rakyat selain mengharumkan nama negara di persada dunia.

- Oktober 10, 2023 Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Khamis, 26 Ogos 2021

Rencana: Isu Pendermaan Organ dan Tisu di Malaysia


ISU PENDERMAAN ORGAN DAN TISU DI MALAYSIA
       Oleh: Muhamad Faris Amzar Bin Mohd Fadzli

      “Sakit, perit, berdosa, haram dan takut jenazah terseksa.” Kebanyakan orang di negara ini ragu-ragu untuk menjadi penderma organ dan tisu kerana salah faham mengenai pendermaan organ dan tisu. Sebenarnya, tidak ada apa-apa bentuk halangan untuk melakukannya dari segi kepercayaan  dalam mana-mana agama. Bahkan, Islam sendiri turut menggalakkan penganutnya untuk menderma organ dan tisu selepas kematian mereka sekali gus menepis segala pertikaian dan perselisihan faham berhubung isu ini. Salah satu salah fahaman yang paling umum mengenai pendermaan organ dan tisu ialah tindakan ini bertentangan dengan prinsip agama dan akan menyeksa jenazah. Memetik kata Ketua Pengurus Klinikal Pusat Sumber Transplan Nasional, Datin Dr Lela Yasmin Mansor menyatakan bahawa pendermaan organ tidak menjejaskan rupa atau bentuk tubuh jenazah di samping pengebumian juga boleh dijalankan seperti biasa. 

        Satu strategi perlu diidentifikasi bagi menyanggah persepsi negatif utama yang perlu dilenyapkan iaitu perasaan takut. Penyelidikan menunjukkan bahawa ketakutan dan ketidakyakinan adalah sebab utama rakyat Malaysia khususnya orang Melayu tidak berkenan untuk menyumbang menurut Dr. Lela. Terdapat banyak alasan untuk permasalahan ini. Salah satunya mungkin proses ini menakutkan mereka kerana boleh melibatkan kematian atau sesuatu yang berada di luar jangkaan mereka. Signifikannya, kaedah terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menyebarluaskan maklumat mengenai pendermaan organ melalui Internet  atau bentuk media massa yang lain rentetan transplantasi organ difatwakan harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1970. Beberapa singkapan menyingkapkan bahawa umat Islam dibenarkan berikrar dan menderma organ dan tisu mereka dalam keadaan tertentu di negara-negara seperti Mesir, Arab Saudi, Iran, Pakistan dan Singapura. Ringkasnya, pendermaan organ dan tisu ini amat mustahak kerana  dapat memenuhi tuntutan pemeliharaan nyawa manusia selain tiada apa-apa aspek perdagangan atau penjualan organ dan tisu serta dilakukan sebagai pilihan terakhir untuk memelihara nyawa pesakit yang memerlukan organ atau tisu tersebut.

     Mengambil satu contoh kontradiksi, agama  seperti Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh juga membenarkan pendermaan organ dan tisu selepas meninggal dunia malah menganggapnya satu tindakan yang mulia. Dalam konteks agama Islam, suatu tindakan dinilai menggunakan kaedah fiqh yakni bergantung pada niat dan tujuan asal pelaksanaannya. Tujuan pemindahan organ dan tisu adalah untuk memelihara nyawa pesakit dan juga meminimumkan jumlah bahaya yang akan berlaku. Pendekatan ini meletakkan supaya keutamaan diberikan kepada pesakit bagi menghindar sebarang kecelakaan. Hal ini kerana kegagalan terbesar dalam konteks pemindahan organ dan tisu ini adalah dengan membiarkan pesakit yang memerlukan organ atau tisu itu dalam keadaan getir. Kematian dan pendermaan organ dan tisu amat sukar untuk dibincangkan apatah lagi bagi mereka yang baru sahaja kehilangan orang tersayang. Hal ini merupakan satu perkara yang amat rumit bagi kakitangan perubatan yang sentiasa berusaha untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Tambahnya lagi, pendermaan organ dan tisu penderma yang sangat dikasihi ahli keluarganya setelah penderma tersebut meninggal dunia bukanlah suatu hal yang mudah dan pasti akan menimbulkan kerisauan dalam kalangan ahli keluarga penderma. Bagi mengelakkan perkara ini daripada terjadi, penderma mestilah memberitahu ahli keluarga tentang pilihan mereka untuk menderma organ atau tisu selepas kematian demi memperoleh persetujuan daripada ahli keluarga penderma.   Selain itu, setiap orang layak menderma organ dan tisu di Malaysia kecuali individu yang mempunyai penyakit berjangkit seperti HIV AIDS, Hepatitis B dan C serta Sifilis. Buat mereka yang berumur di bawah 18 tahun persetujuan bertulis daripada ibu bapa mereka diperlukan. Pendek kata, organ atau tisu apabila disumbangkan boleh memberi manfaat kepada mereka yang masih hidup. Sebaliknya, jika organ itu tidak dimanfaatkan, maka akan hancur juga apabila dikebumikan.
     
 Sementara itu, penderma perlu menjalani satu proses saringan untuk memastikan organ atau tisu yang ingin didermakan selamat dan tidak memudaratkan penerima serta boleh berfungsi dengan baik setelah ditransplantasi. Antara proses saringan yang perlu dilakukan terhadap penderma adalah seperti sejarah kesihatan, pemeriksaan fizikal, ujian darah, pengimejan dan lain-lain bergantung kepada jenis organ dan tisu yang ingin didermakan. Ujian saringan ini biasanya dilakukan untuk memastikan tiada penyakit yang berbahaya seperti penyakit berjangkit dan kanser serta bertujuan untuk memastikan status kefungsian organ dan tisu tersebut. Bertitik tolak dengan kenyataan di atas, segala proses pembedahan pemindahan organ dan tisu dijalankan di dewan bedah hospital oleh pakar bedah yang terlatih dan mereka juga akan sentiasa menghormati jenazah penderma tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan semasa prosedur tersebut. Pendermaan organ serta tisu seseorang penderma itu tidak akan menjejaskan rupa dan bentuk tubuh badannya kerana selepas organ dan tisu diperoleh, luka pembedahan itu akan dijahit dengan sempurna serta jenazah penderma tidak akan mengalami apa-apa kecacatan fizikal.
 
    Sebagai penutup bicara, sewajarnya alternatif lain perlu dikaji seperti penggunaan organ-organ tiruan atau pengambilan daripada organ haiwan bagi menggantikan pendermaan organ dan tisu manusia kerana perkara ini adalah jauh lebih  baik daripada mengambil hak seseorang manusia. Dari perspektif berbeza pula,  konsep pendermaan organ dan tisu perlu diperluas bagi memastikan maslahat masyarakat umat masa kini terjamin keselesaan hidup mereka dengan sebab pendermaan seperti ini. Semoga dengan pernyataan seperti ini dapat meningkatkan semangat rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk menderma organ mahupun tisu dalam usaha mentahqiqkan maslahat dan kesejahteraan masyarakat sesuai dengan prinsip ta'awun bi al-bir wa al-taqwa yang merupakan sebahagian daripada perintah al-Quran untuk melakukan amal soleh dan takwa. Tubuh badan kita bukan hak mutlak kita ataupun keluarga kita. Begitu juga dengan organ yang ada pada badan kita, semuanya adalah pinjaman daripada Allah. Akhirulkalam, saya berdoa kepada Allah SWT agar masyarakat Malaysia sentiasa hidup dalam keadaan sihat, damai,saling menyayangi , dianugerahkan rahmat Allah  serta saling membantu antara satu sama lain.
- Ogos 26, 2021 Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Rabu, 4 Ogos 2021

Rencana Terapi Seni Melalui Lukisan dalam Kehidupan

 TERAPI SENI MELALUI LUKISAN DALAM KEHIDUPAN

             oleh: Muhammad Zulkarnain bin Shahril Rizal

     Terapi seni melalui lukisan merupakan suatu terapi yang menggabungkan prinsip seni dan psikologi untuk membantu seseorang individu dalam menangani sesuatu masalah. Terapi seni tidak memerlukan seseorang itu pandai melukis kerana terapi ini tidak bertujuan untuk menghasilkan karya yang artistik. Oleh itu, beberapa langkah boleh diambil untuk menerapkan terapi seni dalam diri individu.

     Salah satu langkah untuk menerapkan terapi seni melalui lukisan dalam diri individu ialah guru kaunseling perlu bekerjasama dengan guru seni. Dalam konteks ini, masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, iaitu guru kaunseling pakar dalam hal permasalahan pelajar manakala guru seni pakar dalam hal kesenian. Hal ini demikian boleh dilakukan dengan memberikan kursus berkaitan seni terapi kepada ahli Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) untuk mendapatkan pendekatan dengan pelajar yang mempunyai masalah. Melalui langkah ini, ahli PRS akan mempunyai pengetahuan dan lebih mudah untuk melaksanakan tugas. Langkah yang diambil ini dapat dilihat seperti bukit sama didaki lurah sama dituruni. Natijahnya, kerjasama antara guru kaunseling dengan guru seni amat membantu dalam menerapkan terapi seni melalui lukisan dalam diri individu.

     Seterusnya, pihak kerajaan mesti memfokuskan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghidap masalah mental seperti autisme dan sindrom 'down'. Hal ini demikian supaya ibu bapa lebih peka dalam menguruskan emosi anak-anak mereka. Dalam aspek ini, pihak kerajaan boleh mengadakan kempen secara besar-besaran melalui platform media massa seperti berita, akhbar dan media sosial. Dengan hal ini, ibu bapa sememangnya dapat menguruskan anak-anak mereka dengan lebih mudah kerana memahami emosi anak-anak mereka. Tegasnya, inisiatif kerajaan dalam memfokuskan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghidap masalah mental dapat menerapkan terapi seni dalam diri individu.

    Terdapat juga beberapa kepentingan yang boleh diperolehi daripada terapi seni melalui lukisan ini. Salah satu daripadanya ialah potensi diri individu dapat ditingkatkan. Hal ini demikian boleh dilakukan melalui ekspresi seni yang dihasilkan seperti lukisan berkonsepkan potret diri, lukisan spontan ataupun lukisan keluarga. Hasilnya, individu akan berasa lebih yakin pada diri dan bermotivasi. Jelaslah bahawa terapi seni melalui lukisan ini membantu dalam meningkatkan potensi diri individu.

      Seterusnya, terapi seni melalui lukisan dapat memperkasakan kemahiran motor halus anak-anak yang masih kecil seawal usia tiga tahun. Hal ini demikian kerana terapi seni banyak mempengaruhi pemikiran seseorang terutamanya kanak-kanak yang masih membangun. Aspek ini biasanya melibatkan koordinasi otot-otot kecil dan penglihatan. Impaknya, anak-anak dapat melaksanakan tugas-tugas penting secara sendirian seperti memasukkan butang dalam baju, memegang pinggang mangkuk dan menggunakan tandas. Manfaat yang diperoleh ini sesuai dengan peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Tuntasnya, kemahiran motor halus anak-anak kecil dapat diperkasakan dengan terapi seni melalui lukisan.


     Konklusinya, terapi seni melalui lukisan sememangnya mempunyai banyak manfaatnya. Semua pihak seharusnya mengambil inisiatif dalam menyebarkan kaedah ini agar dapat memberikan faedah kepada manusia serta membantu dalam mengurangkan  isu berkenaan masalah mental dalam kalangan masyarakat.

- Ogos 04, 2021 Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

KARANGAN A: LANGKAH PENCEGAHAN COVID-19



        Covid-19 telah ditemukan pada Disember 2019 di Wuhan, China. Virus ini telah menyerang hampir ke seluruh pelosok dunia. Trend peningkatan kes virus ini dilaporkan sudah mencecah jutaan orang serta melibatkan jumlah kematian yang tinggi.

      Orang awam digalakkan untuk mengenakan pelitup muka yang berkualiti ketika berada di tempat terbuka yang sesak dan sibuk. Sebagai contoh, Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan rakyat agarmemilih pelitup muka tiga lapis yang diperbuat daripada fabrik kalis air. Tindakan ini dapat menghalang cecair seperti batuk atau bersin tersebar kepada individu lain.

       Selain itu, kerajaan juga telah menetapkan obligasi untuk kita mengamalkan penjarakan fizikal sejauh satu meter ketika berada di tempat awam. Hal ini rentetan daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia selain telah meluluskan  beberapa jenis vaksin seperti Pfizer, Sinovac dan Astra Zeneca. Pemvaksinan merupakan satu-satunya cara yang dipercayai untuk memutuskan rantaian Covid-19 buat masa ini.

      Seterusnya, kerajaan juga telah melaksanakan beberapa kempen seperti ‘Elakkan 3S’ iaitu elakkan berkunjung ke tempat yang sesak, elakkan tempat yang sempit dan tertutup serta elakkan bersembang secara dekat. Oleh sebab virus ini senang merebak walaupun melalui udara, pematuhan rakyat kepada norma baharu yang ditetapkan sangatlah dititikberatkan barisan hadapan.

       Kesimpulannya, semua pihak seharusnya bekerjasama mementingkan prosedur operasi standard yang ketat supaya dapat mengelakkan daripada virus ini merebak dengan mudah.


Muhammad Faris Amzar,2021

- Ogos 04, 2021 Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest
Catatan Lama Laman utama
Langgan: Catatan (Atom)

KARANGAN B SPM: PUNCA-PUNCA MASALAH KESIHATAN MENTAL ( TRIAL TERENGGANU 2023)

            Data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati satu dalam empat remaja mengalami gejala kemurungan pada 2022 be...

  • TEKS FORUM- GEJALA BULI DALAM KALANGAN PELAJAR
    GEJALA BULI DALAM KALANGAN PELAJAR:  DI MANA SILAPNYA? PENGERUSI                                  :  Siti Rasyidah binti Che Masruddin ...
  • KARANGAN B SPM: PUNCA-PUNCA MASALAH KESIHATAN MENTAL ( TRIAL TERENGGANU 2023)
                Data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati satu dalam empat remaja mengalami gejala kemurungan pada 2022 be...
  • NOTA RINGKAS NOVEL TIRANI
    TEMA, PERSOALAN, NILAI, PENGAJARAN, LATAR MASYARAKAT DAN PERWATAKAN HURAIAN & PERISTIWA PERSOALAN NILAI ...

Cari Blog Ini

  • Home

Arkib Blog

  • ▼  2024 (1)
    • ▼  Januari (1)
      • KARANGAN B SPM: PUNCA-PUNCA MASALAH KESIHATAN MENT...
  • ►  2023 (3)
    • ►  Oktober (3)
  • ►  2021 (5)
    • ►  Ogos (3)
    • ►  Julai (2)
  • ►  2020 (5)
    • ►  Disember (2)
    • ►  Oktober (3)
  • ►  2018 (4)
    • ►  Julai (4)
  • ►  2017 (9)
    • ►  September (8)
    • ►  Ogos (1)
  • ►  2015 (6)
    • ►  Oktober (1)
    • ►  September (1)
    • ►  Februari (2)
    • ►  Januari (2)

Laporkan Salah Guna

Cari Blog Ini

Pengikut

Jumlah Paparan Halaman

Popular Posts

  • TEKS FORUM- GEJALA BULI DALAM KALANGAN PELAJAR
    GEJALA BULI DALAM KALANGAN PELAJAR:  DI MANA SILAPNYA? PENGERUSI                                  :  Siti Rasyidah binti Che Masruddin ...
  • PENANDA WACANA
      Penanda wacana ialah apa-apa yang digunakan untuk menandakan kesatuan fikiran sama ada dalam bentuk lisan ataupun penulisan.  Penanda wa...
  • NOTA RINGKAS NOVEL TIRANI
    TEMA, PERSOALAN, NILAI, PENGAJARAN, LATAR MASYARAKAT DAN PERWATAKAN HURAIAN & PERISTIWA PERSOALAN NILAI ...
  • PENDIDIKAN MAYA: MANFAAT DAN KEKANGAN
    PENDIDIKAN MAYA:  MANFAAT DAN KEKANGAN                                                        Oleh:  Cikgu Natni                        ...
  • NOTA SAJAK KUDUP PERANG
    Tema Kepentingan kewibawaan dan ketokohan pemimpin dalam menerajui sesebuah organisasi RANGKAP SAJAK MAKSUD ...
  • KARANGAN RANGSANGAN ( FAEDAH-FAEDAH PENUBUHAN KOPERASI SEKOLAH)
         Koperasi sekolah merupakan sebuah perniagaan yang dibangunkan oleh pihak sekolah sejak zaman dahulu. Anggota koperasi sekolah termasuk,...
  • NOTA SELOKA BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU- ZAABA
    Tema  : Kesetiaan kepada Raja RANGKAP SELOKA MAKSUD PERSOALAN NILAI PENGAJARAN Rangkap 1 ...
  • KEPENTINGAN PASAR TANI- SOALAN BAHASA MELAYU 1 (JUN)
    Pasar tani yang diperkenalkan adalah tercetus dari idea perlunya diwujudkan ruang pasaran tersendiri bagi petani atau pengeluar...
  • Karangan Peranan Ibu Bapa Dalam Melahirkan keluarga Bahagia
    Keluarga ialah satu kumpulan manusia yang dihubungkan melalui pertalian darah, perkahwinan atau penjagaan di mana para anggotanya tinggal di...
  • NOTA SAJAK ERTI HIDUP BERERTI
    SAJAK ERTI HIDUP BERERTI Tema kesunyian hidup yang dilalui oleh golongan warga tua yang sentiasa mendambakan kasih sayang daripada anak-...
Tema Tera Air. Dikuasakan oleh Blogger.